"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS: Bukan lagi 'Islam terancam'

Abdullahjones

"Dulu-dulu saya tak pandai langsung, sekarang alhamdulillah dah hafal empat juzuk," kata Haji Kadir. Kami berbual-bual sementara menunggu kereta siap dicuci.

Kami mencuci kereta di kedai cuci kereta paling mahal di dunia.

Biasanya di tempat lain apabila kereta kami dicuci luar dan dalam, kami bayar RM20. Harga sebenar ialah RM18 tapi kami belajar belanja budak-budak yang mencuci kereta itu RM2.

Di kedai itu kami dikenakan caj RM35. Kami bayar sambil tersenyum dan akan berusaha untuk mengelak daripada datang lagi ke kedai tersebut.

Haji Kadir bekas polis. Semasa dalam perkhidmatan dia belajar berniaga dan rezekinya agak baik. Setiap bulan dia mendapat keuntungan yang besar.

Dengan keuntungan itulah dia membeli kereta dan motosikal mewah.

Kerana Haji Kadir anggota polis, ada mata yang memandang tidak elok apabila melihat kereta dan motosikal tersebut. Ditambah pula dengan kegemaran dia melancong ke serata alam maka keadaan tidak mengizinkan Haji Kadir untuk terus kekal dalam perkhimatan tersebut.

Pada usia 54 tahun dia bersara dan menumpukan sepenuh tenaga kepada perniagaan.

"Saya anak yatim, tak tahu baca al-Quran, tak sembahyang. Apabila duit banyak saya terus bermewah-mewah. Naik motor besar berjalan ke mana-mana, melancong dalam dan luar negara," cerita Haji Kadir lagi.

Tiada kepuasan jiwa

Mungkin kami ini nampak seperti boleh dipercayai, maka ramailah orang yang kami temui akan mula bercerita tentang hal hidup mereka.

Kadang-kadang kami hingga malu dibuatnya apabila mendengar kisah-kisah tersebut.

Misalnya bagaimana pak cik berusia 73 tahun dari Dungun bercerita bagaimana dia kadang-kadang tidak memakan ubat pencair darah. Menurut dia ubat tersebut melemahkan tenaga lelaki.

"Kita pulok 'aktif' lagi," kata pak cik tersebut kepada kami. Dia megah sedangkan kami tersipu-sipu mendengarnya.

Bukan macam kamu, kami tulis baik-baik pun kamu tuduh kami nak membodek Anwar. Jenis tak faham sastera kamu ni agaknya.

Sehinggalah satu masa, Haji Kadir merasakan bahawa segala kemewahan yang dikecapinya itu tak mendatangkan kepuasan jiwa yang dicarinya.

Lalu dia dan isterinya mengambil keputusan untuk meninggalkan semua itu dan berpindah. Mereka duduk belajar agama.

Dia memilih sebuah pondok untuk warga tua. Di sana dia boleh berjemaah solat lima waktu pada setiap hari di samping mengikuti kelas-kelas agama.

Haji Kadir yang asalnya langsung tidak mengenal huruf al-Quran akhirnya sudah menghafal empat juzuk kitab suci tersebut setelah empat tahun begitu.

Kami pernah mendengar seseorang yang terkenal berkata, kita ini dalam apa hal pun akan membuat persediaan. Mahu mengambil ujian sekolah, kita membaca buku; mahu hadiri temu duga kerja, kita gosok seluar dan baju supaya kelihatan kemas.

Tapi dalam hal mati, kita buat tak tahu. Tak buat persediaan. Walhal kita dah tua.

Duduk depan konsert

Haji Kadir sedar hal tersebut dan pada usia 69 tahun kami lihat dia adalah gambaran lelaki yang sudah memulakan persediaan untuk berjalan kepada kehidupan yang satu lagi.

Kita pula tidak begitu. Semakin berusia semakin galak kita menagih kuasa. Kita mesyuarat dengan rakan sebaya mencari jalan untuk kembali memegang kuasa.

Kemudian kita jaja cerita Melayu tak maju, Melayu kena tindas, Melayu miskin papa kedana. Kita kaya-raya, tetapi Melayu pada khayalan kita sentiasa porak-peranda.

Sebut fasal Melayu, saranan supaya Melayu yang pakai tanjak supaya mengundi partai Melayu sebenarnya tidak perlu. Ini adalah kerana kami yakin semua budak Melayu yang gila bertanjak itu memang pun pengundi partai yang itu.

Mana maunya budak bertanjak mengundi DAP dan si liberal Anwar itu. Masuk nerakalah jawabnya mereka nanti sebelum mati.

Sebut sekali lagi fasal Melayu, PAS kini tidak lagi boleh dituduh sebagai penunggang agama kerana mutakhir ini jarang sangat mereka bercakap tentang terancamnya Islam.

Kecuali jika ada konsert artis luar diadakan di sini. Macamlah semua artis Malaya elok sangat.

PAS lebih gemar bercakap fasal bangsa. Jadi kita gelarkan saja mereka sebagai penunggang Melayu. Atau penunggang Tun. Atau ditunggang Tun.

Tak faham betul kami dengan semangat bangsa ni.

"Anak saya kahwin dengan artis," kata Haji Kadir lagi, "dia jual susu."

Kami tidak ambil endah cerita dia yang ini pada mulanya. Hanya setelah pulang ke rumah kami diberitahu siapa menantu Haji Kadir itu. Setelah kami periksa tahulah kami siapa menantunya.

Kami agak-agak dalam kepala bahawa mungkin menantu Haji Kadir adalah antara sebab perubahan dalam diri bekas polis itu kerana menantu dia kelihatan agak Islami kebelakangan ini.

Oh! Sebelum lupa, nanti kalau kamu ke konsert band Coldplay, cari kami di bangku paling mahal. Saja kami memilih duduk dekat dengan pentas untuk memahami apa itu hedonisme dan budaya sesat.

Viva la vida.

Vape: Tebuk dada ikhtiar akhir

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
BAHAGIAN tulang rusuk Paan terpaksa ditebuk untuk menyelamatkan nyawanya.
BAHAGIAN tulang rusuk Paan terpaksa ditebuk untuk menyelamatkan nyawanya.
Kuala Lumpur: "Vape menyebabkan saya hampir dijemput ajal. Kerana vape jugalah dada saya terpaksa ditebuk sebagai ikhtiar terakhir menyelamatkan nyawa," ujar seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Paan, 33.

Menurutnya, ketagihan kronik menghisap vape atau rokok elektronik (e-rokok) sejak tiga tahun lalu hampir meragut nyawanya, baru-baru ini.

"Semuanya mula menampakkan tanda awal apabila saya diserang sakit angin di dalam perut, gastrik dan pedih hulu hati sekitar awal Disember lalu. Rasa sakit itu datang menyerang secara berkala.

"Ketika itu memang tubuh rasa tidak selesa, namun saya masih menghisap vape seperti lazimnya," katanya yang menetap di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang.

Dia kemudian berjumpa dengan doktor klinik sebelum diagnosis mengesahkan dia berdepan isu kolestrol dan gerd iaitu masalah asid terlalu banyak dalam perut.

"Walaupun bermacam ubat dimakan namun keadaan tubuh saya semakin teruk. Malah saya kerap berasa terbakar pada bahagian dada. Dada berasa amat ketat hingga menyebabkan saya sesak nafas, lelah dan cepat kepenatan.

"Kemuncak penderitaan serangan demam panas dan gerd pada 23 Disember lalu. Perut rasa terlalu sebu dan semua ubat klinik yang dimakan langsung tidak berkesan untuk memulihkan kesakitan.

"Saya akhirnya disorong masuk ke sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang, selepas keadaan bertambah kritikal," katanya.

Menurutnya, doktor pakar di hospital mulanya mengesyaki dia diserang asma namun pemeriksaan ultrasound mendapati paru-parunya di sebelah kanan tidak berfungsi.

"Malah, imbasan ultrasound gagal mengesan kedudukan paru-paru saya itu yang menjadi kecut. Saya kemudian terpaksa menjalani ujian X-ray sebelum dimasukkan ke red zone (zon merah untuk pesakit kritikal).

"Doktor kemudian memaklumkan terpaksa melakukan prosedur menebuk bahagian bawah tulang rusuk berhampiran ketiak untuk menyelamatkan nyawa saya," katanya.

Menurutnya, proses itu dilakukannya dalam keadaan dia masih sedar sebelum doktor memasukkan tiub bagi membuang angin yang terperangkap di bahagian paru-paru itu.

"Keadaan ketika itu amat mencemaskan, namun segalanya berakhir dengan rasa syukur apabila saya mampu bernafas semula dengan lancar sebaik angin di bahagian paru-paru itu dikeluarkan.

"Selama beberapa hari pihak hospital menggunakan alat vacuum untuk menyedut keluar angin dari dalam tubuh bagi membolehkan saya bernafas dengan normal.

"Hampir tiga minggu saya terlantar di hospital sebelum berjaya dipulihkan. Doktor yang merawat saya mengakui apa yang berlaku pada paru-paru saya itu kesan pengambilan vape bernikotin.

"Doktor menasihati saya supaya berhenti terus menghisap vape jika masih sayangkan nyawa. Kini saya sudah bertaubat dan mengucapkan selamat tinggal pada vape," katanya.

Paan berkata, dia mula merokok sejak berusia 14 tahun sebelum beralih kepada pod dan vape sekitar 2020.

"Saya akui ketagih menghisap vape dan berbelanja ratusan ringgit sebulan bagi membeli kartrij dan cecair perisa vape.

"Walaupun sudah pulih, namun kesan kerosakan paru-paru itu menyebabkan saya kini tidak sekuat dahulu. Saya tidak boleh lagi berlari laju, menjalani aktiviti di gimnasium serta aktiviti lasak lain," katanya yang sudah berumah tangga dan bekerja sebagai pengedar barangan.
Prof Mohamad Haniki Nik Mohamed
Prof Mohamad Haniki Nik Mohamed
'Dakyah sesat' vape kurang mudarat

Kuala Lumpur: "Jika ada tanggapan rokok elektronik (e-cigarette) atau vape kurang mudarat berbanding rokok konvensional atau tembakau, ia adalah 'dakyah sesat' dan mengarut," ujar Ketua Pasukan Bertindak Berhenti Merokok, Kluster Perubatan dan Kesihatan, Akademi Profesor Malaysia Prof Mohamad Haniki Nik Mohamed.

Menurutnya, cecair nikotin adalah kandungan wajib dalam vape yang menjadi tarikan dalam kalangan golongan muda serta penghisap vape tegar.

"Tanpa nikotin, vape hanya alat yang tiada makna. Nikotin diperlukan dalam rokok elektronik supaya penghisapnya menjadi ketagih. Saya tidak nampak bagaimana vape yang didakwa boleh membantu menyelesaikan masalah ketagihan rokok.

"Apa yang pasti pengguna rokok elektronik atau vape ini berisiko menghidap pelbagai komplikasi penyakit baharu.

"Bahan kimia lain seperti Propylene Glycol (PG), Vegetable Glycerin (VG) dan bahan perisa digunakan dalam cecair vape bakal mendatangkan masalah sampingan lain.

"Hasil dapatan daripada penyelidik tempatan iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2020 juga mendapati cecair rokok elektronik yang dijual di pasaran Malaysia akan menghasilkan sebatian lain apabila dicampurkan.

"Ia juga akan menghasilkan bahan berbahaya dipanggil toxic intermediates dikenali sebagai Volatile Organic Compound (VOC) yang terbukti boleh memberikan kesan sampingan kepada kesihatan terutama kepada paru-paru manusia.

"Kerosakan atau kecederaan paru-paru ini dikenali sebagai E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (Evali)," katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, kes serangan Evali terutama kepada golongan belia semakin menjadi-jadi dengan kebanyakannya terpaksa menjalani pembedahan di hospital.

"Dalam kes seumpama ini, adakah taikun vape atau peniaga vape akan bertanggungjawab ? adakah mereka akan mengakui bahaya vape serta membayar ganti rugi nyawa?" katanya.

Anwar harap dapat jalinkan persaudaraan dengan Hadi'

N Faizal Ghazali & Shakira Buang

Dalam usaha membina semula negara dan mengelak daripada kegagalan, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berharap hubungan silaturahim dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dapat dijalinkan semula.

Berkongsi harapan tersebut, pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin berkata, hasrat murni perdana menteri itu dibuat pada pertemuan bersama dua anak bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.

“Dalam pada perdana menteri bertanya khabar berkenaan perkembangan terkini berkenaan dua anak Tok Guru (Nik Abdul Aziz), selain itu perdana menteri ada menyebut berkenaan semangat persaudaraan antara beliau dengan ramai teman-teman lama beliau, termasuk Tuan Guru Presiden PAS (Abdul Hadi Awang).

“Perdana menteri berharap sangat ia (hubungan persaudaraan) berlaku antara beliau dan presiden PAS, selain sikap PAS dalam menangapi isu-isu yang dibangkitkan agar tidak mengagalkan usaha membina negara,” katanya kepada Malaysiakini.

Wan Ji berkata demikian mengulas lanjut berhubung pertemuan Anwar bersama Nik Omar Nik Abdul Aziz dan adiknya yang juga bekas ahli parlimen PAS, Nik Muhammad Abduh.

Pertemuan itu mencetuskan tanda tanya di kalangan pemerhati politik kerana umum mengetahui kedua-dua beradik itu saling bermusuhan dalam politik.

Nik Abduh pada masa ini merupakan ahli jawatankuasa PAS pusat. Bagaimanapun dia digugurkan oleh PAS sebagai calon parti itu pada PRU lalu.

Hubungannya dengan Nik Omar diketahui renggang selepas abangnya itu membuat keputusan menyertai Amanah kerana tidak bersetuju dengan pendirian PAS pada 2018 untuk bekerjasama dengan Umno.

Pada tahun yang sama, Nik Omar membuat keputusan menyertai Amanah, yang merupakan sebuah parti serpihan PAS.

Pada PRU14, Nik Omar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka atas tiket PKR, tetapi tewas pada PRU berikutnya.

Untuk rekod, Abdul Hadi dan Anwar merupakan bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

PAS pernah bersama dengan DAP dan PKR dalam gabungan Barisan Alternatif bagi menghadapi pilihan raya umum 1999.

Selanjutnya, DAP, PKR dan PAS membentuk Pakatan Rakyat pada April 2008, sebelum PAS meninggalkan gabungan itu pada 2015.

Inisiatif Nurul Izzah

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Ji berkata pertemuan itu merupakan inisiatif Nurul Izzah Anwar dengan dia menjadi orang tengah.

"Semua ini adalah inisiatif dari Nurul Izzah.

"Beliau meminta saya menjadi orang tengah untuk berjumpa dengan Ustaz Nik Abduh. Pertemuan itu berlaku sehari sebelum Ramadan.

"Selepas pertemuan pertama itu, saya mencadangkan agar Ustaz Nik Omar dilibatkan sama," katanya.

Selain itu, Wan Ji mengulangi bahawa pertemuan tersebut juga sebagai usaha untuk meneruskan legasi Nik Abdul Aziz.

“Pertemuan antara perdana menteri dengan dua anak Tok Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Nik Omar dan Ustaz Nik Abduh adalah atas semangat untuk memastikan legasi Tok Guru.

“Nik Abdul Aziz dapat diteruskan dalam banyak aspek, terutama dalam dua aspek besar.

“Pertama, pendidikan Islam dan kedua politik yang berasaskan kemanusiaan dan persaudaraan,” tambahnya.