"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki dalam perjalanan pulang dari masjid, cedera diserang empat individu

Izz Laily Hussein

KULAI: Seorang lelaki yang baharu pulang dari masjid diserang empat individu menggunakan kayu sebelum dipijak beramai-ramai di kawasan masjid sementara Bukit Batu, Pusat Komuniti Bukit Batu, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang dipercayai berlaku pada jam 9.50 malam.

“Kejadian berlaku ketika mangsa, lelaki tempatan berusia 33 tahun sedang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat di masjid berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa memotong kereta jenis Proton Saga berwarna kelabu.

“Kenderaan itu kemudiannya dipercayai dipandu secara melulu sebelum memotong semula mangsa dan berhenti secara mengejut di hadapan motosikal mangsa sehingga memaksanya berhenti secara mendadak,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Empat lelaki tidak dikenali yang berada dalam kenderaan itu kemudian turun dan seorang daripadanya bertindak memukul kepala mangsa menggunakan sebatang kayu sehingga mangsa terjatuh.

“Suspek lain turut memijak mangsa sebelum melarikan kunci motosikalnya dan beredar dari lokasi kejadian.

“Akibat kejadian itu, mangsa cedera di kepala sehingga memerlukan lima jahitan serta beberapa kecederaan lain pada anggota badan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 279 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan sehingga kini, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di talian 07-6632222 atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor R Harinnath di talian 017-5005731.

Terdahulu, tular hantaran di media sosial berhubung dakwaan seorang lelaki baru pulang dari solat terawih dipukul sekumpulan individu bertopeng menggunakan objek keras seperti kayu besbol.

Tiada ulasan: