"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Budak 2 tahun tinggal dengan mayat ibu

KOSMO!
SEORANG anak 2 tahun tinggal bersama mayat ibunya. - Foto Weibo
BEIJING – Seorang kanak-kanak berusia dua tahun ditemukan di samping mayat ibunya yang dipercayai telah meninggal dunia selama berhari-hari di wilayah Zhejiang, China, lapor laman berita MSNews hari ini.

Menurut Biro Keselamatan Awam Daerah Cangnan di Wenzhou, ibu tunggal berusia 28 tahun itu meninggal dunia secara mengejut di rumahnya pada Ahad lalu.

Anak lelakinya yang masih kecil dan tidak mampu mendapatkan bantuan dilaporkan berada di sisi mayat wanita tersebut selama sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari.

Jiran mereka yang curiga dengan bau busuk kemudian bertindak menghubungi polis.

Sebaik tiba, pegawai mendapati bahawa kanak-kanak itu berada dalam keadaan tertekan dengan kesan najis terdapat pada badannya.

Dia segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan berada dalam keadaan baik tanpa sebarang tanda kecederaan.

Pihak berkuasa tempatan termasuk Persekutuan Wanita Daerah Cangnan, balai polis dan kerajaan bandar bertindak bagi memastikan kebajikan kanak-kanak tersebut, manakala dia kini dijaga oleh bapa saudaranya.

Usaha sedang dijalankan untuk menghubungi bapa kandung kanak-kanak itu yang bekerja jauh dari rumahnya dan telah lama berpisah dengan ibunya.

Siasatan mengenai punca kematian wanita tersebut sedang dijalankan. – AGENSI

Dipukul, dipaksa ketuk ketampi ratusan kali dan tak diberi makan

MOHD. FAHMI ISMAIL
Hishamuddin (dua dari kanan) bersama mangsa (tiga dari kiri) yang selamat kembali ke tanah air dari Kemboja malam ini
SEPANG – Seorang lelaki yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini selepas lebih dua bulan terperangkap dan didera di negara itu.

Mangsa berusia 20-an itu diselamatkan hasil usaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gaso dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan kedutaan di Phnom Penh.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa dipercayai terpedaya dengan tawaran kerja menerusi iklan di media sosial sebelum dijual kepada sindiket di Poipet, sebuah kawasan sempadan Kemboja–Thailand yang kini menjadi tumpuan kumpulan penipuan dalam talian (scammer).

“Mangsa bukan sahaja dipaksa bekerja, malah didera dengan kejam termasuk dibotakkan kepala, dipukul, dipaksa melakukan ketuk ketampi ratusan kali dan tidak diberi makan secukupnya.

“Malah ada rakaman video yang menunjukkan penderaan dilakukan terhadap mangsa dan rakan-rakannya yang gagal mencapai sasaran jualan,” katanya menerusi rakaman video Facebook rasminya malam ini.

Menurut Hishamuddin, selepas keluarga mangsa membuat laporan polis dan menghubungi pihaknya, MHO segera mengatur misi menyelamat diketuai aktivis Azirul Syafiq Sazali dengan bantuan NGO Gaso.

“Syukur mangsa berjaya dibawa keluar dari kem tersebut selepas sindiket menghalaunya dan menyerahkan pasport serta barangan peribadi.

“Malam tadi dia dipindahkan ke Siem Reap dan akhirnya selamat diterbangkan pulang ke tanah air hari ini,” katanya.

Mangsa yang ditemui pula menceritakan penderitaan yang dialami sepanjang hampir dua bulan dikurung di pusat operasi penipuan tersebut.

“Saya dipaksa bekerja lebih 15 jam sehari, tidur hanya empat hingga lima jam, tidak diberi makanan secukupnya dan sering didera secara fizikal. Saya sangat trauma dengan apa yang berlaku, namun bersyukur kerana dapat kembali ke Malaysia dengan selamat,” katanya.

Menurut mangsa, dia pada awalnya ditawarkan pekerjaan sebagai khidmat pelanggan dengan gaji lumayan sebanyak AS$1,500 (RM6,750) sebulan, namun sebaik tiba di Kemboja, tawaran itu bertukar menjadi kerja penipuan dalam talian.

Bapa mangsa pula berterima kasih kepada MHO, Kedutaan Malaysia di Kemboja serta semua pihak yang terlibat dalam menyelamatkan anaknya.

“Saya tidak mahu kejadian ini berulang kepada orang lain. Harap pihak media terus beri kesedaran agar masyarakat berhati-hati dengan tawaran kerja luar negara yang tidak sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Nak mudah faham, 90% pengunjung industri hiburan seberang Sungai Golok itu adalah orang Kelantan

Selepas pangkalan haram dipotong tali, industri hiburan seberang Sungai Golok jatuh 90%

Harapandaily

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 212 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan telah ditutup.

Beliau berkata, penutupan pangkalan haram itu turut menyebabkan industri hiburan di seberang Sungai Golok telah merosot sehingga 90 peratus.

“… banteras semua pangkalan haram. 212 semua kita potong tali. Tiada lagi pangkalan haram yang dulunya sinonim dengan Sungai Golok.

“Maklum balas yang kita dapat, industri hiburan di sebelah sana (seberang Sungai Golok) merosot sampai 90 peratus apabila kita ketatkan kawalan,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam masa sama, beliau mendedahkan bahawa ramai pengunjung bukan warga Thailand yang masuk ke negara ini, sebaliknya rakyat Malaysia yang banyak berkunjung ke sana.

“Ramai yang pergi itu bukan orang sebelah sana masuk ke tempat kita tetapi orang kita ramai masuk ke sana,” kata Saifuddin lagi.

Pada 3 Jun lalu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilapor berkata, larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok sejak Disember tahun lepas berjaya mengurangkan 65 peratus kemasukan dadah ke negeri itu.

Mohd Yusoff menambah penutupan sempadan sejak Disember 2024 itu juga menyebabkan jumlah dadah yang masuk ke negara ini berkurangan.

Jelasnya, Thailand juga mengakui kemasukan dadah ke negara itu juga berkurangan.