FMT Reporters
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Ayer Keroh mendenda seorang pesara tentera RM1,000 yang mengaku bersalah menampar seorang remaja lelaki 13 tahun dua minggu lalu.
Harian Metro melaporkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Abdullah, 63, atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Lelaki itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap remaja terbabit di tepi Jalan TM35, Taman Tanjung Minyak, Melaka kira-kira 5.15 petang 11 Ogos lalu.
Mengikut fakta kes, mangsa sedang mengejar ayam di tepi jalan sebelum didatangi tertuduh yang bertanyakan adakah mangsa mencuri ayamnya.
Tertuduh menampar pipi kanan mangsa, yang menafikan tuduhan itu, dua kali. Remaja terbabit kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan membuat laporan polis.
Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami kecederaan “soft tissue injury right cheek”.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, JC Goh merayu anak guamnya dikenakan denda minimum kerana hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai pesara tentera dan perlu menanggung isteri tidak bekerja serta tiga anak.
Tetapi, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh.
Mahkamah mengenakan denda RM1,000 atau penjara sebulan, jika gagal bayar denda itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan