"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar tak boleh dilihat berpendirian kabur dalam isu Palestin

Malaysiakini

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah bersuara lantang menyokong Palestin dan mengecam rejim Zionis sejak konflik di Gaza.

Sedutan Anwar ke pelbagai negara untuk menyuarakan pandangan berkenaan situasi di Timur Tengah serta ucapan lantangnya di himpunan-himpunan, disiarkan berulang kali di kaca televisyen bagi menunjukkan pendirian tegasnya kepada rakyat Malaysia.

Anwar turut mendedahkan dia menerima tekanan daripada pemimpin dari Amerika Syarikat dan Eropah susulan bantahannya kerasnya terhadap serangan tentera Israel, namun menegaskan ia tidak akan mengubah pendiriannya.

Walaupun sokongan Anwar kepada perjuangan Palestin sudah dilihat sejak dia memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), dua Felo Kanan Iseas-Yusof Ishak Institute Julia Lau dan Francis E Hutchinson turut melihat isu tersebut daripada perspektif politik.

"Pendirian pro-Palestin yang tegas memberi manfaat politik di Malaysia pada masa ini," kata mereka dalam satu artikel yang disiarkan di laman institut itu, Fulcrum.

Dengan golongan muda Malaysia yang cenderung konservatif dan sokongan yang diraih PN dalam beberapa pilihan raya sebelum ini, ahli politik tidak boleh dilihat memiliki pendirian kabur berkenaan isu Palestin.

"Oleh itu, perdana menteri tidak boleh dilihat berdolak-dalih dalam isu ini," kata Lau dan Hutchinson, sambil membangkitkan seteru Anwar, Dr Mahathir Mohamad juga dikenali sebagai pengkritik Israel yang lantang.

"Faktor-faktor domestik ini membayangkan Anwar akan mengekalkan pendirian pro-Palestin yang tegas, melangkah ke hadapan.

"Dia telah membantah keras kritikan daripada Amerika Syarikat dan Eropah, berkata pengkritik telah 'memilih orang yang salah untuk diancam'.

"Sentimen di kalangan orang Malaysia terhadap Malaysia berkemungkinan terus meningkat ekoran keganasan yang berterusan, dengan angka korban (di Gaza) dan krisis kemanusiaan yang kian memburuk," kata mereka.

Jaminan kepada pelaburan asing

Dari segi ekonomi, Lau dan Hutchinson berkata rangka kerja dasar dan ekonomi Malaysia bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI), dengan membangkitkan respons memberangsangkan terhadap pelaburan Tesla dan Infineon.

"Kehalusan (finesse) diperlukan bagi memastikan sentimen luar berhubung Malaysia tidak terjejas, walaupun pemimpin Barat pastinya faham yang Anwar perlu memberi ruang kepada rakyat (Malaysia) untuk menyuarakan perasaan mereka.

"Anwar telah menjelaskan kepada rakyat Malaysia yang tentera negara itu tidak akan dihantar ke Gaza. Perdana menteri perlu menggunakan kemahiran pidatonya yang hebat, disertakan dengan kepintaran diplomasi, pada minggu-minggu mendatang," kata mereka lagi.

Pada masa sama, pembangkang dilihat bimbang apabila Anwar menjadi menonjol dalam isu ini dan menepis dakwaan utama mereka iaitu oleh kerana DAP menganggotai kerajaan, ia tidak akan menjuarai isu berkaitan Islam.

Jadi apabila DAP dan 12 wakil rakyat PKR dari kaum Cina menyuarakan kebimbangan berkenaan program pro-Palestin di sekolah - dengan gambar murid memegang senjata mainan dikongsikan di media sosial - PN terus mengecam mereka.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan pula kesal dengan polemik yang timbul sekitar konflik Palestin-Israel.

"Mengecewakan apabila di saat ribuan orang Palestin terkorban, ahli politik di Malaysia sibuk bergaduh tentang senjata mainan.

"Kita perlu fokus dalam melakukan usaha yang konkrit untuk membantu orang Palestin berbanding bersaing sesama sendiri dalam isu ini," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, ahli Parlimen pembangkang turut mempersoalkan mengapa Malaysia tidak mengheret Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pihak kerajaan kemudian menjawab ia tidak boleh dilakukan kerana Malaysia telah menarik diri daripada Statut Rome.

Ketika Malaysia membuat keputusan itu, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin mengalu-alukannya dengan berkata "kita memang sambut baik sesuatu yang menguntungkan Islam."

Tiada ulasan: