"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Asyraf Wajdi ibarat marahkan nyamuk, kelambu dibakar

AKMAL MANAF
Demi menjaga imej Muafakat Nasional dan Penyatuan Ummah, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sepatutnya membantu memberi cadangan bernas dan bukannya memanjangkan pembohongan.

Perkara itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sambil menyifatkan, ketua pemuda Umno itu tidak sepatutnya memanjangkan pembohongan ibarat lebai malang kerana marah nyamuk, kelambu dibakar.

“Asyraf sepatutnya malu pada diri sendiri dan juga kepada umat Islam kerana gagal membetulkan keadaan ketika beliau menjadi timbalan menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam sebelum ini.

“Adalah sebelum ini ketika Umno berkuasa, semasa Tabung Haji (TH) dalam keadaan tenat, ketua pemuda ini terlalu asyik dibuai mimpi dan kini baru terjaga?

“Malangnya keprihatinan beliau hari ini tentang TH bersandarkan kepada kepalsuan dan penuh dendam kesumat terhadap kejayaan Pakatan Harapan (PH) menyelamatkan TH.

“Ini bukanlah kali pertama Asyraf mengeluarkan kenyataan yang bukan sahaja tidak tepat, malah ianya palsu dan berniat fitnah kepada TH dan juga PH,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam kenyataan itu, Dr Mujahid yang juga merupakan Naib Presiden AMANAH turut mendedahkan kenyataan Asyraf yang tidak tepat dilemparkan kepada pihaknya.

“Pada 3 Mei lalu, beliau mengeluarkan dakwaan kononnya umat Islam di negara ini kehilangan kuota tambahan untuk menunaikan haji kerana hubungan dingin antara kerajaan PH dengan Arab Saudi.

“Bukan itu sahaja, malah pada Mac tahun ini pula beliau mendakwa aset TH diurus oleh bukan Islam. Terkini, Asyraf mendakwa pula menjual pegangan saham dalam TNB dan semua fitnah-fitnah itu dan sebelumnya telah pun dijawab berserta fakta.

“Kenyataan yang dikeluarkan langsung tidak membantu memartabatkan institusi umat Islam malah, sebaliknya berpotensi menjejaskan pasaran saham dan amat membahayakan kepentingan TH secara menyeluruh yang kini telah pulih imejnya,” katanya lagi.

Bekas MB Johor ‘hampir pasti’ bertanding Tanjung Piai

FMT Reporters
PETALING JAYA
: Bekas menteri besar Johor Khaled Nordin hampir pasti dinamakan sebagai calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Tanjung Piai, pertama kali seorang calon bukan MCA akan bertanding di kerusi Parlimen itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini mengumumkan 16 Nov sebagai hari mengundi bagi Tanjung Piai, yang kosong selepas kematian Md Farid Md Rafik dari PPBM bulan lepas.

Sumber Umno memberitahu FMT bahawa Khaled, yang juga naib presiden Umno, dapat “restu” daripada pimpinan tertinggi parti untuk mewakili BN.

Pada Sabtu, 88 ketua bahagian Umno meluluskan resolusi menuntut BN memilih calon daripada parti mereka.

“Kerusi MCA itu terlalu lama sedangkan kita mempunyai majoriti Melayu di kawasan itu,” kata Ketua Umno Tanjung Piai Jefridin Atan kepada FMT.

Tanjung Piai pernah menjadi medan tempur antara MCA dan DAP tetapi DAP beri laluan kepada PPBM pada pilihan raya umum lepas.

Farid menang kerusi itu dengan majoriti 524 undi. Penyandang, Wee Jeck Seng dari MCA, meraih 20,731 undi dan Nordin Othman dari PAS dapat 2,962 undi.

Sebanyak 57% pengundi di Tanjung Piai adalah Melayu, diikuti Cina (42%), dan India (1%).

Khaled ketika dihubungi nafi dia calon yang disebut-sebut akan bertanding.

“Bukan, calon tempatan,” katanya dalam pesanan teks.

Tidak tahu tugas AG, MP Pas diminta letak jawatan

MALAYSIADATELINE

(gambar kecil) Ahmad Amzad Hashim dan Hanipa Maidin
Timbalan Menteri Undang-undang Mohamed Hanipa Maidin meminta Ahli Parlimen Kuala Terengganu meletakkan jawatan kerana tidak tahu tugas Peguam Negara.

Membalas tuntutan Ahli Parlimen Pas, Ahmad Amzad Hashim itu yang mendesak AG meletakkan jawatan agar tidak mengganggu siasatan polis, Hanipa berkata beliau yang patut meletakkan jawatan.

“Alasan Yb ini adalah agar TS AG tak terbabit dengan siasatan kematian arwah Adib.

“Salah tembak tu YB! AG memang tidak terbabit dalam proses siasatan .

“Itu bukan bidangkuasa beliau. So alasan minta jawatan tu pun tersasar YB. Ginilah je YB.. YB je lah letak jawatan sebab YB ni main tembak sembrono je!”, ujar Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang dalam kenyataan di facebook hari ini.

Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang disiarkan dalam sebuah portal berita, menggesa Peguam Negara Tommy Thomas tidak lagi terbabit dengan siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ini susulan keengganan Tommy Thomas melepaskan jawatannya walaupun didesak oleh pelbagai pihak.

Ahmad Amzad berpandangan Tommy Thomas masih berada dalam prosiding menghina mahkamah, justeru dilihat sebagai pihak yang berkepentingan dalam kes itu.

Jumaat lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib pada tahun lepas, adalah akibat perbuatan jenayah dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Adib menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu, selepas 21 hari bertarung nyawa susulan kejadian rusuhan di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Hari ini Tommy Thomas berkata, pihaknya akan meneliti secara profesional dan berhati-hati sebaik kertas siasatan berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.