"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Frank Caprio, hakim 'paling baik di dunia' meninggal dunia akibat kanser

Astro Awani

Caprio mendapat jolokan 'hakim paling baik di dunia' menerusi rancangan televisyen Caught in Providence yang pernah dicalonkan untuk anugerah Emmy. - Foto IG Judge Frank Caprio

HAKIM Rhode Island yang disegani dan dikenali ramai, Frank Caprio, meninggal dunia pada usia 88 tahun, akibat kanser, pada Rabu.

Perkara itu disahkan menerusi hantaran di laman media sosial rasminya dan turut disahkan ahli keluarga kepada stesen televisyen WJAR, rakan penyiar NBC.

Berita yang mendukacitakan itu dilaporkan pada Rabu, sehari selepas Caprio memuat naik perkongsian di hospital yang memohon doa daripada para pengikutnya.

“Malangnya saya berdepan keadaan kesihatan yang merosot, saya kini kembali dirawat di hospital dan sekali lagi saya memohon agar anda semua mengingati saya dalam doa,” kata Caprio, merujuk kepada pertarungannya dengan kanser pankreas sebelum ini.

Gabenor Rhode Island, Dan McKee, mengarahkan bendera negeri itu dikibarkan separuh tiang sehingga hari pengebumian Caprio, sambil menyifatkan beliau sebagai “permata berharga” yang dekat dengan rakyat dan “simbol empati di kamar mahkamah, menunjukkan keadilan yang digandingkan dengan sifat kemanusiaan.”

Caprio mendapat jolokan “hakim paling baik di dunia” menerusi rancangan televisyen Caught in Providence yang pernah dicalonkan untuk anugerah Emmy, serta pengaruhnya di media sosial yang meraih jutaan pengikut.

“Beliau akan dikenang bukan sahaja sebagai seorang hakim yang dihormati, tetapi juga sebagai suami, bapa, datuk, moyang dan sahabat yang penyayang.

"Legasi beliau kekal dalam pelbagai tindakan kebaikan yang diilhamkannya,” menurut hantaran yang mengumumkan pemergiannya. - Agensi

Kelantan: Bas bawa 36 PATI dari Klang ke Rantau Panjang ditahan

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Seramai 36 PATI warga Myanmar yang ditahan semasa menaiki sebuah bas persiaran di sekat pintas Serongga, Rantau Panjang hari ini. FOTO IHSAN PGA
RANTAU PANJANG – Hasrat 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk dua wanita untuk mencari pekerjaan di sebuah kilang beras di daerah ini tidak kesampaian apabila sebuah bas yang mereka naiki dari Klang, Selangor ditahan di sekat pintas Serongga di sini hari ini.

Kesemua PATI berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an itu diberkas kira-kira pukul 6.30 pagi semasa menaiki bas persiaran tersebut.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, anggota PGA menahan bas tersebut yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun semasa menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati, 34 lelaki dan 2 wanita warga Myanmar berada di dalam bas itu.

“Empat daripada mereka memiliki pasport, namun tiada cop sah untuk memasuki negara ini, manakala seorang lagi mempunyai pasport yang telah tamat tempoh.

“Seramai 31 lagi PATI didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, kesemua PATI diambil dari sebuah kilang di Meru, Klang sebelum dibawa untuk bekerja di kilang beras di daerah ini, namun kilang beras tersebut sebenarnya tidak wujud.

“Perkhidmatan bas itu telah dibayar oleh majikan sebanyak RM2,300 melalui transaksi tanpa tunai.

“Kesemua mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Pemandu bas pula ditahan mengikut Seksyen 26(J) Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, manakala kesemua PATI disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Cubaan bunuh, sebabkan kecederaan: Penuntut warga China diarah pemeriksaan psikiatri

Bernama

Seorang penuntut sebuah universiti yang didakwa atas lapan pertuduhan cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan membabitkan tujuh mangsa diarah menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan bermula hari ini. - Foto BERNAMA

KAJANG: Seorang penuntut sebuah universiti yang didakwa atas lapan pertuduhan cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan membabitkan tujuh mangsa diarah menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan bermula hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Normastura Ayub dan Majistret Fatin Dayana Jalil memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Faelly Jeffrey Lanjungan dan Siti Nur Alia Safri, yang memaklumkan tertuduh warga China, Liu Ting, 24, dilihat keliru seolah-olah tidak memahami pertuduhan dibacakan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan memerintahkan wanita itu dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Perak untuk mendapatkan pemeriksaan psikiatri selain menetapkan sebutan kes pada 19 Sept depan.

Terdahulu, Faelly tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang dihadapi tertuduh adalah serius dan tidak boleh dijamin selain memohon supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia bagi mendapatkan pemeriksaan psikiatri.

"Semasa pertuduhan dibacakan, tertuduh dilihat seperti keliru dan seolah-olah tidak memahami pertuduhan tersebut. Oleh itu, kami mohon tertuduh mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia," katanya.

Di Mahkamah Sesyen, Liu mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu dengan niat cuba membunuh dua lelaki berumur 19 dan 21 tahun serta menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 35 tahun yang sekiranya tertuduh menyebabkan kematian, maka dia akan bersalah bagi kesalahan membunuh.

Pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun serta denda dan sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang, pesalah itu boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan lagi, dia juga mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang wanita berumur 60 tahun dengan menetak lengan kanan mangsa menggunakan sebilah pisau, iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah, dan menikam perut seorang lelaki berumur 27 tahun menggunakan pisau.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap dua lelaki berumur 21 dan 49 tahun serta seorang wanita berumur 53 tahun dengan menggunakan sebilah pisau.

Liu memahami tiga pertuduhan yang dibacakan jurubahasa namun dia hanya berdiam diri dan tiada pengakuan dibuat.

Ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Lapan kesalahan itu didakwa dilakukan di kedai jahitan dan kraf tangan benang emas di Jalan Besar, di Jalan Semenyih Persimpangan Metropoint dan di sebuah premis di Kompleks Metropoint di sini, antara 11.39 pagi hingga 12 tengah hari pada 13 Ogos lepas.

Sebelum ini, tular di media sosial video kejadian tersebut yang memaparkan seorang wanita terlibat dalam kemalangan sebelum keluar daripada kenderaannya dengan memegang sebilah pisau.

Turut kelihatan beberapa penunggang motosikal yang cedera dan cubaan orang ramai untuk menahan wanita terbabit.

-- BERNAMA