"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya tak pasti siapa yang pekak - Mufti jawab Tun M

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mempertahankan kenyataannya bahawa ramai orang kini beranggapan Islam berada dalam keadaan tidak selamat di bawah pentadbiran kerajaan PH.

Beliau juga memulang paku buah keras terhadap kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad malam tadi bahawa tidak pasti siapa yang ‘pekak’ terhadap rungutan umat Islam itu.

“Banyak berita pagi ini pasal kenyataan YAB Tun M: Mufti Perlis pekak sebab kritikan yang saya suarakan mempertahankan Islam kurang kedengaran dalam kalangan pimpinan kerajaan hari ini. Umat Islam rasa kurang selamat.

“Namun, sesiapa yang mampu mendengar keresahan rakyat, itulah realiti yang disuarakan oleh setiap lapisan masyarakat Islam di negara ini.

“Saya tidak pasti siapa yang pekak,” kata Asri di Facebooknya hari ini.

Malam tadi, Mahathir menafikan dakwaan Mohd Asri bahawa kedudukan Islam semakin tidak selamat di bawah PH.

"Pasal dia 'pekak'.

"Kalau dia boleh dengar, dia boleh dengar kita buat macam-macam untuk orang Islam, untuk Islam. Tapi dia tak dengar," sindir Dr Mahathir.

Pegang pada falsafah

Kenyataan awal Mohd Asri dikeluarkan selepas pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu, ditangkap awal pagi semalam atas dakwaan menghina Hindu dalam satu ceramah.

Untuk rekod Muhammad Zamri ialah orang yang dekat dengan pendakwah dikehendaki kerajaan India, Dr Zakir Naik.

Mohd Asri adalah antara orang yang dilihat rapat dengan Zakir.

Kata Mohd Asri penangkapan Muhammad Zamri menunjukkan masyarakat Islam semakin "dibuli" oleh kerajaan PH.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata tindakan Mahathir membalas tegurannya itu mungkin kerana terguris disebabkan hubungan baik terjadin di antara mereka berdua selama ini.

Dalam catatan itu juga, Mohd Asri turut memuat naik gambar tulisan tangan Mahathir untuknya dalam buku tulisan perdana menteri, A Doctor In The House.

Antara yang ditulis: Jangan ketepikan kebenaran kerana takut. Perjuangan yang bebas dari cabaran dan tentangan bukanlah perjuangan yang sebenarnya.

“Insya-Allah saya akan berpegang kepada falsafah itu sekali pun terhadap kerajaan pimpinan Tun M sendiri,” kata Asri.

Rakyat makin akur Islam ‘tidak begitu selamat’ bawah PH, kata Asri

FMT Reporters
PETALING JAYA: Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa suara “mempertahankan Islam” sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini, menjadikan rakyat makin akur Islam “berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat” bawahnya.

Asri yang juga mufti Perlis berkata demikian ketika mengulas seorang “Firdaus” di Facebook hari ini.

Beliau berkata pelbagai kenyataan dibuat oleh individu-individu dalam kerajaan yang dianggap menghina orang Islam dan menimbulkan ketegangan kaum “hanya dipanggil untuk beri keterangan”, tetapi seorang individu yang berkongsi pengalaman peribadi menukar agama dan memilih agama Islam ditangkap.

“Apakah fakta beliau palsu? Apakah beliau menghina atau sekadar kisah dirinya sendiri?” katanya.

Beliau merujuk kepada penahanan Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu semalam yang didakwa menghina agama Hindu, dalam satu ucapan di Masjid As Siddiqin di Kampung Panchor, Kelantan pada 30 Disember tahun lalu.

Zamri disiasat bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana mengganggu keharmonian dan mengeluarkan kata-kata menghina.

“Apakah beliau bertujuan untuk menimbulkan ketegangan seperti kenyataan pemimpin-pemimpin yang telah menyebabkan peristiwa tragedi antara kuil dan pihak bomba?” kata Asri.

Beliau merujuk kepada rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada November tahun lepas, yang menyaksikan beberapa kenderaan terbakar, kompleks One City dirosakkan dan seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah dan meninggal dunia.

Asri menegaskan Zamri dalam ucapannya hanya berkongsi sedikit pengalaman peribadi sebelum menganut Islam, dan penceramah itu juga membuat banyak program membina hubungan antara agama bawah One Centre Malaysia.

“Saya tidak menyalahkan polis, tetapi ini berlaku kerana realiti politik yang membiarkan umat Islam dibuli,” katanya.

“Suara-suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan yang memimpin pentadbiran hari ini melainkan sejumlah kecil. Apakah ini suatu keadilan?

“Realiti ini menjadikan rakyat makin akur bahawa Islam berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran hari ini.”

'Ada pihak tak senang Dr M mahu Hamid jadi IGP'

Faisal Asyraf

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilihat sebagai pilihan utama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi ketua polis negara (IGP) yang baru.

Bagaimanapun, menurut sumber, ada ura-ura mengatakan beberapa pihak dalam polis tidak berapa senang dengan pilihan perdana menteri itu.

Sekiranya Abdul Hamid dilantik menjadi ketua polis negara yang baru menggantikan Mohamad Fuzi Harun yang dijangka bersara minggu ini (4 Mei), dia akan menjawat jawatan itu dengan status kontrak.

"Pilihan Tun (Dr Mahathir) tidak begitu disenangi pihak tertentu.

"Persoalan yang ditimbulkan ialah: kenapa lantik seseorang yang berstatus kontrak? Sedangkan sepatutnya ada calon lain dengan gred penjawat awam yang sesuai yang sedang menunggu untuk menjawat jawatan itu," kata sumber.

Tambahnya, perkara itu dibincang dan didebatkan dalam sebuah mesyuarat Kementerian Dalam Negeri.

"Ada contoh kes sebelum ini merujuk kepada pelantikan Mohamed Khalid Yusuf sebagai Ketua Pengarah Kastam atas kontrak.

"Jadi dari segi itu, dipersetujui bahawa tiada masalah untuk melantik ABdul Hamid sebagai IGP atas kontrak," katanya.

Untuk rekod, Mohamed Khalid menjadi ketua pengarah Kastam atas status kontrak setahun, dari Jun 2011 hingga Jun 2012.

Abdul Hamid berat hati

Sumber juga berkata Dr Mahathir berkeras untuk melantik Abdul Hamid sebagai IGP.

"Dr Mahathir melihat Abdul Hamid yang merupakan bekas pengarah Cawangan Khas sebagai calon yang tepat untuk jawatan itu dengan mengambil kira pengetahuan dan pengalamannya.

"Dr Mahathir merasakan Abdul Hamid merupakan orang terbaik untuk menerajui polis menjaga keamanan dalam situasi cabaran politik di negara ini ketika ini," katanya.

Bagaimanapun, tambah sumber, Abdul Hamid dikatakan keberatan untuk dilantik susulan ura-ura yang mengatakan ada pihak tidak begitu senang jika dia dilantik menjadi IGP.

Ketika diminta untuk mengulas, Abdul Hamid memberitahu Malaysiakini: "Susah untuk saya ulas... Tapi saya sudah difahamkan bahawa Tun (Dr Mahathir) akan mengumumkan pengganti (IGP) minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di_pertuan Agong.

"Apapun, kerajaan tahu apa yang terbaik untuk negara," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata nama calon pengganti IGP sudah diserahkan kepada Dr Mahathir beberapa minggu lalu.

Jelas Muhyiddin, Dr Mahathir akan meneliti senarai calon sebelum mengemukakannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan.

Muhyiddin juga berkata perdana menteri mempunyai hak untuk membuat pertukaran.

"Jika beliau (Dr Mahathir) mahu buat penukaran sebelum mengemukakan nama calon IGP kepada Yang di-Pertuan Agong, itu haknya sebagai perdana menteri," kata Muhyiddin.

Hampir empat dekad berkhidmat bersama PDRM, Abdul Hamid menjadi perhatian pada 2015 apabila membuat dakwaan ada pihak tertentu yang menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1MDB, selain mendesak siasatan dibuat secara telus.

Ketika itu beliau menjadi timbalan pengarah Cawangan Khas (SB).

Abdul Hamid kemudian dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri - bersama-sama pengarah bahagian operasi khas SPRM ketika itu Bahri Mohd Zin - sebulan selepas khidmat Abdul Gani Patail sebagai peguam negara ditamatkan.

Beliau kembali ke PDRM apabila dilantik sebagai pengarah SB beberapa minggu selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.