Elill Easwaran
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata ada pihak berhutang dengan kerajaan dan gagal diselesaikan selama 40 tahun.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata kerajaan lemah dalam mengutip hutang dan keadaan itu membimbangkan memandangkan hutang persekutuan meningkat 5.9% tahun lalu kepada RM1.321 trilion.
PETALING JAYA: Kerajaan gagal mengutip berbilion-bilion ringgit hutang, dengan hanya 5% daripada keseluruhan RM9.273 bilion hutang tertunggak berjaya dikutip tahun lalu, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.
Ketika membahaskan laporan Ketua Audit Negara 2026 di Dewan Rakyat, Hassan berkata kelemahan kerajaan dalam mengutip hutang amat membimbangkan, memandangkan hutang persekutuan meningkat 5.9% tahun lalu kepada RM1.321 trilion.
“Kerajaan agak baik dalam membuat pinjaman tetapi tidak begitu baik dalam mengutip hutang,” katanya.
“Apa buktinya? Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan berbilion-bilion ringgit hutang oleh pelbagai pihak kepada kerajaan persekutuan masih belum dibayar.
“Ada yang berhutang sehingga 40 tahun tanpa diselesaikan… Laporan itu mendedahkan bahawa sistem kutipan hutang kerajaan persekutuan gagal.”
Kenyataan Hassan itu dibuat isu hutang tertunggak yang belum dibayar kepada agensi kerajaan mendapat perhatian.
Pada Isnin, Zetrix AI Bhd, anak syarikat Kumpulan MYEG, berkata ia telah mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan bagi menyelesaikan tunggakan hutang RM314 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata tunggakan itu melibatkan fi dan saman yang dikutip syarikat berkenaan sejak Mei, sambil menambah bahawa kementerian dan JPJ akan menetapkan tarikh akhir untuk jumlah itu dijelaskan serta mengambil langkah sewajarnya bagi mendapatkan semula dana tersebut.
Jangan ‘bail out’ syarikat bermasalah
Hassan turut menggesa kerajaan supaya tidak menggunakan wang pembayar cukai untuk menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan atau firma swasta yang mengalami kerugian, memandangkan tahap hutang negara yang tinggi.
Merujuk kepada sebuah syarikat penerbangan nasional, Hassan berkata beliau dimaklumkan bahawa syarikat itu mempunyai hutang jangka pendek sebanyak RM18.4 bilion dan kerugian suku tahunan sebanyak RM830 juta.
Hassan berkata kerajaan harus menolak sebarang permintaan bantuan kewangan daripada syarikat berkenaan.
“Jika syarikat ini mengetuk pintu Kementerian Kewangan dan meminta bantuan, saya harap kerajaan menolaknya kerana kerajaan sendiri berhutang,” katanya.
“Kerajaan mempunyai perkara lain yang perlu diselesaikan.”
Bulan lalu, AirAsia menafikan bahawa syarikat itu ada meminta bantuan kerajaan.
Pengasas bersama dan penasihat Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata operasi syarikat penerbangan itu kekal mampan dan ia tidak pernah meminta bantuan kerajaan sepanjang 25 tahun operasinya.
Beliau turut menafikan laporan bahawa kerajaan menghubungi syarikat penerbangan pesaing untuk mengambil alih sebahagian daripada laluan domestik AirAsia, dengan berkata Putrajaya telah mengesahkan kepadanya bahawa tiada perbincangan sedemikian berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan