"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Awas…anda mungkin diekori

Suspek akan menyewa kenderaan tempatan dan memerhati serta mengekori mangsa yang mengeluarkan jumlah wang besar di bank sehingga mangsa memberhentikan kenderaan sebelum bertindak.
Stalker
KAJANG: Pastikan anda tidak diekori orang tidak dikenali selepas mengeluarkan wang yang banyak dari bank.

Ini kerana anda mungkin menjadi sasaran perompak.

Menurut polis, modus operandi perompak adalah memerhati dan menyasarkan individu yang mengeluarkan jumlah wang besar di bank dan akan mengekorinya.

“Suspek akan menyewa kenderaan tempatan dan mengekori mangsa hingga tempat mangsa berhenti sebelum bertindak,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Othman Nanyan dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini.

Beliau berkata, polis menahan lima lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dalam kes pecah kereta di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras, Sabtu lepas.

Othman berkata, tiga daripada suspek itu ditahan di Stulang Laut, Johor, ketika cuba melarikan diri ke negara jiran manakala dua lagi ditahan di Pandan Jaya, Ampang.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 29 hingga 40 tahun, manakala seorang lagi suspek dalam kegiatan sama sedang diburu.

Dalam pada itu, Othman menasihatkan pemilik kedai kereta sewa agar mengambil butir-butir peribadi penyewa kenderaan mereka bagi mengelakkan penyalahgunaan.

Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Khamis lalu, dua suspek lelaki memecahkan tingkap sebuah kereta milik seorang pengarah syarikat yang sedang menunaikan solat Asar di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras.

Sebelum itu mangsa membuat pengeluaran wang dari bank berhampiran.

Suspek bertindak memecahkan kereta mangsa dan mengambil sampul surat berisi RM29,440 dan melarikan diri dengan menaiki kereta sewa jenis Myvi.

Statistik polis Kajang menunjukkan terdapat 14 kes pecah kereta di sekitar Kajang dan Bangi pada tahun lalu.
-Bernama-

Lelaki kapak zakar rakan kerana cemburu

Rusia – Cemburu dengan saiz zakar rakan yang lebih besar, seorang lelaki dari Rusia tergamak memotong kemaluan kawannya itu menggunakan sebilah kapak, baru-baru ini.

Kejadian yang berlaku di sebuah perkampungan kecil di Nikolsk, Bashkortostan itu melibatkan dua lelaki berusia 52 dan 47 tahun.

Insiden itu berlaku selepas kedua-duanya mabuk teruk dan mula bertengkar di antara satu sama lain sebelum lelaki berusia 52 tahun mengambil kapak dan menghayun ke alat sulit mangsa. Insiden berlaku selepas mereka ‘bertarung’ kemaluan siapa yang lebih besar dan bagus.

Menurut jurucakap polis, “Kedua-duanya sudah dua hari minum arak tidak berhenti sehingga mabuk teruk yang mana kemudiannya telah menyebabkan kedua-duanya saling bertengkar hingga melibatkan keganasan.”

Jiran yang terdengar jeritan mangsa menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

Kedua-dua lelaki yang tidak didedahkan identiti mereka itu difahamkan telah bersahabat baik sejak kecil.

Mangsa dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil dan kemaluannya mungkin dapat disambung semula selepas menjalani pembedahan.

Jika disabitkan bersalah, suspek boleh dipenjarakan sehingga lapan tahun berhubung dakwaan jenayah tersebut.
-kualalumpurpost-

Pisau terpacak di kepala murid perempuan dibaling rakan (Gambar)

Pisau terpacak di kepala
Beijing: Seorang budak perempuan terselamat selepas rakan sekelasnya membaling pisau yang terpacak di kepalanya secara tidak sengaja.

Mangsa dikenali sebagai Lin, 12, meninggalkan taman di Dongguan, selatan China, bersama rakannya pada 16 Mei lalu selepas bertengkar dengan seorang budak lelaki berusia 13 tahun.

Budak itu kemudian membaling pisau ke arah mereka yang tanpa disangka terpacak di belakang kepala Lin.

Lin terus dikejarkan ke hospital dan doktor melakukan pembedahan serta-merta mendapati pisau itu menembusi tengkoraknya, tetapi tidak terkena pada otak.

Gambar disiarkan media China menunjukkan pisau itu terpacak pada belakang kepalanya.

Pisau itu berjaya dikeluarkan dan Lin kini stabil.

Budak lelaki terbabit pada mulanya ditahan polis tetapi dibebaskan kerana atas faktor usia.

Media China melaporkan, dua keluarga terbabit sudah berdamai dan mencapai persetujuan di luar mahkamah.

Keluarga budak lelaki terbabit membayar sebahagian besar bil perubatan berjumlah 8,000 yuan (RM5,000).
-kualalumpurpost-