Harapandaily
Polemik berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji terus menjadi perhatian apabila Umno dan Pas didakwa cuba mengalihkan fokus daripada tindakan susulan kepada cadangan siasatan baharu.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Aziz Bari, berkata tindakan Umno dan Pas sejak laporan RCI itu didedahkan dilihat ganjil, termasuk tindakan memboikot persidangan Parlimen serta menganjurkan seminar yang mempertikaikan dapatan sebuah suruhanjaya diraja.
Menurutnya, kedua-dua parti itu perlu mengakui bahawa RCI berkenaan ditubuhkan dan menyiapkan laporannya ketika mereka sendiri berada dalam kerajaan.
“Umno dan Pas perlu akur bahawa suruhanjaya tersebut ditubuh dan menyiapkan laporan ketika mereka sendiri berada dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aziz berkata RCI berkenaan juga bukan sebuah badan yang dibentuk sewenang-wenangnya, sebaliknya ditubuhkan dan menjalankan fungsinya mengikut peruntukan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Disemak 1973).
Justeru, katanya, Umno dan Pas sewajarnya menghormati proses serta hasil siasatan yang telah dijalankan mengikut kerangka undang-undang tersebut.
Beliau turut mengingatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini telah menitahkan supaya tindakan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab, termasuk gesaan supaya pihak terbabit dicari hingga “ke lubang cacing”.
Dalam keadaan itu, Aziz berkata tumpuan tidak seharusnya lagi diberikan kepada pembukaan siasatan baharu, sebaliknya kepada tindakan susulan terhadap dapatan RCI.
“Tindakan Umno dan Pas mengadakan seminar dan mahukan RCI yang baru jelas tidak selaras dengan perkara-perkara di atas.
“Masa untuk siasatan sudah berlalu dan sekarang adalah masa untuk bertindak,” katanya.
Aziz turut mendakwa Pas seolah-olah enggan menggunakan ruang yang tersedia di Parlimen untuk membahaskan isu tersebut, sebaliknya memilih untuk bersama Umno mengalihkan perhatian kepada perkara lain.
“Pas terutamanya enggan menggunakan medan yang disediakan dan sekarang bersekongkol dengan Umno untuk mengalihkan perhatian kepada isu lain,” katanya.
Pada masa sama, Aziz menegaskan isu Tabung Haji tidak boleh dilihat sebagai masalah yang hanya membabitkan satu kelompok masyarakat kerana langkah menyelamatkan institusi itu turut memberi kesan kepada kewangan negara.
Katanya, kepentingan pembayar cukai juga perlu diambil kira kerana langkah pemulihan Tabung Haji sebelum ini melibatkan dana dan kepentingan rakyat secara keseluruhan.
“Perlu diingatkan bahawa skandal Tabung Haji ini adalah isu yang menyentuh kepentingan semua kaum di Malaysia.
“Ini kerana langkah menyelamatkan Tabung Haji telah melibatkan semua rakyat, khususnya pembayar cukai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agensi penguat kuasa meneruskan tindakan berdasarkan dapatan RCI dan tidak melayan desakan yang menurutnya hanya akan memanjangkan proses.
Aziz berkata persoalan utama sekarang ialah memastikan sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang, pihak yang bertanggungjawab perlu disiasat dan diambil tindakan.
“Desakan Umno dan Pas tidak harus dilayan dan kita menyeru agensi penguat kuasa untuk segera bertindak,” katanya.
Polemik berhubung laporan RCI Tabung Haji dijangka terus menjadi bahan perdebatan politik susulan desakan beberapa pihak supaya aspek tertentu dalam laporan berkenaan diteliti semula.
Namun bagi Aziz, tumpuan kini sepatutnya beralih daripada persoalan sama ada perlu diwujudkan RCI baharu kepada persoalan lebih penting apakah tindakan yang perlu diambil berdasarkan dapatan yang sudah tersedia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan