"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar perlu kembali ke Permatang Pauh - Hassan Karim

Malaysiakini

Seorang ahli parlimen senior percaya PKR mampu merampas semula kerusi Permatang Pauh sekiranya Anwar Ibrahim kembali bertanding di kawasan berkenaan dalam PRU akan datang.

Malah, pada perkiraan Hassan Abdul Karim, kemunculan semula Presiden PKR dan perdana menteri di kawasan Permatang Pauh akan turut menyumbang kepada pengukuhan parti berkenaan di negeri-negeri utara.

Bercakap dalam audio siar Explain Sikit terbitan Malaysiakini, Ahli Parlimen Pasir itu turut mengakui Permatang Pauh tidak lagi boleh dianggap sebagai kerusi yang benar-benar selamat buat PKR ekoran tercetus “gelombang hijau” PAS serta prestasi kukuh PN di kawasan utara.

Permatang Pauh terlepas daripada penguasaan PKR pada PRU ke-15 walaupun ia ditandingi anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, yang cuba mempertahankannya.

Dia kalah kepada calon PAS-PN, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dengan perbezaan 5,272 undi.

Turut terlepas kepada PN ialah semua tiga kerusi DUN yang ada di bawah Permatang Pauh iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya.

Anwar membuat kemunculan pertama sebagai ahli parlimen – selepas menyertai Umno – dengan menjadi calon BN di situ. Sejak itu kerusi tersebut kekal menjadi milik Anwar atau isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismaill, atau Nurul Izzah.

Wan Azizah serta Nurul Izzah memenangi kerusi tersebut atas tiket PKR.

Permatang Pauh juga mencatat sejarah apabila ia pernah menjadi satu-satunya kerusi parlimen yang dimenangi PKR semasa parti itu menyertai PRU 2004.

Menurut Hassan, Anwar merupakan seorang “pejuang” dan ia dibuktikan dengan percaturan ahli politik berusia 78 tahun itu bertanding di Tambun pada PRU ke-15 ketika orang ramai menganggap Perak adalah negeri yang sukar ditembusi PH.

“Tetapi apabila beliau bertanding di sana, itu bermakna beliau sudah membuat perkiraan dan merasakan boleh menang, dan akhirnya terbukti beliau memang menang walaupun majoritinya sekitar 4,000 undi.

“Majoriti itu bukan kecil, ia agak signifikan. Jadi jika Anwar mahu mempertahankan Permatang Pauh, beliau seorang pejuang. Jika beliau sanggup berada di sana, itu juga bermakna rakyat Permatang Pauh mempunyai tanggungjawab.

“Maksudnya, sama ada mahu mereka menyokong Anwar atau menamatkan kerjaya politiknya di situ,” kata Hassan.

Ubah status kerusi Permatang Pauh

PRU yang berlangsung pada 2022 itu menyaksikan Anwar merampas kerusi parlimen dalam pertandingan empat penjuru. Dia mengalahkan penyandang, Ahmad Faizal Azumu yang mewakili Bersatu-PN.

Dua lagi calon yang mencuba nasib di situ ialah Aminuddin Hanafiah (BN) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).

Anwar menawan kerusi itu dengan majoriti 3,736 undi.

Hassan berkata, dari sudut “moral”, Anwar mempunyai kekuatan tersendiri.

“Jika Anwar bertanding di sana (Permatang Pauh), ia akan menaikkan semangat PKR di wilayah utara, khususnya di Kedah dan Pulau Pinang.

“Sama seperti ketika beliau memasuki Tambun sebelum ini, ia membantu PH di Perak,” tambahnya.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu turut menganggap Permatang Pauh sebagai “kerusi yang sangat sentimental” kepada parti berkenaan, justeru Nurul Izzah juga perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk bertanding semula di kerusi itu.

Kata Hassan, hal itu kerana Nurul Izzah baru sekali kalah di kerusi tersebut.

“Status Permatang Pauh boleh berubah daripada kerusi marginal kepada, insya-Allah kerusi boleh menang, jika Anwar sebagai perdana menteri menjadi calonnya.

“Tempat itu juga merupakan lokasi beliau mula bertanding pada tahun 1982 di bawah Umno-BN, jadi ia bukan asing bagi beliau,” tambah Hassan.

Pada Selasa lalu, Malaysiakini menyiarkan laporan berdasarkan analisis dalaman yang menunjukkan unjuran bahawa PKR dalam mod berjaga-jaga ketika berdepan dengan realiti bahawa banyak kerusi tradisi mereka semakin terancam.

Dokumen bertajuk Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier itu dibentangkan pada 2 Mei lalu di hadapan hampir 900 pemimpin parti di seluruh negara.

Fokus kajian PKR itu ialah terhadap 66 kerusi parlimen pada PRU akan datang.

Sasar kerusi gagal menang

Daripada jumlah itu, PKR mengklasifikasikan kerusi-kerusi tersebut kepada empat tier (kategori) dengan tujuh berada pada kedudukan teratas (kuat atau selamat), diikuti 13 kerusi di Tier 2A (hampir kuat), 17 kerusi di Tier 2B (marginal/kompetitif), dan 29 kerusi sebagai Tier 3 (sukar).

Dapatan itu menunjukkan sebahagian besar kerusi yang dikaji – iaitu sebanyak 46 kerusi (Tier 2B dan Tier 3) – berada dalam zon berisiko tinggi atau memerlukan pemulihan imej yang serius.

Sebagai perbandingan, dalam PRU ke-15 PKR memenangi 31 daripada 81 kerusi parlimen yang ditandinginya. Ia merupakan kemerosotan berbanding PRU ke-14 (2018) apabila parti itu memperoleh 47 kerusi.

Antara kerusi yang dimenangi pada PRU ke-15 tetapi kini diletakkan dalam kategori Tahap 2B (marginal) ialah Tambun.

Mungkin perkara paling signifikan bagi penyokong reformasi ialah pengelasan berterusan Permatang Pauh dalam kategori Tahap 2B.

PKR juga dilihat menyasarkan 29 kerusi yang gagal dimenangi mereka pada PRU lalu.

Antaranya ialah Kuantan – yang ditandingi Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh; Kulim-Bandar Baharu (Saifuddin Nasution Ismail); Indera Mahkota (setiausaha politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi, disebut-sebut bakal dinamakan sebagai calon); serta Pagoh (kini disandang Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin).

Tiada ulasan: