"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketengahkan Dr. Asri sebagai calon perdana menteri

Tawfik Yaakub
Politik Malaysia khususnya politik kaum Melayu pada waktu ini sedang menghadapi pergolakan yang serius sama ada pihak Umno mahupun PAS.

Pergolakan serius kedua-dua parti politik utama Melayu ini merupakan satu peristiwa pahit yang seharusnya ditelan meskipun impaknya besar terhadap kestabilan politik negara.

Malah kedua-dua parti politik Melayu ini sudah ketandusan calon muda untuk mewarisi kepimpinan parti dan negara.

Hal ini berpunca daripada bebanan daripada kedua-dua parti yang kini sarat dengan “dinasour” politik sehingga mencetuskan krisis politik yang tidak terjangka.

Kedua-dua parti ini perlu mengenal pasti alternatif segera bagi menyelamatkan politik Malaysia kerana kestabilan politik Melayu merupakan asas kepada keutuhan perpaduan politik berbilang kaum di Malaysia.

Oleh itu, satu formula perlu diketengahkan dengan kadar segera untuk menyelamatkan masa depan Malaysia dengan mencari seorang tokoh muda moderat yang boleh mengembalikan kesejahteraan kepada rakyat negara ini.

Tokoh yang paling sesuai diketengahkan pada masa kini untuk menjawat jawatan sebagai perdana menteri ialah Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang jelas memiliki pendirian sederhana dalam isu agama dan politik.

Malah beliau juga dihormati oleh Umno, PAS dan parti politik lain di Malaysia. Nama beliau seharusnya diketengahkan bagi meredakan kecelaruan dan krisis politik yang sedang melanda negara daripada terus mengalami kerosakan serta mala petaka. –

*Tawfik Yaakub penganalisis politik dan calon Ijazah Doktor Falsafah Universiti Malaya.

Padah buat fitnah di Facebook

Melaka: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, petang tadi kerana memfitnah seorang Majistret dengan mempertikai hukuman yang diputuskan terhadap seorang pesalah trafik menerusi Facebook, Januari lalu.

Rahimah Salin, 34, dari Taman Tanjung Minyak Jaya, di sini, didakwa memfitnah Mohd Asri Abd Rahman Sidik,34, menerusi akaun Facebook menggunakan nama samaran Iema Elyzam pada 8 Januari lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 499 Kanun Keseksaan itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Majistret Mohd Firdaus Saleh yang mengendalikan kes itu memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh hari bermula hari ini dan denda RM1,500.

Jika gagal membayar denda, Rahimah akan dipenjara selama tiga bulan.
-hmetro-

Perogol lari tak sempat pakai seluar

Sibu: Seorang lelaki yang merogol remaja berusia 13 tahun tidak sempat memakai seluar ketika melarikan diri akibat dipukul menggunakan kayu oleh ibu remaja berkenaan dalam kejadian di kawasan Tanah Perkuburan Kristian, Sungai Merah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam, suspek berusia 19 tahun lari lintang-pukang bagi mengelak ditangkap ibu dan abang kepada mangsa yang menyaksikan perbuatan tidak senonoh lelaki berkenaan.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa yang juga pelajar sebuah sekolah menengah di sini, dibawa ke kawasan tanah perkuburan itu secara paksa sebelum suspek bertindak merogolnya.

Sumber berkata, mangsa ketika itu bersendirian dipercayai mahu mencari kakaknya di sebuah kedai berhampiran di lokasi kejadian, namun didatangi suspek yang secara kebetulan berada di kawasan terbabit.

Menurutnya, cubaan remaja itu melawan tidak berjaya apabila suspek bertindak agresif yang langsung tidak mengendahkan rayuannya, sebelum perbuatannya disaksikan ibu serta abang mangsa yang ketika itu mencarinya.

“Berang dengan apa disaksikan, wanita berusia lingkungan 40-an itu mengambil kayu memukul belakang suspek menyebabkan lelaki itu terkejut lalu melarikan diri separuh bogel tanpa sempat memakai seluar.

“Abang mangsa cuba mengejar suspek namun gagal. Sejurus kejadian itu, wanita terbabit bersama anaknya membuat laporan di Balai Polis Sungai Merah, di sini, untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, berdasarkan keterangan awal, remaja terbabit mengenali suspek menerusi aplikasi sosial WeChat sejak seminggu lalu dan pernah bertemu sebanyak tiga kali sebelum ini.

“Bagaimanapun, remaja terbabit menafikan mereka mempunyai sebarang hubungan istimewa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, bertindak atas laporan dibuat wanita itu, pihaknya menahan suspek di tempat kerjanya di Jalan Ding Lik Kwong, di sini, kira-kira jam 2 petang bagi membantu siasatan.
-hmetro-