"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Atas nama Tuhan & agama

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Sepanjang sejarah manusia, nama Tuhan sering dijadikan alat dalam mencapai tujuan atau kepentingan peribadi ataupun puak. Sedangkan ia sepatutnya menjadi nama sakti dalam menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan, malangnya digunakan untuk menegakkan kebatilan dan menghapuskan kebenaran.

Perlambangan agama yang sepatutnya membela kekudusan ajaran Tuhan, sering kali digunakan untuk membiakkan kehendak syaitan dan hasrat nafsu serakah manusia. Maka tidak hairan jika kita melihat nama Tuhan sering dipergunakan oleh orang politik, ahli perniagaan, bomoh, ustaz, penjenayah, perasuah dan segala jenis ‘manusia' yang berkepentingan.

Dalil-dalil diputar dan dipusing agar dapat menjelma dalam rupa reka kehendak yang berbicara. Ia bukan hanya berlaku dalam kalangan umat Islam, sebaliknya dalam semua agama. Dalam sejarah Yahudi dan Kristian berlaku dengan begitu dahsyat.

Martin Luther yang mengasaskan Mazhab Prostestan telah membangkitkan isu ini dalam Kristian. Beliau katanya ingin membela ajaran Tuhan. Malangnya, betapa ramai pengikutnya yang dibakar oleh gereja Katolik, juga atas nama Tuhan.

Sokong rejim

Hitler juga mendapat sokongan sebahagian gereja di Jerman. Kedua aliran yang bertentangan - Katolik dan Protestan - menyokong tindakan beliau terhadap Yahudi atas nama Tuhan. Demikian Assad di Syria yang membunuh rakyat sejak sekian lama. Begitulah juga regim-regim yang lain.

Pakaian dan bahasa agama juga digunakan untuk menghiasi amalan salah atau penyalahgunaan nama Tuhan. Jika orang seperti Hitler dan Assad mampu mendapat restu golongan agama, maka tidak pelik jika ada dalam dunia ini ada mufti atau syeikh yang sanggup memuja-memuji pemerintah atau raja atau sultan dalam khutbah Jumaat dengan perhiasaan kata yang berlebihan.

Doa bertujuan mengampu disusun khas untuk penguasa, sultan dan raja serta keturunannya sekalipun mereka itu perasuah, perembat harta rakyat, bermewahan dengan istana, kereta dan harta sedangkan rakyat bawahan menderita airmata. Doa untuk rakyat yang miskin hanya secebis.

Sebaliknya berlimpahan doa untuk penguasa, raja dan sultan dengan perhiasaan kata puja dan puji seakan mereka lebih tinggi dari para nabi. Khutbah Jumaat yang menjadi tempat umat memuja dan pemuji Tuhan, bertukar pada bahagian doanya sebagai ampuan memuja dan memuji kerajaan dan sultan.

Hal ini bukan sangat dengan pemintaan penguasa atau raja, tetapi ‘sang berjubah agama' yang mempunyai agenda hidupnya yang tersendiri. Inilah yang berlaku di seluruh dunia ‘berjubah agama' tapi bertujuan sebaliknya.

Orang-orang agama ini mendapat gaji dan berjubah yang jauh lebih hebat dari segala ulama yang terbilang dahulu, tetapi sekadar berperanan untuk membaca doa yang puitis untuk sang singgahsana dan mengeluarkan fatwa yang meredhakan penguasa dan raja.

Kegerunan mereka kepada hilang jawatan lebih hebat dari kegerunan mereka membohongi hukum Tuhan.

Sebab itu, ramai panguasa, raja dan sultan dalam dunia dan sepanjang sejarah sekalipun buruk tingkah laku dan ketamakan harta serta kezaliman mereka terhadap hak rakyat, terus merasa selesa kerana ada yang berlidah dan berjubah agama yang membodeknya.

Syurga seakan sudah tempah untuknya, neraka pula seakan sudah tertutup rapat baginya sekalipun dia tidak menunaikan hak rakyat dan memakan harta secara haram.

Pisahkan agama

Firman Allah: (maksudnya) "Dan apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: "Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah memerintahkan kami mengerjakannya". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya Allah tidak menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya? Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil, dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan wajah kamu (kepada Allah) pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan menyeru-Nya dengan mengikhlaskan agama kamu kepadaNYA semata-mata, sebagaimana DIA telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya). Sebahagian (manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan sebahagian lagi berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sSesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka bahawa mereka berada dalam petunjuk". (Surah al-A'raf, 28-30).

Seperti yang saya pernah catatkan bahawa saya tidak menyokong pemisahan agama dari politik, tetapi saya menyokong memisahkan agama dari penyalahgunaan golongan politik.

Lebih elok politik yang berpisah dari agama dibandingkan politik yang mempergunakan agama. Saya inshaAllah akan bahaskan tentang secular state dalam tulisan yang akan datang.

Mimpi nabi

Sebab itu amatlah berbahaya apabila agama itu telah menjadi senjata mereka yang pandai berbicara untuk kepentingan kuasa dan diri. Hakikat Tuhan akan disalahertikan oleh manusia.

Ajaran kebenaran akan dipandang serong. Manusia akan kecewa dengan ajaran Tuhan yang dianggap tidak memenuhi panduan keadilan dan rahmat. Sebab itu agama Islam ini tertegak atas fakta dan hujah. Bukan khayalan dan mimpi.

Jika kita masih ingat bagaimana pengasas ajaran al-Arqam semasa masih hidup membuat pelbagai dakwaan. Ketika itu ada imam masjid tertentu mendakwa bahawa dia berjumpa Nabi SAW dalam mimpinya membenarkan ajaran Ashaari Muhammad. Ramai yang terpengaruh dengan mimpi tersebut.

Itu bukan kali pertama, bahkan sudah puluhan kisah setiap kali ada yang mendakwa menjadi Mahdi, ada sahaja orang yang bermimpi berjumpa Nabi SAW dan mengakuinya. Ini termasuk kisah Mahdi di Sudan yang jauh lebih berjaya dari Ashaari Arqam.

Ada pula yang mengeluarkan dalil bahawa Nabi s.a.w telah bersabda:

"Sesiapa yang melihatku dalam tidur sesungguhnya dia benar-benar melihatku, kerana syaitan tidak dapat menyerupaiku." (Riwayat Muslim).

Ya, syaitan memang tidak boleh menyerupai Nabi s.a.w, namun syaitan boleh menyerupai orang lain dan seseorang yang tidak pernah melihat Nabi s.a.w menyangka itu Nabi s.a.w. Tipuan syaitan sangat licik.

Dalam kitab Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, apa yang disebut oleh tabi'in agung lagi pakar mimpi dalam sejarah Islam, al-Imam Muhammad bin Sirin (meninggal 110H) menafsirkan hadis ini bahawa ia bermaksud ‘jika seseorang melihat Nabi s.a.w dalam rupanya yang asal'.

Ertinya dia mesti mengenali hakikat rupa Nabi s.a.w. Apabila ada orang mendakwa bahawa dia melihat Nabi s.a.w, Muhammad bin Sirin meminta supaya dia menceritakan ciri-ciri Nabi s.a.w yang dia lihat dalam mimpinya.

Apabila dia menceritakannya, beliau menjawab: ‘engkau tidak melihatnya'. Ibn ‘Abbas juga menyelidiki seseorang yang mendakwa bahawa dia bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. Beliau bertanya sifatnya, orang itu menjawab seperti Saidina Hasan bin ‘Ali. Ibn ‘Abbas mengakuinya.

Itu jika orang tersebut tidak berbohong. Namun, bagaimana pula jika dia berbohong tentang apa yang dilihatnya?. Maka mimpi tidak boleh menjadi hujah dalam agama ini. Ia boleh menjadi isyarat untuk urusan peribadi seseorang, namun bukan syariat yang diamalkan.

Saya masih ingat kisah Presiden sebuah negara ‘bernama agama' yang menceritakan beliau dilindungi cahaya suci seperti para imam mazhabnya ketika berada di PBB. Demikian juga saya masih ingat semasa Gulf Waryang pertama, ketika itu saya belajar di Jordan. Sokongan rakyat Jordan kepada Saddam Hussain begitu kuat.

Ramai juga tokoh agama yang membaca hadis-hadis Nabi SAW dan menyatakan bahawa Saddam Hussain itu penyelamat umat yang dimaksudkan oleh Nabi SAW Saya masih ingat guru-guru hadis yang saya hadiri kuliah mereka membantah penyalahgunaan hadis tersebut.

Baru-baru ini pun ada tokoh agama dalam parti politik tanah air yang mendakwa pemimpinnya sebagai lelaki yang dijanjikan Nabi SAW untuk membebaskan al-Aqsa. Demikianlah agama menjadi mainan mereka yang berkepentingan.

Sebab itu, agama mesti bebas dari ini semua. Semua kita wajar bimbang terhadap diri sendiri dan juga umat ini dengan amaran Nabi SAW: "Apa yang paling aku takut terhadap kamu ialah orang munafik yang petah lidahnya" (Riwayat Ahmad, sahih).

Saya juga lucu apabila ada seseorang berceramah tentang perjuangan murninya setelah dia dipecat ialah membela Islam, Melayu dan raja. Sedangkan Melayu tidak semestinya selari dengan Islam, demikian juga raja.

Jika Islam itu diyakini syumul, membela Islam bererti terbela segala bangsa, raja dan rakyat. Namun, apabila Islam dipergunakan, bahasa Islam dinodai untuk tujuan tersendiri, hanya satu bangsa diperjuangkan dan raja sahaja yang dibela. Bagaimana dengan rakyat bawahan seperti kita? Demikian agama sering menjadi mangsa.

KFC mohon maaf pada mangsa kekasaran di i-City

Pihak pengurusan KFC Malaysia bertemu dan memohon maaf kepada pelanggan Danny Ng, yang telah dikasari oleh kakitangannya di cawangan i-City di Shah Alam.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Presidennya, Alan Au berkata rangkaian makanan segera itu juga memohon maaf kepada semua pelanggan pada hari kejadian kerana khidmat yang tidak memuaskan oleh kakitangannya dan kesulitan yang dihadapi mereka.

Ng dan keluarganya bertemu dengan pihak pengurusan KFC dan menerima permohonan maaf tersebut.

Au berkata, pihaknya amat kesal dengan kejadian tersebut dan memberi jaminan bahawa ia berkaitan dengan kualiti perkhidmatan yang diberikan dan bukan kerana apa juga sebab lain.

Najib Nak Singkirkan Dr Zambry ?

Shahbudin Husin

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.16206.1325565071!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_400/image.jpg
Dalam tempoh beberapa bulan lalu Najib sudah melakukan dua kali lawatan politik ke Perak. 18 Februari, Najib sekali lagi melakukan lawatan ke Perak. Kekerapan beliau melawat Perak adalah menandakan pilihanraya umum sudah semakin hampir dan juga untuk memastikan BN dapat terus berkuasa di negeri "Kejor Yob Kejor" itu.

Dalam pilihanraya 2008, BN Perak yang ketika itu dipimpin oeh Tajol Rosli telah tumbang di Perak. Bagamaimanapun dengan tiga orang ADUN Pakatan Rakyat melompat parti kemudiannya, kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang ketika itu dipimpin oleh Nizar Jamaluddin akhirnya tumbang. Dr Zambry kemudian mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri Perak.
Berdasarkan senario itu, politik Perak memang panas. BN yang memperolehi kuasa melalui "pintu belakang" dan "kuasa mahkamah", kali ini mahu membuktikan bahawa rakyat Perak akan terus menyokong mereka. Bagi PR pula, yang merasakan kuasa pemerintahan mereka telah "dirompak" secara tidak sah, turut mahu membuktikan gabungan Pas, DAP dan PKR benar-benar diterima rakyat Perak dalam pilihanraya kali ini. Azam PR bukan setakat untuk menang, tetapi dengan jumlah majoriti kerusi DUN yang lebih besar lagi.

Sebagaimana sibuknya Najib dan diikuti Muhyiddin juga kerap melawat Perak untuk memastikan kemenangan UMNO dan BN Perak, PR juga turut sibuk dengan pelbagai program untuk menawan kembali negeri itu. Malahan kali ini, Pas Perak mensasarkan untuk menang di 15 kerusi DUN di Perak.

Kekerapan Najib melawat Perak, tidak dapat tidak, adalah untuk melihat sendiri persiapan jentera pilihanraya negeri dan sejauh mana arus sokongan rakyat benar-benar mantap serta meyakinkan.

Sehingga ini, senario semasa dan keyakinan kedua-dua belah pihak adalah agak seimbang dengan kedua-dua pihak sama ada BN mahu pun PR, masing-masing mempunyai keyakinan untuk menawan negeri itu. Kekuatan BN Perak banyak terletak pada sokongan Melayu luar bandar manakala PR banyak ditentukan oleh kemantapan sokongan bukan Melayu serta undi Melayu yang berpecah. Tetapi dengan beberapa isu semasa yang berlaku dalam negara seperti isu lembu NFC, ia mungkin menjejaskan sedikit sokongan kelompok Melayu kepada BN terutama golongan muda dan mereka yang terdedah dengan maklumat internet.

Dengan lawatan Najib ke Perak esok, antaranya bertemu dengan masyarakat Felcra di Pasir Salak, mungkin disertai dengan pemberian beberapa "gula-gula" lagi ia tidak lain ialah untuk memantapkan sokongan orang-orang Melayu Perak kepada UMNO dan BN.

Apa yang menarik juga dalam politik Perak, di sebalik kekerapan Najib turun ke negeri itu dan detik PRU 13 yang makin hampir ialah isu pengganti Dr Zambry sebagai Menteri Besar semakin kuat kedengaran dan diperkatakan di mana-mana. Najib dikatakan mahu meletakkan orang lain sebagai Menteri Besar jika BN kekal berkuasa di Perak.

Meskipun Zambry dilihat tidak menimbulkan apa-apa masalah serta tiada isu kontroversi besar yang melibatkan diri, keluarga dan kepimpinannya tetapi masalah yang dihadapinya ialah beliau agak kurang disenangi oleh orang-orang lama dalam UMNO Perak. Orang-orang lama ini sama ada masih menduduki kerusi ADUN, Ketua Bahagian atau ahli perniagaan saja, merasakan banyak pandangan dan idea mereka tidak diterima pakai oleh kepimpinan Zambry yang nampaknya suka kepada idea-idea baru lagi kontemporari serta berdasarkan kajian dan penyelidikan ilmiah.

Pendekatan politik yang berasaskan idea-idea baru itu dipraktikkan bersesuaian dengan latar belakangnya kerana sebelum menjadi Menteri Besar, Zambry pernah menjadi Ketua Eksekutif INMIND, sebuah badan pemikir untuk Dr Khir Toyo dan Pengarah CELDES, juga badan pemikir untuk Muhyiddin Yassin. Maka tidak hairan, bila menjadi Menteri Besar, beliau cuba melaksanakan beberapa idea dan pendekatan baru yang dirasakan sesuai dalam kepimpinannya.

Ada kedengaran juga cakap-cakap bahawa stail kepimpinan Zambry yang terlalu menonjol mirip Dr Khir Toyo itu tidak akan mampu menjanjikan kejayaan yang berpanjangan kepada UMNO dan BN Perak. Maka, pilihan yang logik ialah mesti didatangkan seorang calon Menteri Besar baru yang agak sederhana dan boleh diterima oleh semua pihak.

Selain tekanan daripada orang-orang lama, Najib sendiri memerlukan orang yang benar-benar dipercayainya dalam politik Perak. Zambry bukanlah orang Najib serta tidak pernah mempunyai hubungan politik yang intim dengannya sebelum ini dan beliau dipilih menjadi Menteri Besar oleh Tun Abdullah Badawi. Dalam sejarah politiknya, beliau lebih mempunyai hubungan yang rapat dengan Muhyiddin dan pernah mengetuai CELDES, sebuah badan pemikir untuk Muhyiddin ketika beliau menjadi Naib Presiden UMNO.

Orang yang menjadi kepercayaan Najib di Perak ialah Zahid Hamidi, Nazri Aziz dan Husni Hanazdlah dan ketiga-tiganya menjadi menteri di peringkat pusat sekarang ini. Dengan Nazri Aziz yang lebih sesuai berfungsi di Pusat, pilihan Najib untuk menggantikan Zambry ialah Zahid Hamidi dan Husni Hanazdlah.

Namun kebelakangan ini nama Hamzah Zainuddin, Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi turut muncul sebagai antara calon yang bakal menggantikan Zambry di Perak.

Kekerapan Najib turun ke Perak adalah bersifat serampang dua mata sebenarnya, untuk memastikan BN menang dan meninjau-ninjau calon yang sesuai menggantikan Zambry di Perak. Berdasarkan pendapat semasa dan sumber yang rapat dengan kalangan UMNO Perak, kemungkinan besar calon yang menggantikan Zambry ialah antara Zahid Hamidi dan Hamzah Zainuddin. Bagi Husni pula, Najib dikatakan amat memerlukan dan selesa dengan peranannya di Kementerian Kewangan.

Berdasarkan realiti politik, Najib memang tidak ada pilihan selain menggantikan Zambry dengan orang yang benar-benar dipercayainya. Kebimbangan utama Najib ialah bilamana BN tidak memperolehi majoriti yang selesa selepas pilihanraya nanti yang memungkinkan kedudukannya sebagai Presiden UMNO akan dicabar dalam pemilihan UMNO selepas itu. Dengan Perak mempunyai 25 bahagian UMNO serta menyumbang jumlah undi yang banyak dalam menentukan hidup mati sebagai Prediden UMNO, maka kawalan terhadap UMNO Perak amat-amat diperlukan.

Mengekalkan Zambry terus kekal di Perak amat merbahaya bagi Najib, lebih-lebih lagi jika selepas pilihanraya nanti timbul desakan agar Muhyiddin mengambil alih kepimpinan UMNO berdasarkan prestasi buruk UMNO dan BN dalam PRU 13.

Jika pilihan yang ada hanya antara Zahid Hamidi dan Hamzah Zainuddin, besar kemungkinan Najib akan meletakkan Zahid sebagai penggantinya Zambry. Selain bekas Setiausaha Politiknya itu agak lebih dipercayai oleh Najib berbanding Hamzah yang semasa Najib menjadi Ketua Pemuda UMNO, beliau lebih rapat dengan Annuar Musa, Zahid juga akan lebih mudah diterima oleh semua kelompok dalam UMNO Perak. Golongan lama, generasi muda dan rakyat Perak keseluruhannya lebih mudah menerima Zahid kerana PR dan budi bahasanya yang baik dengan semua orang.

Dengan meletakkan Zahid Hamidi sebagai Menteri Besar Perak, Najib bukan sahaja dapat memastikan masa depan politiknya lebih terjamin jika beliau dicabar, tetapi juga berupaya menyediakan laluan yang lebih selesa untuk sepupunya, Hishammuddin Tun Hussein mendaki puncak kuasa. Andainya Zahid menjadi Menteri Besar Perak, masa depan politik Hishammuddin tidak mempunyai saingan lagi di peringkat pusat.

Bagi Zambry pula, meskipun beliau akan dibawa di Pusat seleas pilihanraya ini tetapi tiada jaminan beliau akan diberikan jawatan menteri penuh dalam kabinet Najib Beliau mungkin mengulangi sejarah Ramli Ngah Talib yang hanya dijadikan timbalan menteri apabila dibawa ke Pusat