"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cemburu kekasih jumpa lelaki lain, motif pelajar POLISAS dibunuh

Khirrul Nirwan Bahaudin
am@hmetro.com.my

Bentong: Cemburu kerana teman wanita berjumpa lelaki lain dikenal pasti sebagai motif seorang remaja lelaki disyaki menjerut kekasihnya sehingga maut di sebuah bilik sewa di Jalan Air Putih 2, Kuantan, semalam.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) semalam, mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat jerutan pada leher sehingga menyebabkan kekurangan oksigen.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu suspek terhadap mangsa yang juga berusia 19 tahun.

"Siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai akibat cemburu antara pasangan kekasih itu kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa berjumpa lelaki lain.

"Suspek sendiri yang menghubungi pihak polis dan memaklumkan dia sudah mengambil tindakan mencekik mangsa," katanya ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Bentong Asisten Komisioner Polis Zaiham Mohd Kahar, di sini, hari ini.

Azry Akmar berkata, suspek yang berasal dari Perak dipercayai datang ke rumah sewa mangsa kira-kira seminggu lalu sebelum tinggal bersama wanita terbabit.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Kedah menyewa rumah berkenaan bersama beberapa rakan yang juga pelajar.

"Suspek sebelum ini pernah belajar bersama mangsa, namun sudah diberhentikan pengajian dan kini tidak bekerja.

"Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga didapati negatif, manakala keadaan mentalnya setakat ini adalah normal," katanya.

Beliau berkata, suspek kini direman sehingga 12 Oktober bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dituntut keluarga dan dibawa pulang ke Kedah untuk urusan pengebumian.

Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di atas katil dalam bilik sewa berkenaan selepas polis menerima panggilan kecemasan daripada suspek pada 4.32 pagi semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tiada ulasan: