"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 maut ditembak di hadapan restoran di Kota Tinggi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga individu termasuk seorang wanita warga asing maut selepas ditembak seorang lelaki dalam satu kejadian di hadapan sebuah kedai makan di Kota Tinggi, tengah hari tadi.

Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 1.30 tengah hari melibatkan dua mangsa lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga asing.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang berumur dalam lingkungan 37 dan 63 tahun dipercayai ditembak dengan senapang patah (short gun) dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 71 tahun kira-kira 200m dari lokasi kejadian.

“Polis turut merampas senjata api yang dipercayai digunakan untuk menembak suspek dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ab Rahaman berkata semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan mempunyai lesen senjata api yang sah.

Katanya, motif pembunuhan masih dalam siasatan tetapi pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada masalah hutang peribadi.

“Siasatan awal juga mendapati kejadian yang berlaku tidak mempunyai sebarang unsur kongsi gelap dan terrorism,” katanya.

Menurutnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

200 rumah di perkampungan atas air terbakar

Poliana Ronnie Sidom
Kebakaran yang memusnahkan sekurang-kurangnya 200 rumah atas air di Kampung Bahagia, Sandakan – Foto BBP Sandakan
SANDAKAN: Sekurang-kurangnya 200 rumah musnah dalam kebakaran yang melibatkan perkampungan atas air di Kampung Bahagia, di sini.

Difahamkan, operasi mengawal kebakaran masih giat dijalankan oleh anggota bomba di lokasi kejadian sehingga pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.32 pagi.

Katanya, 35 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman kebakaran.

“Pasukan bomba menghadapi kesukaran di lokasi kejadian berikutan keadaan jalan yang sempit sekali gus menghalang pergerakan jentera ke kawasan kebakaran.

“Selain itu, keadaan air laut yang surut menyukarkan usaha mendapatkan sumber bekalan air terbuka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jimmy berkata, faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang terlalu rapat menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat.

Enam Yamaha RXZ hilang ditemui semula, polis tahan 4 lelaki

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my

Seremban: Polis menemui semula enam motosikal jenis Yamaha RXZ yang disyaki dicuri dari sebuah bengkel di Senawang, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya berjaya menahan empat lelaki di Sepang, Selangor pada tengah malam tadi, dipercayai terbabit kejadian itu.

"Kira-kira 1 pagi Selasa lalu, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban menerima satu laporan berkaitan kejadian pecah bengkel motosikal di kawasan Senawang,

"Bertindak atas maklumat, pada 12.10 tengah malam tadi (Sabtu), Bahagian Risikan dan Operasi (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Negeri Sembilan menjalankan satu operasi Op Lejang.

"Kami berjaya menahan empat lelaki di tepi jalan Kampung Labu lanjut, Sepang. Semuanya berusia 19, 21, 22 dan 25 tahun serta berasal dari Sepang dan Kuala Langat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua daripada suspek mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah lampau.

"Dua suspek berniaga sendiri, manakala dua lagi bekerja di pasar raya di Kapar, Klang," katanya.

Azahar berkata, susulan penahanan itu, pihaknya merampas enam motosikal Yamaha RXZ yang dilapor hilang, manakala semua suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 22 April.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Zawahir di talian 06-6033222.

Media sebelum ini melaporkan, enam Yamaha RXZ antara yang hilang dalam kejadian curi di sebuah bengkel di Jalan Bandar Senawang 5, Taipan, dengan kerugian dianggar RM60,000.