"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hamzah umum parti baharu bulan depan, dakwa ada ratusan ribu ahli

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin akan mengumumkan parti baharunya bulan depan, yang didakwanya sudah pun mempunyai kekuatan ratusan ribu ahli.

Hamzah berkata, perincian mengenai entiti itu masih dirahsiakan memandangkan nama rasmi parti berkenaan belum dimuktamadkan.

“Rumah baharu ini bakal mempunyai kekuatan besar dengan keahlian mencecah ratusan ribu orang,” katanya yang dipetik Harian Metro sebagai berkata di satu majlis rumah terbuka di Larut.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang giat berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan bagi pastikan semua prosedur dipatuhi bagi mengelakkan sebarang isu teknikal atau perundangan pada masa hadapan.

Tambahnya, persediaan di peringkat akar umbi menunjukkan perkembangan positif di mana lebih 130 bahagian sudah mengemukakan senarai kepimpinan.

Hamzah yang dipecat 13 Feb lalu daripada Bersatu telah memulakan gerakan ‘Reset’ dan dalam rancangan untuk mengetuai sebuah parti baharu.

Namun Ahli Parlimen Larut itu turut tidak menolak untuk menganggotai parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang selain Bersatu turut terdiri PAS, Gerakan dan MIPP.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata tindakan beliau meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang adalah ia berkaitan kedudukannya selepas dipecat daripada Bersatu sebelum ini.

Katanya, jawatan tersebut bukanlah hak mutlak mana-mana individu, sebaliknya bergantung kepada sokongan majoriti Ahli Parlimen blok pembangkang yang terdiri daripada tiga kelompok utama iaitu PAS, Bersatu dan bebas.

“Ahli Parlimen daripada ketiga-tiga blok inilah yang akan menentukan siapa ketua pembangkang seterusnya sebelum parlimen bersidang,” katanya.

JIM: Warga Pakistan lari dari Penjara Sungai Buloh sembunyi dalam hutan, tapak pembinaan

Hasimi Muhamad
Tahanan Pakistan. Kredkit: JIM
Suspek berusia 24 tahun itu turut memakai pakaian yang dicuri dari kawasan berkenaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. - Foto ihsan JIM
KUALA LUMPUR: Tahanan warga Pakistan yang melarikan diri Penjara Sungai Buloh pada 9 April lalu mengaku bersembunyi di dalam hutan sekitar kawasan tapak pembinaan selama tujuh hari sebelum berjaya ditahan semula oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Gombak.
BANDUAN warga Pakistan yang meloloskan diri daripada tahanan polis pada 9 April lalu berjaya ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Gombak Lama, semalam. FOTO ihsan JIM
JIM dalam kenyataan memaklumkan pada waktu malam pula suspek menyelinap masuk ke dalam kawasan tapak pembinaan untuk berlindung dan bermalam bagi mengelakkan risiko keselamatan serta ancaman haiwan liar.

Suspek berusia 24 tahun itu turut memakai pakaian yang dicuri dari kawasan berkenaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

JIM menambah, operasi dijalankan hasil risikan selama enam hari serta perkongsian maklumat perisikan daripada Kedutaan Pakistan, sebelum pasukan operasi berjaya mengesan lokasi persembunyian suspek.

"Tangkapan ini dilaksanakan oleh sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat JIM.

"Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku melarikan diri ketika turun daripada trak polis dan sepanjang tempoh tujuh hari meloloskan diri, dia bersembunyi di dalam hutan sekitar kawasan tapak pembinaan pada waktu siang," menurut JIM pada Ahad.

Ketika operasi, JIM menjelaskan suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan cuba melarikan diri, namun berjaya digagalkan oleh pasukan operasi.

JIM menambah semakan mendapati suspek memasuki Malaysia pada 11 Januari 2025 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan diberikan Pas Lawatan Sosial selama 30 hari.

"Proses pengecaman oleh wakil Kedutaan Pakistan pada hari sama turut mengesahkan suspek merupakan individu yang melarikan diri daripada tahanan polis pada 9 April 2026.

"Suspek kini ditahan di Depot Imigresen dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

JIM dalam pada itu menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melindungi atau menggaji Pendatang Tanpa Izin (PATI) serta diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu operasi penguatkuasaan.

Tiga maut ditembak: Polis tahan suspek 71 tahun, motif dipercayai kerana hutang

Sinar Harian
Seorang lelaki warga tempatan telah ditahan polis susulan kejadian tembakan yang mengorbankan tiga individu di sebuah restoran. Foto tular.
Dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 37 hingga 63 tahun disahkan maut di lokasi kejadian. - Gambar/ Media sosial
KOTA TINGGI: Seorang lelaki warga tempatan telah ditahan polis susulan kejadian tembakan yang mengorbankan tiga individu di sebuah restoran di bandar ini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 37 hingga 63 tahun disahkan maut di lokasi selepas dipercayai ditembak menggunakan senjata api jenis shotgun.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek berusia 71 tahun ditahan kira-kira jam 2 petang, iaitu sekitar 200 meter dari lokasi kejadian.

“Polis turut merampas sepucuk senjata api jenis shotgun buatan Benelli M/Super yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan memiliki lesen senjata api yang sah dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Lesen senjata api tersebut adalah bagi tujuan menjaga tanaman, memandangkan suspek mempunyai tanah pertanian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan, namun siasatan awal tidak menolak kemungkinan ia berkaitan masalah hutang peribadi.

“Bagaimanapun, kes ini tidak melibatkan unsur kongsi gelap atau keganasan,” katanya.

Tambah beliau, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada Isnin, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis. - Sinar Harian