"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli Parlimen termuda Zimbabwe diculik, diseksa kumpulan bersenjata

AFP
Citizens Coalition for Change yang diketuai Nelson Chamisa mendakwa parti pemerintah ZANU-PF di sebalik penculikan Takudzwa Ngadziore. (Gambar AP)
HARARE: Seorang Ahli Parlimen pembangkang Zimbabwe diculik, diseksa dan ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan bogel hari ini, kata partinya ketika ketegangan politik tidak menunjukkan tanda reda selepas pilihan raya dipertikaikan.

Takudzwa Ngadziore, 25, diculik sekumpulan lelaki bersenjata dekat rumahnya di ibu negara Harare, ketika dalam perjalanan ke Parlimen pagi tadi, menurut Citizens Coalition for Change (CCC).

Ahli Parlimen termuda di Zimbabwe itu sempat membuat siaran langsung detik sebelum dia diculik di media sosial.

Dalam klip pendek itu, ahli politik tertekan dan bertali leher itu melihat ke kamera dan berkata “Saya diekori” dalam bahasa Shona, sebelum menunjukkan seorang lelaki bersenjatakan Kalashnikov dan bertopi hitam berlari ke arahnya.

Ngadziore ditemui beberapa jam kemudian dalam keadaan bogel, dengan kesan luka di badannya, kira-kira 40km dekat bandar kecil Mazowe, seorang rakan enggan dinamakan yang membawanya pulang memberitahu AFP.

CCC, parti pembangkang terbesar di negara Afrika Selatan itu, menyalahkan parti pemerintah ZANU-PF dengan berkata penculikan itu berlaku ketika kempen intimidasi lebih besar terhadap penyokongnya.

Jurucakap ZANU-PF, Farai Marapira menggesa pihak berkuasa “menyiasat perkara itu” dengan mendakwa penculikan itu mungkin “palsu”. Polis bagaimanapun tidak menjawab permintaan untuk komen.

“Tindakan menyasarkan (ahli CCC) terkemuka secara berterusan bertujuan menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk,” kata jurucakap CCC, Promise Mkwananzi.

Media tempatan dan kumpulan hak asasi manusia berkata, penculik itu kelihatan seperti anggota keselamatan Zimbabwe.

Ini insiden kedua seumpamanya dalam tempoh dua minggu ini. Minggu lalu, bekas Ahli Parlimen CCC, James Chidhakwa turut mendakwa diculik, diseksa dan kepalanya dicukur, sebelum ditemui beberapa jam kemudian di pinggir Harare.

Pemimpin CCC, Nelson Chamisa, 45, tewas kepada penyandang Emmerson Mnangagwa, 81, dalam pilihan raya umum Ogos lalu yang turut memberi majoriti kepada ZANU-PF di Parlimen, tetapi pemerhati antarabangsa berpendapat ia tidak mencapai standard demokrasi.

CCC mendakwa lebih 12 individu yang menyokongnya ditahan atas tuduhan direka.

Tiada ulasan: