"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS: Bukan lagi 'Islam terancam'

Abdullahjones

"Dulu-dulu saya tak pandai langsung, sekarang alhamdulillah dah hafal empat juzuk," kata Haji Kadir. Kami berbual-bual sementara menunggu kereta siap dicuci.

Kami mencuci kereta di kedai cuci kereta paling mahal di dunia.

Biasanya di tempat lain apabila kereta kami dicuci luar dan dalam, kami bayar RM20. Harga sebenar ialah RM18 tapi kami belajar belanja budak-budak yang mencuci kereta itu RM2.

Di kedai itu kami dikenakan caj RM35. Kami bayar sambil tersenyum dan akan berusaha untuk mengelak daripada datang lagi ke kedai tersebut.

Haji Kadir bekas polis. Semasa dalam perkhidmatan dia belajar berniaga dan rezekinya agak baik. Setiap bulan dia mendapat keuntungan yang besar.

Dengan keuntungan itulah dia membeli kereta dan motosikal mewah.

Kerana Haji Kadir anggota polis, ada mata yang memandang tidak elok apabila melihat kereta dan motosikal tersebut. Ditambah pula dengan kegemaran dia melancong ke serata alam maka keadaan tidak mengizinkan Haji Kadir untuk terus kekal dalam perkhimatan tersebut.

Pada usia 54 tahun dia bersara dan menumpukan sepenuh tenaga kepada perniagaan.

"Saya anak yatim, tak tahu baca al-Quran, tak sembahyang. Apabila duit banyak saya terus bermewah-mewah. Naik motor besar berjalan ke mana-mana, melancong dalam dan luar negara," cerita Haji Kadir lagi.

Tiada kepuasan jiwa

Mungkin kami ini nampak seperti boleh dipercayai, maka ramailah orang yang kami temui akan mula bercerita tentang hal hidup mereka.

Kadang-kadang kami hingga malu dibuatnya apabila mendengar kisah-kisah tersebut.

Misalnya bagaimana pak cik berusia 73 tahun dari Dungun bercerita bagaimana dia kadang-kadang tidak memakan ubat pencair darah. Menurut dia ubat tersebut melemahkan tenaga lelaki.

"Kita pulok 'aktif' lagi," kata pak cik tersebut kepada kami. Dia megah sedangkan kami tersipu-sipu mendengarnya.

Bukan macam kamu, kami tulis baik-baik pun kamu tuduh kami nak membodek Anwar. Jenis tak faham sastera kamu ni agaknya.

Sehinggalah satu masa, Haji Kadir merasakan bahawa segala kemewahan yang dikecapinya itu tak mendatangkan kepuasan jiwa yang dicarinya.

Lalu dia dan isterinya mengambil keputusan untuk meninggalkan semua itu dan berpindah. Mereka duduk belajar agama.

Dia memilih sebuah pondok untuk warga tua. Di sana dia boleh berjemaah solat lima waktu pada setiap hari di samping mengikuti kelas-kelas agama.

Haji Kadir yang asalnya langsung tidak mengenal huruf al-Quran akhirnya sudah menghafal empat juzuk kitab suci tersebut setelah empat tahun begitu.

Kami pernah mendengar seseorang yang terkenal berkata, kita ini dalam apa hal pun akan membuat persediaan. Mahu mengambil ujian sekolah, kita membaca buku; mahu hadiri temu duga kerja, kita gosok seluar dan baju supaya kelihatan kemas.

Tapi dalam hal mati, kita buat tak tahu. Tak buat persediaan. Walhal kita dah tua.

Duduk depan konsert

Haji Kadir sedar hal tersebut dan pada usia 69 tahun kami lihat dia adalah gambaran lelaki yang sudah memulakan persediaan untuk berjalan kepada kehidupan yang satu lagi.

Kita pula tidak begitu. Semakin berusia semakin galak kita menagih kuasa. Kita mesyuarat dengan rakan sebaya mencari jalan untuk kembali memegang kuasa.

Kemudian kita jaja cerita Melayu tak maju, Melayu kena tindas, Melayu miskin papa kedana. Kita kaya-raya, tetapi Melayu pada khayalan kita sentiasa porak-peranda.

Sebut fasal Melayu, saranan supaya Melayu yang pakai tanjak supaya mengundi partai Melayu sebenarnya tidak perlu. Ini adalah kerana kami yakin semua budak Melayu yang gila bertanjak itu memang pun pengundi partai yang itu.

Mana maunya budak bertanjak mengundi DAP dan si liberal Anwar itu. Masuk nerakalah jawabnya mereka nanti sebelum mati.

Sebut sekali lagi fasal Melayu, PAS kini tidak lagi boleh dituduh sebagai penunggang agama kerana mutakhir ini jarang sangat mereka bercakap tentang terancamnya Islam.

Kecuali jika ada konsert artis luar diadakan di sini. Macamlah semua artis Malaya elok sangat.

PAS lebih gemar bercakap fasal bangsa. Jadi kita gelarkan saja mereka sebagai penunggang Melayu. Atau penunggang Tun. Atau ditunggang Tun.

Tak faham betul kami dengan semangat bangsa ni.

"Anak saya kahwin dengan artis," kata Haji Kadir lagi, "dia jual susu."

Kami tidak ambil endah cerita dia yang ini pada mulanya. Hanya setelah pulang ke rumah kami diberitahu siapa menantu Haji Kadir itu. Setelah kami periksa tahulah kami siapa menantunya.

Kami agak-agak dalam kepala bahawa mungkin menantu Haji Kadir adalah antara sebab perubahan dalam diri bekas polis itu kerana menantu dia kelihatan agak Islami kebelakangan ini.

Oh! Sebelum lupa, nanti kalau kamu ke konsert band Coldplay, cari kami di bangku paling mahal. Saja kami memilih duduk dekat dengan pentas untuk memahami apa itu hedonisme dan budaya sesat.

Viva la vida.

Tiada ulasan: