"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amirudin: Sanusi ‘kurang ajar’

Didakwa ucap ‘Sultan hebat tak pilih MB cokia’, Sanusi ‘kurang ajar’, kata Amirudin
Cokia (tiada kualiti) dalam loghat Kedah didakwa diucap Sanusi untuk dijadikan perbandingan lantikan menteri besar dibuat Sultan Kedah dengan Sultan Selangor.

FMT Reporters

PETALING JAYA: Amirudin Shari membidas Sanusi Md Nor kerana didakwa menghina Sultan Selangor dalam ceramahnya baru-baru ini, berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.

Amirudin yang juga menteri besar Selangor, berkata pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan penyokongnya perlu menilai semula kenyataan dibuat menteri besar Kedah, serta menginsafi kesilapan yang disifatkan melanggar etika “berkempen”.

“Ada laporan polis saya rasa akan dibuat oleh beberapa orang teruskan laporan itu dibuat. Itu menunjukkan sikap munafik mereka terutama bila bercakap tentang isu Melayu.

“Tetapi, selalu dan berulang kali melanggar bukan sahaja disiplin berkempen, tetapi terma dan juga adab dengan sultan atau Raja-Raja Melayu,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Jelajah Madani di Kuala Selangor.

Menurut laporan itu, Sanusi yang juga ketua pengarah pilihan raya PN itu dalam ceramahnya baru-baru ini, membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Sultan Selangor dalam melantik Amirudin menjadi menteri besar yang dilabelnya sebagai “cokia”.

“Sultan Kedah sampai sekarang dari satu susur galur tak pernah putus, itulah Kedah Darul Aman, hebatnya Sultan Kedah begitu teratur, bukan ‘koman-koman’, tengok menteri besar (Kedah).

“Sultan hebat macam itu (Kedah) tak akan pilih menteri besar ‘cokia’ macam Amir (Amirudin) tu. Inci pun tak berapa cukup, tarik balik fasal inci,” ucapnya.

Terdahulu, Amirudin dalam ucapannya pada program jelajah itu menempelak Sanusi apabila bersifat “kurang ajar” terhadap Raja-Raja Melayu selain menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Jelasnya, Sanusi seperti tiada modal lain untuk berkempen apabila tiada hujah fakta dan data untuk dikemukakan bagi menyangkal segala kemakmuran dan kejayaan dicapai PH di Selangor.

“Otak dia bukan dekat lutut, tetapi tapak kaki, dia berhujah sembarangan sebab tak ada angka, tak boleh buktikan, tak ada data, lalu sebut juga dalam serangan ‘bolehlah rizab besar, ada simpanan’. Sanusi tak boleh jawab fakta, dia buat cerekarama.

“Semalam saya cukup tersentuh dan bersedih, dia hina pula Sultan Selangor kononnya tak macam Sultan Kedah, ini kita di Kuala Selangor tempat asal Selangor di sinilah kelahiran Sultan Ibrahim yang popular di Bukit Malawati dan tempat ini kita berpayung di bawah Negeri Selangor.

“Hei Sanusi jangan kurang ajar, orang Selangor akan ajar kamu, ajar PN dalam pilihan raya akan datang,” ucapnya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam ucapannya pada program sama memaklumkan beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Sanusi.

“Saya tak boleh terima, dia tegur saya, dia ejek…Sanusi dengan puak-puak macam ini, tak boleh bercakap tentang fakta.

“Mereka hanya tahu menghina, mencerca, mengherdik, memaki hamun sampaikan Sultan Selangor pun Sanusi sedia hendak ejek. Sanusi…kamu boleh cakap macam-macam, kamu boleh mengata, caci kami boleh, tetapi kalau mula sentuh pasal 3R, kamu biadab. Kita serah kepada pihak berkuasa,” katanya.

Tiada ulasan: