"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana cara buat aduan terhadap perokok di premis makanan?

FMT Reporters
Kepada si perokok, berhati-hatilah kerana ramai yang akan memerhati anda di sekeliling tahun ini.
Bukan kerana anda tampak bergaya dengan sebatang rokok, tetapi jika anda menghisapnya di premis makanan, saman menanti anda berikutan aduan daripada orang ramai atau pihak penguatkuasa itu sendiri.

Kini orang ramai boleh membuat aduan dengan segera.

Bagaimana caranya?

Pengguna boleh menghantar bukti kesalahan, nama restoran, waktu dan lokasi kejadian dilakukan ke nombor 010-8608949 atau boleh terus membuat panggilan ke 03-88924530.

Denda bagi kesalahan tersebut ialah sebanyak RM250 dan boleh dikurangkan kepada RM150 jika denda dibayar dalam tempoh kurang daripada sebulan.

Bagaimanapun jika pesalah ingkar, dia boleh didenda maksimum sebanyak RM10,000 atau penjara 2 tahun.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan melaporkan 605 kompaun telah dikeluarkan sepanjang dua hari perlaksanaan larangan tersebut.

Rata-rata netizen bersetuju larangan ini dikuatkuasakan dan berharap perkara ini berterusan sampai bila-bila.

Jadi, jalankan amanah anda sebagai rakyat yang bertanggungjawab dengan melaporkan tindakan individu yang masih berdegil kepada pihak berkuasa melalui aplikasi WhatsApp.

Hanya 13% orang Melayu sokong Anwar jadi PM?

Timmy Say

Kajian Merdeka Center berdasarkan sampel yang diambil pada November 2019 mendedahkan sokongan masyarakat Melayu kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri ke-8 hanya berada di lingkungan 13%.

Perkara ini jauh lebih mengejutkan daripada tindakan Maszlee Malik meninggalkan Kabinet pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, perlu diingatkan kajian Merdeka Center dilakukan sebelum isu dakwaan seksual terhadap Anwar oleh bekas penyelidik di pejabatnya, Muhammed Yusoff Rawther menjadi sensasi pada Disember lalu. Impak dakwaan ini dalam sokongan masyarakat Melayu terhadap Anwar belum diketahui.

Meskipun Anwar mendapat sokongan agak tinggi daripada masyarakat Cina (58%) dan masyarakat India (62%), tetapi tanpa sokongan masyarakat Melayu yang kukuh, beliau hanya mempunyai sokongan 32% secara purata daripada semua kaum.

Ini jelas apabila Mahathir yang diserang kiri kanan saban hari masih mencatatkan purata sokongan 42%, iaitu 10% lebih tinggi daripada Anwar secara purata daripada semua kaum.

Walaupun sokongan masyarakat Cina dan India menjunam kepada 20% dan 14%, Mahathir masih mempunyai sokongan purata 42% kerana 58% masyarakat Melayu menyokongnya sebagai perdana menteri.

Meskipun tidak dinyatakan secara khusus dalam kajian Merdeka Center, berdasarkan bacaan politik semasa, sokongan menjunam masyarakat Cina dan India terhadap Mahathir boleh dilihat daripada 2 isu utama – pelaksanaan 3 muka surat tulisan Jawi di sekolah vernakular dan keputusan kerajaan memberi ruang kepada Dr Zakir Naik untuk terus bermastautin di Malaysia meskipun beliau dikehendaki India.

Persoalannya, apakah sokongan tinggi masyarakat Cina dan India terhadap Anwar berpunca daripada kepercayaan Anwar akan mengambil pendirian berlainan daripada Mahathir dalam isu kontroversi tulisan Jawi dan Naik, serta isu lain yang mereka tidak berpuas hati?

Jika ya, apakah mereka kini kecewa apabila Anwar baru-baru ini mengecam mereka yang menentang pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular sebagai keterlaluan sehingga menyentuh perasaan orang Melayu?

Ataupun sokongan mereka terhadap Anwar hanyalah reflektif kepada kebencian mereka terhadap Mahathir tanpa mengira apa isunya?

Jika kajian Merdeka Center ini jitu, nampaknya semakin berliku jalan untuk Anwar menjadi perdana menteri ke-8 yang boleh diterima secara seimbang oleh rakyat Malaysia.

Pendek kata, Anwar perlu melakukan sesuatu untuk memulihkan imejnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Jika sokongan terhadap Anwar terus merudum, ini akan menyebabkan Mahathir sukar menunaikan janji untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar kerana dikhuatiri penyerahan kuasa ini mungkin membawa lebih banyak kesan negatif berbanding kesan positif kepada kestabilan negara, khususnya.

Tidak adil Maszlee sahaja letak jawatan, kata penganalisis

Mohamad Fadli dan Nur Hasliza Mohd Salleh
PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpandangan tidak adil Maszlee Malik seorang sahaja meletak jawatan, sedangkan terdapat beberapa menteri lain yang turut mencetuskan kontroversi sehingga memberikan imej tidak baik kepada kerajaan.

Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata menteri lain dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) juga perlu ditukar portfolio atau digugurkan.

“Mengejutkan cuma Maszlee sahaja meletak jawatan sedangkan berdasarkan suara ketidakpuasan hati rakyat, terdapat beberapa menteri lain yang sering menjadi topik perbualan atas kontroversi yang mereka cetuskan.

“Sekiranya hanya Maszlee digugurkan, beliau boleh disifatkan sebagai `kambing hitam’ kepada pemerintahan PH,” katanya kepada FMT.

Maszlee dalam sidang media semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri pendidikan berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat atas nasihat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Awang, tindakan Maszlee itu dilihat memberi kemenangan kepada pembangkang dan membenarkan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan selama ini.

Beliau berkata sikap kerajaan yang terlalu terbuka sangat berisiko
dan boleh menyebabkan ketidakstabilan jika tidak ditangani dengan baik.

“Ada beberapa isu lain yang turut diperkatakan seperti perpaduan negara, pemulihan ekonomi yang sangat perlahan, pencemaran alam sekitar, peluang pekerjaan yang semakin sukar, perumahan rakyat, ekonomi merudum dan pembangunan luar bandar yang perlahan.

“Harapan rakyat tinggi tetapi perubahan perlahan. Jadi sekiranya perkara ini berterusan tidak mustahil desakan demi desakan akan terus berlaku,” katanya.

Awang berkata rakyat juga mahukan peralihan kuasa perdana menteri dipercepatkan agar dapat memberikan momentum baru kepada kerajaan dan rakyat.

“Peralihan kuasa akan memberikan keyakinan baru kepada Kabinet PH dan peluang PH melakukan ‘damage control’ akan lebih menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata keputusan Maszlee untuk meletak jawatan adalah tindakan tepat kerana beliau sebelum ini hanya menjadi bahan ketawa.

Beliau berkata berdasarkan undian beberapa portal media, Maszlee berada pada kedudukan 3 terendah dari segi penilaian umum.

“Bukan Maszlee sahaja, terdapat beberapa menteri lain yang saya lihat jika mereka terus berada dalam Kabinet, ia akan menyukarkan Mahathir untuk melakukan apa jua kerja yang sepatutnya dilakukannya.

“Jadi saya fikir apabila Maszlee meletak jawatan, beliau tahu apa yang beliau buat dan saya fikir ia adalah isyarat kepada menteri lain juga,” katanya.