"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno utus surat ‘rasmi’ kepada Muhyddin tamatkan kerjasama pada PRU-15?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Annuar Musa mendesak pimpinan parti mengesahkan sama ada Umno mengutus surat kepada Muhyiddin Yassin memaklumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PPBM pada PRU-15, dan penglibatan Umn dalam kerajaan sekarang “hanyalah sehingga Parlimen dibubarkan”.

“Kami difahamkan pada 26 Feb lalu, presiden Umno menulis surat kepada presiden PPBM memaklumkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi yang bermesyuarat pada 19 Feb di Janda Baik,” katanya di Facebook.

Perkembangan ini sebelum Umno mengadangan perhimpunan agung tahunan pada hujung bulan ini, yang dikatakan akan menentukan nasib kerjasama antara parti itu dengan PPBM.

‘Tak mungkin’, penganalisis tolak khabar angin pemimpin profesional PAS mahu singkir Hadi

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Penganalisis politik menolak khabar angin mendakwa golongan profesional dalam PAS mahu menyingkir Presiden Abdul Hadi Awang, menggambarkan ia sebagai melawan arus.

Kamarul Zaman Yusoff daripada Universiti Utara Malaysia mengingatkan ulama memimpin PAS dengan sokongan golongan profesional sejak 1982.

“PAS kalau mahu menukar presiden, ia perlu melalui Majlis Syura Ulama terlebih dahulu dan majoriti PAS dikuasai ulama,” katanya kepada FMT.

Malah, beliau percaya tidak mungkin pemimpin profesional seperti Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan akan menentang Hadi, melihat kepada hubungan antara mereka.

“Mereka sangat rapat,” katanya.

Baru-baru ini muncul khabar angin tentang pertembungan antara “Geng Publika”, yang dikaitkan dengan golongan profesional dalam PAS dan dikatakan pro-PPBM, dengan “Geng Ustaz”, yang dikaitkan dengan golongan ulama dan dikatakan cenderung kepada kerjasama dengan Umno.

Beberapa nama dikaitkan dengan Geng Publika, seperti Samsuri dan Takiyuddin, serta Geng Ustaz seperti Pengarah Strategi Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Jawatankuasa Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Khairuddin sebelum ini nafi wujudny gerakan terancang untuk menjatuhkan Hadi.

Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain, tidak percaya golongan profesional akan mahu mengambil alih tampuk pimpinan PAS, memandangkan majoriti ahli mahu golongan ulama terus menerajui mereka.

Beliau juga percaya sebarang penentangan akan sukar menjatuhkan Hadi, terutama selepas beliau berupaya memberikan tempat dan kedudukan kepada pemimpin PAS yang lain dalam kerajaan.

“Hadi begitu ‘masak’ dengan politik dalaman parti itu, beliau dapat kawal keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan, pula percaya sebarang perbezaan dalam PAS antara golongan profesional dan ulama tidak akan dinyatakan secara terbuka.

Beliau mengingatkan FMT bahawa PAS sinonim dengan kepimpinan ulama.

“Jadi, jika wujud komplot, ia tidak akan dibuat secara terang-terangan untuk menjatuhkan presiden kerana akar umbi sukar menerimanya,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarul percaya pihak luar parti yang mencipta dakwaan adanya krisis dalaman PAS antara golongan profesional dan ulama.

Dakwaan itu semakin kencang, lalu menjadi “ribut” apabila ia disambut segelintir ahli PAS di peringkat bawahan,

“Keadaan ini menjadi lebih tegang dan mendapat perhatian kerana PAS tahun ini akan mengadakan pemilihan dalam parti,” katanya. 

Pelan pemulihan TH terbukti berjaya, hanya si hati busuk terus tabur fitnah

DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA

Ketika saya mengumumkan 1.25% hibah (dividen) Tabung Haji (TH) untuk 2018, saya ‘diserang’ habis-habisan walaupun waktu itu pelan pemulihan baru sahaja bermula.

Apa yang umat Islam tidak tahu ialah pengeluaran hibah sejak 2014 dibuat tanpa memenuhi syarat mengikut Akta TH, iaitu aset TH sejak 2014 semakin susut berbanding dengan tanggungan.

Risiko pelanggaran ini meningkatkan defisit aset sebanyak RM4.1 bilion pada tahun kewangan 2017.

Misi awal ialah memastikan hibah dikeluarkan dengan menutup jurang defisit terlebih dahulu iaitu pada 2018 meningkat RM10 bilion setelah nilai rosot dibuat dengan betul.

Alhamdulillah, terbitan sukuk dari Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) iaitu sebuah syarikat tujuan khas (SPV) dari Kementerian Kewangan (Inc) berjaya disempurnakan.

Aset kurang untung TH dipindahkan bernilai RM9 bilion dinilai dengan harga premium RM20 bilion. Ini komitmen kerajaan PH untuk selamatkan TH.

Jurang berjaya diimbangkan dengan lebihan (surplus) RM1 bilion. Syarat telah disempurnakan untuk pengeluaran hibah mematuhi akta Tabung Haji(1995).

Seramai sembilan juta pendeposit masih tetap mendapat dividen pada kadar 1.25% untuk 2018. Ia adalah kejayaan awal bukan seperti yang difitnahkan!

Fasa pemulihan seterusnya ialah menjana pendapatan tetap dari sukuk dan melestarikan TH melalui pengurusan risiko aset lebih berhemah sambil meyakinkan pendeposit Hibah 2019 akan jadi lebih baik.

Alhamdulillah, untuk 2019 hibah ialah 3.05%. Tanda pemulihan mula nampak dan untuk 2020 3.10% seperti diumumkan menyaksikan peningkatan.

Fitnah jual Hotel TH adalah pembohongan jahat kerana yang menguruskan hotel TH ialah anak syarikat UJSB iaitu entiti dari Kementerian Kewangan (Inc).

Adapun, TH Plantation iaitu anak syarikat TH, masalah hutang yang tinggi disebabkan transaksi pembelian ladang sebelum ini yang merugikan. Sebelum saya ambil alih masalah hutang sudah pun melanda TH Plantation.

Isu jual untuk atasi masalah hutang adalah transaksi biasa dalam pengurusan hutang korporat bukan sentimen rasis yang sempit.

Isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) turut menjadi bahan politik untuk mempertikaikan usaha pemulihan yang dilancarkan di bawah pimpinan saya.

Mereka cuba tutup kes lima laporan polis terhadap pengurusan TH semasa DS Azeez Rahim menjadi Pengerusinya atas jenayah komersial termasuk penyelewengan dana Yayasan TH.

Saya mengalu-alukan RCI tetapi soalannya, bagaimana TH yang menunjukkan tanda pemulihan dari defisit RM10 bilion semasa saya ambil alih dikatakan satu kesalahan?

Ataukah RCI perlu untuk menyiasat kenapa semasa Menteri Agama BN dulu dan Pengerusi TH telah dengan sengaja memanipulasi akaun TH untuk bayar hibah tinggi yang telah menjejaskan kewangan TH dan melanggar undang-undang?

Terima kasih pasukan TH dari awal pemulihan iaitu Tan Sri Muhamad Nor dan Datuk Seri Zukri CEO TH dan Chief of Staff Encik Hizamudin serta pasukan yang sangat berdedikasi melaksanakan pelan pemulihan TH sehingga diiktirafi pelan ini di peringkat anugerah kewangan antarabangsa.

Hanya si hati busuk dan pendengki dengan kejayaan ini yang terus menabur fitnah dan seronok diulang oleh penyebar murahan di media sosial.

Alhamdulilah, peningkatan pendeposit membuktikan fitnah dan pembohongan makan diri sendiri sehingga membakar ke dalam perut-perut mereka menjadi api.

Marilah sama-sama kita harapkan kejayaan seterusnya untuk TH dan mari kita hentikan para pemfitnah yang memburukkan pelan pemulihan ini.


*DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Parit Buntar dan Naib Presiden AMANAH.