Farhana Yaacob

Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia atas kerusi urut di rumahnya di Ayer Merbau, Bemban, Jasin di sini, pagi tadi. Foto ihsan polis Jasin
JASIN: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di atas kerusi urut di rumahnya di Ayer Merbau, Bemban, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.11 pagi sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit, Gwee Beng Soon, 54, dipercayai tinggal bersendirian di rumah berkenaan ketika kejadian kerana isterinya bercuti di luar negara sejak seminggu lalu.
Katanya, kejadian itu diketahui selepas anak mangsa berusia 21 tahun membuat laporan polis susulan dimaklumkan ibunya menerusi panggilan telefon kira-kira jam 5 pagi tadi.
“Ketika kejadian berlaku anak mangsa bekerja di Kuala Lumpur sebagai ejen TikTok.
“Isteri mendiang menghubungi anaknya dan memaklumkan bapanya tidak sedarkan diri di atas kerusi urut rumah mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pasukan penyiasat jenayah turut dikerahkan ke lokasi kejadian, manakala pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dimaklumkan bagi membantu siasatan.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin bagi proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan