"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amirudin: Sanusi ‘kurang ajar’

Didakwa ucap ‘Sultan hebat tak pilih MB cokia’, Sanusi ‘kurang ajar’, kata Amirudin
Cokia (tiada kualiti) dalam loghat Kedah didakwa diucap Sanusi untuk dijadikan perbandingan lantikan menteri besar dibuat Sultan Kedah dengan Sultan Selangor.

FMT Reporters

PETALING JAYA: Amirudin Shari membidas Sanusi Md Nor kerana didakwa menghina Sultan Selangor dalam ceramahnya baru-baru ini, berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.

Amirudin yang juga menteri besar Selangor, berkata pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan penyokongnya perlu menilai semula kenyataan dibuat menteri besar Kedah, serta menginsafi kesilapan yang disifatkan melanggar etika “berkempen”.

“Ada laporan polis saya rasa akan dibuat oleh beberapa orang teruskan laporan itu dibuat. Itu menunjukkan sikap munafik mereka terutama bila bercakap tentang isu Melayu.

“Tetapi, selalu dan berulang kali melanggar bukan sahaja disiplin berkempen, tetapi terma dan juga adab dengan sultan atau Raja-Raja Melayu,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Jelajah Madani di Kuala Selangor.

Menurut laporan itu, Sanusi yang juga ketua pengarah pilihan raya PN itu dalam ceramahnya baru-baru ini, membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Sultan Selangor dalam melantik Amirudin menjadi menteri besar yang dilabelnya sebagai “cokia”.

“Sultan Kedah sampai sekarang dari satu susur galur tak pernah putus, itulah Kedah Darul Aman, hebatnya Sultan Kedah begitu teratur, bukan ‘koman-koman’, tengok menteri besar (Kedah).

“Sultan hebat macam itu (Kedah) tak akan pilih menteri besar ‘cokia’ macam Amir (Amirudin) tu. Inci pun tak berapa cukup, tarik balik fasal inci,” ucapnya.

Terdahulu, Amirudin dalam ucapannya pada program jelajah itu menempelak Sanusi apabila bersifat “kurang ajar” terhadap Raja-Raja Melayu selain menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Jelasnya, Sanusi seperti tiada modal lain untuk berkempen apabila tiada hujah fakta dan data untuk dikemukakan bagi menyangkal segala kemakmuran dan kejayaan dicapai PH di Selangor.

“Otak dia bukan dekat lutut, tetapi tapak kaki, dia berhujah sembarangan sebab tak ada angka, tak boleh buktikan, tak ada data, lalu sebut juga dalam serangan ‘bolehlah rizab besar, ada simpanan’. Sanusi tak boleh jawab fakta, dia buat cerekarama.

“Semalam saya cukup tersentuh dan bersedih, dia hina pula Sultan Selangor kononnya tak macam Sultan Kedah, ini kita di Kuala Selangor tempat asal Selangor di sinilah kelahiran Sultan Ibrahim yang popular di Bukit Malawati dan tempat ini kita berpayung di bawah Negeri Selangor.

“Hei Sanusi jangan kurang ajar, orang Selangor akan ajar kamu, ajar PN dalam pilihan raya akan datang,” ucapnya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam ucapannya pada program sama memaklumkan beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Sanusi.

“Saya tak boleh terima, dia tegur saya, dia ejek…Sanusi dengan puak-puak macam ini, tak boleh bercakap tentang fakta.

“Mereka hanya tahu menghina, mencerca, mengherdik, memaki hamun sampaikan Sultan Selangor pun Sanusi sedia hendak ejek. Sanusi…kamu boleh cakap macam-macam, kamu boleh mengata, caci kami boleh, tetapi kalau mula sentuh pasal 3R, kamu biadab. Kita serah kepada pihak berkuasa,” katanya.

Amirudin: PH Selangor sudah miliki 33 kerusi selamat

BERNAMA

Kuala Selangor: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari optimis gabungan politik itu mampu menang sekurang-kurangnya di 33 daripada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung 12 Ogos ini.

Beliau berkata 33 kawasan terbabit adalah kerusi selamat untuk PH dan rakan kerjasamanya Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan gabungan itu membentuk kerajaan negeri pada penggal akan datang.

"Saya tengok data dan ada juga membuat kajian... insya-Allah, setakat ini kita sebenarnya telah mempunyai 33 kerusi selamat dan boleh membina kerajaan negeri dengan majoriti mudah," katanya ketika berucap pada Jelajah Madani DUN di Bukit Melawati di sini malam ini.

"Itu saya tak masukkan lagi tujuh kerusi yang sebenarnya kita menang yang dianggap marginal kerana menang di bawah 2,000 undi.

"Jadi kalau campur tujuh kerusi lagi, maka PH dan BN boleh bentuk kerajaan dengan 40 kerusi serta beroleh kemenangan dua pertiga," katanya.

Justeru, Amirudin menyeru jentera PH dan BN untuk bersama-sama bekerja lebih keras hingga hari pengundian bagi membolehkan gabungan politik itu mencapai kemenangan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan di Selangor pada PRN nanti.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PH mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi diikuti BN (empat kerusi) dan PAS (satu kerusi).

Kedudukan kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam) diikuti BN (lima), Bersatu (empat) dan Parti Bangsa Malaysia (dua) manakala PAS, Pejuang serta Warisan masing-masing satu kerusi selain seorang wakil rakyat Bebas.

Kerusi Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Februari lalu selepas wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Wanita ditemukan maut selepas cuba tikam anak OKU

Nuraliawati Sabri
am@hmetro.com.my
LOKASI kejadian wanita menikam diri sendiri selepas cuba membunuh anaknya di Taman Kota Laksamana. FOTO Nursaliawati Sabri
LOKASI kejadian wanita menikam diri sendiri selepas cuba membunuh anaknya di Taman Kota Laksamana. FOTO Nursaliawati Sabri
Melaka: Wanita ditemukan meninggal dunia dengan beberapa kesan tikaman di bahagian perut di Taman Kota Laksamana, di sini, petang Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang itu, wanita berusia 56 tahun berkenaan didakwa terlebih dahulu cuba membunuh anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU).

Menurut saudara mangsa, dia mengetahui kejadian selepas dihubungi ibunya yang meminta dia untuk ke rumah kakaknya disebabkan wanita itu sudah tidak sedarkan diri kerana menikam diri sendiri selepas cuba menikam leher anak keduanya.

"Sebaik tiba saya lihat anak saudara berlumuran darah dan terdapat kesan kecederaan pada lehernya selain dia memaklumkan ibunya sedang memegang pisau berada di atas rumah.

"Sebaik masuk ke ruang tamu, saya lihat kakak sudah tertiarap di lantai ruang tamu dalam keadaan berlumuran darah selain terdapat juga kesan darah di dinding," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, anak saudaranya turut memberitahu sebelum kejadian ibunya menyuruh dia memakan ubat tahan sakit dan tidur.

"Namun tidak lama selepas itu, ibunya tiba-tiba bertindak menikam lehernya menggunakan pisau namun dia sempat menyelamatkan diri dengan mengunci diri di dalam bilik.

"Saya difahamkan terdapat tiga kesan tikaman pada bahagian perut kakak selain anak saudara yang cedera kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.