Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my

Gambar dan video tular berdurasi 35 saat memaparkan kejadian itu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu ketenteraman awam. FOTO IHSAN PEMBACA
Shah Alam: Polis Shah Alam sedang mengesan suspek yang disyaki terbabit dalam kes bakar mercun di atas Jalan Persimpangan Jalan Hamzah Seksyen U14 yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, siasatan mendapati, video terbabit memaparkan sekumpulan lelaki disyaki membakar mercun di atas Jalan Persimpangan Jalan Hamzah Seksyen U14.

Menurutnya, laporan dibuat Ketua Polis Balai Bukit Jelutong berkaitan penularan video kes terbabit di dalam aplikasi Threads hari ini.
"Kejadian ini disyaki berlaku pada semalam, kira-kira jam 4.22 petang semasa perarakan kematian menuju ke Tapak Perkuburan Bliss Garden Setia Alam.
"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek yang terbabit dalam aktiviti membakar mercun ini dan saksi yang berada di tempat kejadian" katanya dalam kenyataan hari ini.
Sarudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957.
"Jika didapati bersalah boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya sekali.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Mohd Razi Sahari di talian 019-5717076," katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 35 saat memaparkan kejadian itu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengganggu ketenteraman awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan