"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Mat Hasan rapat dengan PAS, boleh tolak ansur isu arak'

Zikri Kamarulzaman

PRK RANTAU | Presiden PKR, Anwar Ibrahim malam tadi mempertahankan hak orang bukan Islam untuk minum minuman keras.

Pada masa sama beliau juga mempertahankan hak menteri besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun agar tidak bersubahat dalam isu membabitkan penjualan bir.

Beliau berkata demikian susulan arahan untuk melarang penjualan alkohol di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) - di mana Aminuddin Harun menjadi presidennya selepas dilantik sebagai menteri besar Negeri Sembilan.

"Marah sesetengah orang dekat KL, apa ni MB, tak tolak ansur, tak boleh minum beer. Saya nak bagitahu begini.

"Orang bukan Islam nak minum beer itu hak dia. Tak pernah kita ada hak untuk sekat atau larang dia, dengar betul-betul.

"Tapi untuk dia jadi pengerusi dia tak nak bersubahat. Mat Hasan tak apalah. Mat Hasan dia tolak ansur pasal dia baik dengan PAS, jadi jual arak tak apa. Ha, jawab jawab. Tengok dia jawab macam mana," kata Anwar.

Beliau berkata demikian pada ceramah di Kampung Felda Sendayan sempena kempen pilihan raya kecil (PRK) Rantau.

Pengharaman bir di SIGC dilaporkan berkuat kuasa Ogos tahun lepas, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih negeri ini.

Larangan itu dibatalkan selepas mesyuarat agung luar biasa minggu lalu.

Aminuddin yang dilantik sebagai presiden kelab itu menafikan telah mengarahkan larangan penjualan alkohol di kelab itu secara peribadi.

Anwar berkata isu itu menjadi punca perselisihan di kalangan pengundi India dalam PRK Rantau.


"Dia (Mat Hasan) nak jaga orang India, orang India cakap Mat Hasan bagus. Dia pun ok, (India) boleh minum punya.

"Kadang saya tengok di kawasan India 'tengok ni MB (Aminuddin) very strict, dia extreme punya'.

"Tak, tak betul. We respect hak dia. Dan saya minta orang bukan Islam faham, kadang-kadang sesetengah orang Islam lupa.

"Dalam Islam tak boleh subahat tapi jangan lupa kita tak boleh halang hak mereka (bukan Islam)," kata Anwar.

Lelaki mengamuk gagal keluar duit ATM ditembak

KLANG - Gara-gara tidak berpuas hati kerana gagal mengeluarkan wang daripada sebuah bank, seorang lelaki di bawah pengaruh dadah telah mengamuk dan menyerang dua anggota polis dalam satu kejadian di hadapan sebuah bank di sini tadi.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berasal dari Sabah itu akhirnya membawa padah apabila pihak polis telah melepaskan dua das tembakan yang telah mengenai perut suspek dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati suspek terlebih dahulu telah ke bank tersebut bagi mengeluarkan sejumlah wang daripada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, bagaimanapun suspek dikatakan mengamuk selepas gagal mengeluarkan sebarang wang dari mesin ATM itu sebelum beredar.

"Pengawal keselamatan bank memaklumkan kepada anggota polis bahawa suspek akan kembali ke bank pukul 2 petang selain akan mengamuk sekali lagi sekiranya gagal mengeluarkan wang lagi.

"Kira-kira pukul 2 petang pengawal keselamatan telah menghubungi anggota Unit Rodaan Bermotosikal (URB) dan memaklumkan suspek berada di bank, "katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shamsul Amar memberitahu, anggotanya kemudian menghala semula ke bank berkenaan dan mendapati suspek berada di hadapan bank dalam keadaan marah dan memegang pisau.

Ujar beliau, seorang anggota polis cuba menenangkan suspek namun suspek bertindak agresif mengejar anggota polis berkenaan dan cuba menikam dengan pisau.

"Bagi mempertahankan diri dua anggota yang berada di lokasi kejadian telah melepaskan empat das tembakan dan dua daripadanya mengenai perut suspek.

"Kita turut merampas sebilah pisau satu peket mengandungi serbuk putih dipercayai dadah dalam beg pinggang suspek" katanya.

Jelas Shamsul Amar, suspek yang cedera itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

"Hasil siasatan awal turut mendapati wang yang cuba dikeluarkan oleh suspek didapati belum memasuki akaun simpanannya.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau dan ketika kejadian suspek dibawah berada di bawah pengaruh dadah,"katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - K! ONLINE

Larangan pamer gambar YDP Agong dan PM hanya satu gurauan?

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menganggap surat pekeliling yang membenarkan hanya empat gambar rasmi digantung pada pejabat kerajaan sebagai satu jenaka dari kerajaan Kelantan.

Wan Rahim ketika dihubungi berkata surat pekeliling yang tersebar masih tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana ia mungkin satu gurauan.

Katanya ia berikutan surat tersebut dikeluarkan pada 1 April yang berkait rapat dengan musim ‘April Fool’.

“Mengikut budaya masyarakat Inggeris, 1 April sebagai tarikh yang tidak boleh dipercayai.

“Jadi kalau saya jadi Setiausaha Kerajaan Negeri, saya akan buat surat pada 31 Mac atau 2 April. Apabila mereka mengeluarkan kenyataan pada 1 April, saya anggap ia sebagai lucu.

“Mungkin mereka ingin bergurau dengan rakyat. Tapi kalau cerita sebenarnya, saya tidak pastilah. Tapi bagi pendapat saya, saya masih meraikan surat itu sebagai April Fool dari kerajaan negeri itu,” katanya.

Semalam, surat yang bertarikh 1 April 2019 – menyatakan gambar yang diizin digantung ialah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V; Tengku Mahkota Kelantan, Sultan Ismail Petra Yahya Petra dan Menteri Besar Kelantan.

“Hanya gambar-gambar sebagaimana berikut yang boleh dipamerkan di semua pejabat kerajaan negeri dan persekutuan di Kelantan, manakala gambar-gambar selain itu adalah dilarang sama sekali dipamerkan,” kata surat tersebut.

Jika surat itu sahih dan kandungannya benar, bermakna tiada mana-mana premis kerajaan negeri atau pusat boleh menaikkan gambar pemimpin lain, termasuk Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri.

Melalui imej yang tersebar itu, surat tersebut dilihat ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan, Adnan Hussin.

Beliau turut menafikan kenyataan tersebut berkait dengan mana-mana isu politik di Malaysia.