"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM dedah rakaman audio ‘konspirasi’ babitkan Najib

SPRM hari ini mendedahkan beberapa rakaman audio perbualan yang membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua pesuruhjayanya, Dzulkifli Ahmad.

Juga didedahkan ialah perbualan antara Najib dan seorang tokoh ternama dari Emiriah Arab Bersatu berhubung tuntutan saman sivil dan pelucutahak oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat serta dana 1MDB yang disalurkan kepada anak tiri Najib, Riza Aziz.

Satu lagi panggilan telefon melibatkan Najib dan isterinya, Rosmah Mansor.

Semua perbualan berlangsung antara Januari dan Julai 2016.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada sidang medianya di Putrajaya, hari ini berkata, pihaknya menerima rakaman sulit itu selepas tahun baru, dan selepas siasatan forensik, mendapati bahawa rakaman itu adalah sahih dan tidak disunting.

"Kami telah diberikan rakaman itu ... selaras dengan penyiasatan, kami dapat mengesahkan kesahihan mutlak rakaman berkenaan.

"Kandungannya mengejutkan, ia adalah untuk menyembunyikan dan subversif keadilan.... Demi kepentingan awam, kami mendedehkan kepada umum kandungannya, " katanya mengenai sembilan set klip audio berdurasi kira-kira 45 minit itu.

Beliau berkata rakaman itu akan dihantar kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Perbualan pertama pada 5 Jan 2016, membabitkan Dzulkifli memanggil Najib untuk memberitahunya bahawa dia kecewa dengan "kertas siasatan".

Dzulkifli: Saya dah dapat IP (kertas siasatan) itu. Tan Sri AG (Apandi Ali) tak ada masalah, dia very good, dia sependapat.

“Just nak update Datuk Seri (Najib) apa yg dicandangkan oleh MACC sendiri.

Najib: Itu yang tak kena tu...

Dzulkifli: Itu yang kita risau sangat-sangat. Dari segi perundangan kita boleh tangani.

Najib kedengaran dalam rakaman itu sebagai berkata dirinya kecewa kerana "dimainkan". Beliau juga berkata beliau akan berjumpa dengan peguam negara pada hari Khamis (7 Jan 2016).

Pada 25 Jan 2016, Apandi mengadakan sidang akhbar membebaskan Najib daripada sebarang salah laku dalam kes 1MDB dan SRC.

Latheefa berkata apa yang berlaku adalah salah, kerana Dzulkifli sebagai pendakwa raya, telah membocorkan maklumat kepada Najib yang mungkin adalah suspek.

Ini, katanya, mungkin menjadi pelanggaran kepada Akta Rahsia Rasmi.

“Terdapat pelbagai isu serius yang timbul termasuk menyalahgunakan kuasa, konspirasi jenayah, menghalang keadilan, menjejaskan keselamatan negara, membuat bukti palsu melalui bantuan asing dan membiarkan perbuatan salah.

"Saya telah mengarahkan petugas saya untuk mengambil semua langkah yang perlu dan kami akan menyerahkan bahan itu kepada pihak berkuasa berkaitan untuk siasatan," kata Latheefa.

Latheefa berkata pejabatnya akan menyerahkan bahan tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk memudahkan penyiasatan.

"Dalam episod kotor pengkhianatan kepercayaan awam dan jenayah ini, kita boleh bersyukur kerana ada seorang penjawat awam berani yang tahu tentang tugasnya - Tan Sri Abu Kassim Mohamed," katanya.

Abu Kassim adalah ketua pesuruhjaya SPRM ketika perbualan telefon itu didakwa berlaku. Beliau digantikan oleh Dzulkifli pada 1 Ogos 2016.

Maszlee: Eh, baru aku faham perasaan Hang Tuah

Dr Maszlee Malik mengibaratkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan, seperti kisah dalam hikayat lama pahlawan Melayu, Hang Tuah yang dihukum Sultan Melaka.

Dalam satu video yang disunting pendek dan dimuat naik di media sosial dan di You Tube, Maszlee berkata, beliau kini mengerti perasaan Hang Tuah ketika menerima hukuman.

“Saya waktu terima surat Tun minta saya letak jawatan, waktu itu saya kata: Eh, baru aku faham perasaan Hang Tuah.

“Maksudnya, Hang Tuah tak lihat apa yang berlaku itu, dia lihat selama ini raja bagi dia peluang banyak.

“Kalau raja tak bagi dia peluang, dia tak ada peluang hendak pertahankan Melaka, nak lawan lanun, nak berjasa, kan?” katanya.

Menurut hikayat, Hang Tuah dihukum bunuh oleh Sultan Mansur Shah atas tuduhan bermukah dengan dayang Sultan, namun bendahara Melaka menyelamatkannya secara senyap-senyap dan dihantar ke hulu negeri itu untuk bersembunyi.

Hukuman itu menyebabkan temannya, Hang Jebat (atau Hang Kasturi menurut hikayat lain, Sejarah Melayu) memberontak dan mengamuk di Istana Melaka, sehingga menyebabkan Sultan kesal atas hukumannya.

Bendahara kemudian memanggil Hang Tuah balik daripada persembunyiannya, sebelum diampunkan sultan dan kemudiannya bertarung dan membunuh Hang Jebat (atau Kasturi).

Maszlee pula, meletakkan jawatannya pada 2 Januari atas nasihat perdana menteri.

Dr Mahathir Mohamad, ketika mengulas tentang surat yang dikatakan ditulis olehnya untuk meminta Maszlee meletakkan jawatan hari ini, menyifatkan permintaannya itu bukanlah kerana Maszlee banyak melakukan kesalahan, kerana Maszlee ada juga melakukan perkara yang baik.

Bagaimanapun atas “sebab-sebab yang lain”, beliau berpendapat Maszlee perlu meletakkan jawatan.

Dalam surat yang tersebar sebelum ini, Mahathir dikatakan meminta Maszlee berundur kerana gagal mematuhi arahan kabinet dan sering meletakkan Putrajaya dalam kedudukan yang sukar.

Dalam video itu juga, Maszlee turut mengimbau bagaimana Hang Tuah juga hanya mengikut arahan raja ketika dihukum, sebelum diselamatkan bendahara.

“Sampai waktu, bila berlaku Jebat mengamuk, raja kata, eh kalau ada Hang Tuah. Bendahara cari Hang Tuah,” katanya lagi.

Video itu hanya memaparkan petikan pendek daripada perbualan Maszlee dengan sekumpulan orang di meja makan, dan disunting sehingga menjadi 58 saat sahaja.

Mukhriz bakal ganti Maszlee?

ROSLINDA HASHIM
ALOR SETAR - Spekulasi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik menganggotai Kabinet kembali bertiup kencang kebelakangan ini setelah Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan Khamis lalu.

Kemelut itu sedikit sebanyak memberi tempias kepada Kedah yang kebelakangan ini dibuai ‘khabar angin’ akan berlaku perubahan Menteri Besar Kedah.

Malah beberapa portal dan laman sosial kecoh kononnya tempat Maszlee akan digantikan dengan Mukhriz selain beberapa nama turut disebut sebagai calon Menteri Besar Kedah.

Antara kenyataan tular menyebut, Dr Maszlee mengumumkan peletakan jawatan di tengah-tengah khabar angin perubahan Menteri Besar di Kedah. Khabar angin mengaitkan Mukhriz akan diserap ke Kabinet dan jawatan disandangnya dikaitkan dengan dua individu, calon disebut-sebut daripada PKR dan Bersatu.

Isu berkenaan bukanlah baru di Kedah terutama kalangan kem Pakatan Harapan (PH) mahupun pembangkang kerana sudah beberapa kali dimainkan pihak tertentu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Isu berkenaan tular sejak beberapa hari lalu.
Isu berkenaan tular sejak beberapa hari lalu.
Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR), Datuk Johari Abdul sering disebut-sebut bakal menggantikan Mukhriz sejak awal tahun lalu namun ia tidak berlaku.

Calon ‘favourite’ yang dicanang adalah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, yang sebelum ini turut diuar-uarkan calon Menteri Besar Kedah ketika Kedah ditadbir Pas.

Dalam pada itu, nama Datuk Seri Mustapa Mohamed dikatakan sesuai dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan menggantikan Amiruddin bagi memantau Lim Guan Eng mengurus kewangan negara.

Kelmarin, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Radzi Jidin tegaskan, penyandang jawatan itu adalah daripada parti Bersatu dan tidak wujud keperluan PH untuk bermesyuarat bagi memilih pengganti Maszlee.

Sama ada ia hanya kebetulan atau benar-benar akan dilakukan rombakan Kabinet seawal tahun 2020, jawapannya hanya ada pada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Mukhriz ketika dihubungi Sinar Harian menganggap apa yang tular sebagai berita palsu dan tidak perlu dilayan.

“Itu berita palsu. Saya tak ada komen berkaitan berita yang tidak benar seperti itu, saya juga tak komen sebarang spekulasi atau khabar angin,” katanya.

Mukhriz juga enggan mengesahkan kesediaan melepaskan jawatan menerajui Kedah sekiranya diarahkan untuk mengisi kekosongan jawatan Menteri Pendidikan.

Menurut Perkara 43(2)(6) Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.

Ini bermakna adalah menjadi prerogatif atau hak budi bicara Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang pelantikan seorang menteri dan bukan menjadi keperluan untuk Perdana Menteri membincangkan pelantikan menteri dalam mana-mana mesyuarat khusus melainkan beliau sendiri berpandangan sedemikian.