"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar tak boleh dilihat berpendirian kabur dalam isu Palestin

Malaysiakini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah bersuara lantang menyokong Palestin dan mengecam rejim Zionis sejak konflik di Gaza.

Sedutan Anwar ke pelbagai negara untuk menyuarakan pandangan berkenaan situasi di Timur Tengah serta ucapan lantangnya di himpunan-himpunan, disiarkan berulang kali di kaca televisyen bagi menunjukkan pendirian tegasnya kepada rakyat Malaysia.

Anwar turut mendedahkan dia menerima tekanan daripada pemimpin dari Amerika Syarikat dan Eropah susulan bantahannya kerasnya terhadap serangan tentera Israel, namun menegaskan ia tidak akan mengubah pendiriannya.

Walaupun sokongan Anwar kepada perjuangan Palestin sudah dilihat sejak dia memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), dua Felo Kanan Iseas-Yusof Ishak Institute Julia Lau dan Francis E Hutchinson turut melihat isu tersebut daripada perspektif politik.

"Pendirian pro-Palestin yang tegas memberi manfaat politik di Malaysia pada masa ini," kata mereka dalam satu artikel yang disiarkan di laman institut itu, Fulcrum.

Dengan golongan muda Malaysia yang cenderung konservatif dan sokongan yang diraih PN dalam beberapa pilihan raya sebelum ini, ahli politik tidak boleh dilihat memiliki pendirian kabur berkenaan isu Palestin.

"Oleh itu, perdana menteri tidak boleh dilihat berdolak-dalih dalam isu ini," kata Lau dan Hutchinson, sambil membangkitkan seteru Anwar, Dr Mahathir Mohamad juga dikenali sebagai pengkritik Israel yang lantang.

"Faktor-faktor domestik ini membayangkan Anwar akan mengekalkan pendirian pro-Palestin yang tegas, melangkah ke hadapan.

"Dia telah membantah keras kritikan daripada Amerika Syarikat dan Eropah, berkata pengkritik telah 'memilih orang yang salah untuk diancam'.

"Sentimen di kalangan orang Malaysia terhadap Malaysia berkemungkinan terus meningkat ekoran keganasan yang berterusan, dengan angka korban (di Gaza) dan krisis kemanusiaan yang kian memburuk," kata mereka.

Jaminan kepada pelaburan asing

Dari segi ekonomi, Lau dan Hutchinson berkata rangka kerja dasar dan ekonomi Malaysia bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI), dengan membangkitkan respons memberangsangkan terhadap pelaburan Tesla dan Infineon.

"Kehalusan (finesse) diperlukan bagi memastikan sentimen luar berhubung Malaysia tidak terjejas, walaupun pemimpin Barat pastinya faham yang Anwar perlu memberi ruang kepada rakyat (Malaysia) untuk menyuarakan perasaan mereka.

"Anwar telah menjelaskan kepada rakyat Malaysia yang tentera negara itu tidak akan dihantar ke Gaza. Perdana menteri perlu menggunakan kemahiran pidatonya yang hebat, disertakan dengan kepintaran diplomasi, pada minggu-minggu mendatang," kata mereka lagi.

Pada masa sama, pembangkang dilihat bimbang apabila Anwar menjadi menonjol dalam isu ini dan menepis dakwaan utama mereka iaitu oleh kerana DAP menganggotai kerajaan, ia tidak akan menjuarai isu berkaitan Islam.

Jadi apabila DAP dan 12 wakil rakyat PKR dari kaum Cina menyuarakan kebimbangan berkenaan program pro-Palestin di sekolah - dengan gambar murid memegang senjata mainan dikongsikan di media sosial - PN terus mengecam mereka.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan pula kesal dengan polemik yang timbul sekitar konflik Palestin-Israel.

"Mengecewakan apabila di saat ribuan orang Palestin terkorban, ahli politik di Malaysia sibuk bergaduh tentang senjata mainan.

"Kita perlu fokus dalam melakukan usaha yang konkrit untuk membantu orang Palestin berbanding bersaing sesama sendiri dalam isu ini," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, ahli Parlimen pembangkang turut mempersoalkan mengapa Malaysia tidak mengheret Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pihak kerajaan kemudian menjawab ia tidak boleh dilakukan kerana Malaysia telah menarik diri daripada Statut Rome.

Ketika Malaysia membuat keputusan itu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin mengalu-alukannya dengan berkata "kita memang sambut baik sesuatu yang menguntungkan Islam."

Ahli Parlimen termuda Zimbabwe diculik, diseksa kumpulan bersenjata

AFP
Citizens Coalition for Change yang diketuai Nelson Chamisa mendakwa parti pemerintah ZANU-PF di sebalik penculikan Takudzwa Ngadziore. (Gambar AP)
HARARE: Seorang Ahli Parlimen pembangkang Zimbabwe diculik, diseksa dan ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan bogel hari ini, kata partinya ketika ketegangan politik tidak menunjukkan tanda reda selepas pilihan raya dipertikaikan.

Takudzwa Ngadziore, 25, diculik sekumpulan lelaki bersenjata dekat rumahnya di ibu negara Harare, ketika dalam perjalanan ke Parlimen pagi tadi, menurut Citizens Coalition for Change (CCC).

Ahli Parlimen termuda di Zimbabwe itu sempat membuat siaran langsung detik sebelum dia diculik di media sosial.

Dalam klip pendek itu, ahli politik tertekan dan bertali leher itu melihat ke kamera dan berkata “Saya diekori” dalam bahasa Shona, sebelum menunjukkan seorang lelaki bersenjatakan Kalashnikov dan bertopi hitam berlari ke arahnya.

Ngadziore ditemui beberapa jam kemudian dalam keadaan bogel, dengan kesan luka di badannya, kira-kira 40km dekat bandar kecil Mazowe, seorang rakan enggan dinamakan yang membawanya pulang memberitahu AFP.

CCC, parti pembangkang terbesar di negara Afrika Selatan itu, menyalahkan parti pemerintah ZANU-PF dengan berkata penculikan itu berlaku ketika kempen intimidasi lebih besar terhadap penyokongnya.

Jurucakap ZANU-PF, Farai Marapira menggesa pihak berkuasa “menyiasat perkara itu” dengan mendakwa penculikan itu mungkin “palsu”. Polis bagaimanapun tidak menjawab permintaan untuk komen.

“Tindakan menyasarkan (ahli CCC) terkemuka secara berterusan bertujuan menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk,” kata jurucakap CCC, Promise Mkwananzi.

Media tempatan dan kumpulan hak asasi manusia berkata, penculik itu kelihatan seperti anggota keselamatan Zimbabwe.

Ini insiden kedua seumpamanya dalam tempoh dua minggu ini. Minggu lalu, bekas Ahli Parlimen CCC, James Chidhakwa turut mendakwa diculik, diseksa dan kepalanya dicukur, sebelum ditemui beberapa jam kemudian di pinggir Harare.

Pemimpin CCC, Nelson Chamisa, 45, tewas kepada penyandang Emmerson Mnangagwa, 81, dalam pilihan raya umum Ogos lalu yang turut memberi majoriti kepada ZANU-PF di Parlimen, tetapi pemerhati antarabangsa berpendapat ia tidak mencapai standard demokrasi.

CCC mendakwa lebih 12 individu yang menyokongnya ditahan atas tuduhan direka.

Zionis ceroboh 'Garis Merah Al-Aqsa' cetus amuk tentera Palestin

Prof Madya Dr Rohaiza Rokis dan Dr Iyad M Eid
bhrencana@bh.com.my

Pada 2023, Zionis dengan majoriti peneroka agama di bawah pimpinan Benjamin Netanyahu dipilih sebagai parti fasis memerintah di Israel. Kerajaan ini secara terbuka menyokong pemindahan semua rakyat Palestin di luar Palestin.

Penceroboh Zionis juga dilengkapi senjata untuk menyerang dan membunuh orang awam Palestin, menghukum mati tahanan Palestin, membina penempatan baharu di Tebing Barat dan memulakan pemusnahan Masjidil Aqsa demi mendirikan kuil Zionis mereka.

Justeru, amaran keras disampaikan kepada Israel bahawa sebarang percubaan menceroboh Masjidil Aqsa akan membawa kepada konflik besar di Asia Barat, bukan hanya di Palestin.

Tanggal 7 Oktober 2023 menyaksikan pejuang pakatan tentera Palestin memulakan tindakan balas ketenteraan dengan menembak roket terhadap tentera Zionis selepas berkali-kali memberi amaran kepada Israel supaya tidak melepasi Garis Merah Al-Aqsa.

Bagi Palestin, garisan merah itu simbolik sempadan zon kawasan Al-Aqsa termasuk Baitulmaqdis, Masjidil Aqsa, masjid lain di sekitarnya serta penempatan asal penduduk Palestin. Mereka tidak menghalalkan sebarang tindakan pembangunan di dalam kawasan Al-Aqsa. Namun, Israel terus mencabar dengan memulakan kempen agresif.

Operasi Tufan al-Aqsa

Menceroboh Garis Merah Al-Aqsa adalah 'pantang' bagi Palestin. Pejuang Hamas berserta rakyat Palestin tidak mempunyai alternatif, selain memulakan kempen ketenteraan dipanggil Tufan al-Aqsa untuk menentang rancangan Israel.

Amuk adalah satu terma sosiolinguistik dan tindakan sosial berasal dari Tanah Melayu. Ia menggambarkan ledakan tindak balas secara luar jangkaan. Sekarang, istilah ini melangkaui sempadan budaya.

Dari perspektif sosiologi, fenomena amuk berpunca daripada pelbagai faktor pengasingan sosial, rasa terasing daripada kehidupan bermasyarakat. Apabila individu tidak lagi dapat berintegrasi dalam norma sosial, mereka bertindak secara amuk, sebagai cara untuk mendapatkan semula identiti dan tujuan hidup mereka. Begitu halnya yang berlaku kepada rakyat Palestin.

Natijahnya, Zionis tidak sepatutnya melanggar Garis Merah Al-Aqsa. Bedilan roket pada 7 Oktober adalah tindakan amuk dianggap wajar. Pejuang pakatan tentera Palestin melepaskan beribu-ribu roket ke arah bandar Israel, menembusi sempadan dan menghantar militan jauh ke wilayah Israel.

Operasi Tufan al-Aqsa adalah tindakan balas bagi menyatakan pendirian jelas mereka ke atas pencerobohan Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis dan pengepungan berterusan ke atas Gaza. Semangat patriotik bercambah, harapan jihad bertambah mekar.

Sejak Perang Arab-Israel 1948, Israel belum pernah menghadapi serangan dalam taktik skala kritikal sebegini daripada Palestin. Sekarang, pertempuran berlaku dalam wilayah Israel. Ia meragut banyak nyawa orang awam, wanita dan kanak-kanak kedua-dua belah pihak.

Ia memberikan satu kejutan ketara kepada Israel. Pemimpin mereka merayu kepada pemimpin Arab dan Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil bahagian dan menamatkannya. Suatu penamatan diharap berpihak kepada mereka. Namun, rakyat Palestin sangat positif menyatakan kemenangan berada di pihak mereka.

Bagi rakyat Palestin, amuk adalah langkah menzahirkan kekecewaan mereka. Ia tindak balas penentangan terhadap Zionisme bagi menggambarkan penderitaan mendalam, kekecewaan dan putus asa dialami dalam menghadapi konflik berpanjangan.

Sokongan antarabangsa, persefahaman dan empati adalah penting dalam menyelesaikan penyelesaian yang adil dan berkekalan kepada perang Palestin-Israel bagi memastikan masa depan aman.

Setiap manusia rasional mungkin akan mengamuk jika hal sama berlaku ke atas diri dan keluarga mereka. Sesungguhnya penderitaan dialami rakyat Palestin sungguh memeritkan dan memberi kesan kepada banyak pihak, termasuk Muslim di negara ini.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi AbdulHamid AbuSulayman, Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)