"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ia bukan desas bin desus

Hishamudin Rais

Saya Hishamuddin Rais terpanggil untuk menjawab pertanyaan media tentang tulisan saya bertajuk : Merakam Sejarah - Disailang Lagi - yang disiar dalam kolum saya di Malaysiakini pada 30 Ogos 2018

Beberapa media cetak dan portal dalam dan luar negara telah membuat laporan bersangkutan dengan tulisan saya ini.

Laporan media itu juga bersangkutan dengan komen daripada saudara Anwar Ibrahim mengenai tulisan saya.

Saya jelaskan di sini. Apa yang telah saya tulis itu adalah fakta. Saya tahu apa yang saya tulis. Ia bukan rekaan. Ia bukan desas bin desus. Ia bukan cerita tepi jalan. Ia bukan bisikan sesiapa pun.

Baca: Hishamuddin Rais ahli cereka, kata Anwar

Ada babak-babak politik yang telah menjadi berita. Babak politik ini diketahui umum.

Contohnya: Kenyataan Rafizi menolak pengumuman Mahathir yang telah melantik Lim Guan Eng, Mat Sabu dan Muhyiddin Yassin sebagai menteri.

Contohnya: Istiadat angkat sumpah lambat.

Contohnya: Pada hari Sabtu 12 Mei 2108 wajah Wan Azizah dan pemimpin PKR tidak kelihatan ketika Mahathir mengumumkan pelantikan awal tiga menteri - Muhyiddin, Mat Sabu dan Lim Guan Eng.

Fakta di belakang tabir

Apa yang saya tulis ialah menerangkan fakta-fakta di belakang tabir yang melahirkan berita-berita ini. Saya melakar peta dan mencantumkan berita dan babak ini. Saya ikat berita ini dengan babak-babak latar yang tidak diketahui umum.

Justeru saya memberi pencerahan kepada orang ramai kenapa angkat sumpah lambat. Kenapa Rafizi mengeluarkan kenyataan menolak lantikan Mahathir. Atau kenapa tidak dilihat muka Wan Azizah pada Sabtu 12 Mei 2018.

Sila ambil perhatian : Babak sejarah juga memiliki sejarahnya sendiri.

Saya lakukan ini sebagai tugas saya untuk merakam sejarah. Ini untuk rujukan anak cucu cicit kita seperti yang telah dilakukan oleh Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin. Seperti yang telah dilakukan oleh Abdullah Munshi dalam Hikayat Abdullah.

Pertahan agenda demokrasi

Saya juga menulis pekara ini kerana dalam beberapa babak saya sendiri ada bersama. Justeru saya wajib berlaku jujur kepada diri saya sendiri untuk merakamkan apa yang saya lihat dan apa yang saya dengar.

Saya tidak ambil 'pot' siapa menjadi perdana menteri. Mahathir ke? Anwar ke? Azmin ke? Lim Guan Eng ke?

Sosok-sosok hilang berganti. Menteri ini atau menteri itu akan hidup dan akan mati. Para menteri ini berpotensi untuk belot.

Pada pandangan politik saya yang fundamental bukan sosok atau individu. Untuk saya yang penting dan fundamental ialah mempertahan agenda reform.

Agenda reform ialah untuk mewujudkan lembaga-lembaga yang demokratik dalam Malaysia Baru di bawah Pakatan Harapan.

Hanya dengan perubahan struktural. Ertinya dengan mewujudkan lembaga daulah yang demokratik. Hanya dengan adanya struktur dan lembaga daulah yang demokratik maka ia boleh menjamin ruang demokrasi yang anak semua bangsa menangi pada 5 Mei 2018 akan terus wujud.

Gelojoh miliki kuasa

Menteri dilantik bukan kerana keluarga, bukan kerana turun temurun atau kerana perhubungan rapat dengan si anu atau si anu. Orang ramai melantik YB agar YB mempertahan ruang demokrasi dan agihan ekonomi yang adil.

Agenda Malaysia Baru pada saat ini ialah memertahankan ruang demokrasi.

Anak semua bangsa wajib belajar daripada apa yang terjadi di Filipina. Bagaimana ‘People Power’ dari kemenangan Corazon Aguino (1986) akhirnya hari ini melahirkan Duterte. Kita juga wajib melihat apa yang telah terjadi di Indonesia.

Anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Malaysia wajib sedar bahawa kemenangan ruang demokrasi pada 5 Mei 018 ini boleh hilang lenyap dalam sekelip mata.

Ruang demokrasi ini berkemungkinan hilang jika anak semua bangsa tidak menolak sosok-sosok yang gopoh lagi gelojoh untuk memiliki kuasa.

Sosok-sosok yang berebut -rebut untuk mendapat kuasa. Bukan bangun mempertahan agenda reform dan ruang demokrasi tetapi untuk mensabotaj agenda reform dan kembali kepada Malaysia lama yang feudal.

Dah banyak kali lebai PAS ni menggunakan masjid untuk menyebar fitnah, tindakkan keras patut diambil

AMANAH Kedah lapor polis dakwa penceramah bebas fitnah kerajaan PH
MOHD ALI HASHIM 
Khairizal (dua dari kiri) bersama dua saksi menunjukkan laporan polis yang telah dibuat semalam.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Negeri Kedah, Mohd Khairizal Khazali, bersama-sama dengan Ahli Jawatankuasa AMANAH kawasan Merbok dan Sungei Petani telah membuat laporan polis terhadap penceramah bebas, Shaharudin Ibrahim di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Sungei Petani semalam.

Menurut Khairizal lagi, laporan polis dibuat setelah mendapati penceramah tersebut memfitnah kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Al-Muttaqin, Taman Ria, Sungei Petani kelmarin.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda AMANAH kawasan Merbok turut berkata, antara teks khutbah yang dibacakan mendakwa kerajaan PH mengiktiraf LGBT.

“Dalam khutbah tersebut juga dinyatakan bahawa kerajaan PH akan membina tandas untuk golongan LGBT.
Shaharudin Ibrahim yang didakwa memfitnah kerajaan Pakatan Harapan dalam khutbah Jumaat beliau di Sungei Petani.

“Selain itu beliau turut mendakwa kerajaan PH melantik orang kafir menjadi Menteri kabinet serta akan membubarkan Jakim.

“Beliau juga menghasut jemaah supaya menolak kerajaan PH,” tegasnya.

Sehubungan itu jelas Khairizal lagi, khutbah tersebut berniat jahat dan menghasut rakyat untuk membenci kerajaan.

Oleh kerana itu tambahnya, pihak berwajib dan berkuasa harus mengambil tindakan segera terhadap Shaharudin dan Ahli Jawatankuasa Masjid agar perkara ini tidak berulang lagi.

Ujarnya lagi terdapat ramai saksi yang dapat diketengahkan sebagai bukti mengenai dakwaan yang telah dibuat terhadap khutbah Jumaat yang disampaikan Shaharudin.

Warga asing kuasai PPR Lembah Subang? [VIDEO]

[VIDEO] Warga asing kuasai PPR Lembah Subang?

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Warga asing kebanyakannya rakyat Indonesia dipercayai menguasai pangsapuri-pangsapuri kos rendah di kawasan Lembah Subang, Selangor sehingga menyebabkan rakyat tempatan yang layak menghuninya tidak dapat mendudukinya.

Perkara ini didedahkan oleh seorang netizen, Zainurizzaman Muharram di laman Facebooknya selepas mendapat tahu mengenainya ketika cuba membantu sebuah keluarga gelandangan mendapatkan sebuah unit pangsapuri berkenaan.

Menurut Zainurizzaman, keadaan itu disedari ketika dia bersama seorang rakan meninjau ke Pangsapuri Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang baru-baru ini bagi tujuan membantu keluarga gelandangan berkenaan.

Dia melakukan tinjauan itu selepas dimaklumkan petugas di pejabat Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha semua permohonan rumah rakyat telah dibekukan dan tiada unit kosong untuk diberikan kepada keluarga berkenaan.

Dalam tinjauan yang dilakukan, beliau telah mendapati hampir 70 buah unit rumah di pangsapuri tersebut dihuni oleh warga asing yang turut membuat sambungan bekalan elektrik haram terus dari meter milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Alasan penuh itu biasa didengari daripada pihak berwajib namun apa yang tidak boleh diterima ialah rumah-rumah berkenaan penuh dengan warga asing.

“Saya sendiri telah berkali-kali memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai perkara ini dan apa yang dikesalkan, setiap kali dimaklumkan mengenainya, mereka hanya memberikan jawapan ‘kami tidak boleh melakukan apa-apa’,” jelas beliau kepada Utusan Online ketika dihubungi hari ini.

Bagi membuktikan kebenaran pendedahan yang dilakukan, Zainururizzaman turut memuatnaikkan dua rakaman video yang menunjukkan keadaan di PPR berkenaan.

Menurut beliau, pihak berwajib perlu segera mengambil tindakan ke atas pemilik-pemilik rumah-rumah rakyat berkenaan bagi menghalang PPR dari terus dipenuhi oleh warga asing dan bukannya rakyat tempat yang memerlulkan.

Tambah beliau, mereka bukan sahaja merampas hak rakyat tempatan tetapi juga membahayakan penduduk setempat dengan membuat sambungan bekalan elektrik haram seperti yang dikesan dalam tinjauan yang dilakukan. - UTUSAN ONLINE

Nurulanuar Mansor
29 Ogos 2018