"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut tertimbus tanah runtuh di P Pinang

Bernama

Dua lagi penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri.
tanah runtuh Paya Terubong
Tanah runtuh yang menjejaskan bahagian belakang sebuah rumah di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, pagi tadi. (Gambar JBPM)
GEORGE TOWN: Seorang lelaki maut selepas tertimbus dalam tanah runtuh yang menjejaskan sebuah rumah berkembar dua tingkat di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.36 pagi tadi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong dikejarkan ke lokasi.

“Kejadian menjejaskan bahagian belakang sebuah rumah dan laporan awal memaklumkan terdapat tiga mangsa, iaitu penghuni rumah itu, namun dua daripadanya berjaya menyelamatkan diri.

“Mangsa yang tertimbus disahkan meninggal dunia pada 9.10 pagi oleh petugas Kementerian Kesihatan, namun usaha mengeluarkan mayat masih dilakukan bomba,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mayat doktor sebuah klinik, Wong Kar Lin, 73, yang tertimbus di bawah runtuhan konkrit itu dikeluarkan 11.20 pagi tadi, sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mertuanya, Wong Poh Lim yang berusia 80-an berjaya menyelamatkan diri.

Jelasnya, tanah runtuh mungkin berlaku akibat hujan lebat berterusan semalam yang menyebabkan struktur tanah tidak stabil dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Susulan itu, menurutnya, penghuni di enam rumah kawasan berhampiran diarah mengosongkan kediaman mereka sebagai langkah keselamatan.

Tiada ulasan: