"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua mayat ditemukan dalam kereta di Semenyih

MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD

KAJANG – Dua individu yang dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak beberapa hari lalu ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di kawasan tempat letak kenderaan awam berhadapan Super Seven, Vista Valley, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan dua mayat itu kira-kira pukul 3.54 petang.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa masing-masing seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan wanita tempatan berusia 43 tahun ditemukan di tempat duduk hadapan sebuah Hyundai Atos berwarna hijau.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati tiada kesan umpilan pada kenderaan berkenaan selain tiada kecederaan atau tanda jelas menunjukkan unsur jenayah pada kedua-dua mangsa.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa yang merupakan kenalan telah dilaporkan tidak dapat dihubungi dan tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari sebelum ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa dijalankan di Unit Forensik Hospital Kajang hari ini.

“Bagaimanapun, punca kematian masih belum dapat ditentukan dan pihak polis masih menunggu keputusan pemeriksaan makmal.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah ditemukan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.

Naazron berkata, kes diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR).

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muaz Mazlan di talian 017-978 8804 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: