"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cuba bunuh polis guna kerambit, lelaki dipenjara 8 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lelaki dikenakan lapan tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen Melaka selepas mengaku salah cuba membunuh seorang inspektor menggunakan kerambit, Sabtu lalu.

Tertuduh, Muhammad Fairus Abdullah, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati cuba membunuh Esmal Fhahmie Abd Malek, 40, dengan menghayunkan kerambit ke arah mangsa dengan niat sedemikian boleh menyebabkan kematian, menurut Kosmo.

Perbuatan itu dilakukan pada 1 pagi di Lot 1209-2, Batu 6 Lereh, Tanjung Kling, pada 11 April.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebatan.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah kerambit di tempat awam tanpa mempunyai maksud yang sah.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan disebat.

Mengikut fakta kes, tertuduh dilihat dalam keadaan mencurigakan dan bertindak melarikan diri sejauh 300m, sambil memegang sebilah kerambit serta sebatang pemutar skru selepas pengadu iaitu Esmal memperkenalkan diri.

Pengadu telah meminta menyerah diri, tetapi tertuduh enggan sambil menjerit ‘Aku akan bunuh polis yang cuba tahan atau tangkap aku’.

Tertuduh kemudian bertindak menghayunkan sebilah kerambit ke arah pengadu dan hanya melepaskan senjata itu selepas satu das tembakan amaran ke udara dilepaskan polis.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izatti Abdul Mutalif memohon hukuman setimpal diberikan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya berjalan serentak dari tarikh tangkap.

Guru wanita maut dalam kemalangan

Togi Marzuki
am@metro.com.my
KEADAAN dua buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 2.2 Jalan Sri Menanti, Parit Sikom Pontian. FOTO ihsan polis
KEADAAN dua buah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 2.2 Jalan Sri Menanti, Parit Sikom Pontian. FOTO ihsan polis
Pontian: Seorang guru wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 2.2 Jalan Sri Menanti Parit Sikom, di sini, petang semalam.

Mangsa, Jamaliah Aris, 37, yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas disahkan meninggal dunia di Hospital Pontain.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kejadian yang berlaku pada jam 4.15 petang itu membabitkan kereta Toyota Vios dan lori Isuzu.

Katanya, siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios yang dipandu guru wanita terbabit keluar dari simpang Parit Basilam lalu bertembung dengan lori berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah dan meninggal dunia di Hospital Pontian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Lori berkenaan disita bagi tujuan siasatan lanjut dan ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori mendapati keputusan negatif, " katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Sekiranya ada saksi kes berkaitan, sıla tampil di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian atau hubungi Inspektor Tong Siew Fen di talian 010-2090396 untuk bantu siasatan, " katanya.

Bukan sekadar jenayah ekonomi biasa tetapi pengkhianatan negara - Jais

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
Jais Abdul Karim
Jais Abdul Karim
Kuala Lumpur: Pembongkaran penyeludupan diesel bernilai RM2.33 bilion baru-baru ini dianggap satu bentuk pengkhianatan negara yang dilakukan secara sistemik dan terancang.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menegaskan kes itu bukan sekadar aktiviti jenayah ekonomi biasa, tetapi bukti jelas wujudnya kelompangan besar dalam sistem kawalan subsidi negara yang kini menjadi 'lubuk emas' bagi sindiket antarabangsa.

"Ini adalah aset milik rakyat. Skala rampasan diesel ini terlalu besar hingga mencecah angka bilion ringgit.

"Persoalan paling utama, sudah berapa lama sindiket ini beroperasi sebelum ditumpaskan? Jika sekali tangkap nilainya sudah RM2.33 bilion, bayangkan berapa banyak lagi kekayaan rakyat Malaysia yang 'bocor' ke luar negara sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas kejayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Pulau Pinang mematahkan cubaan pemindahan kira-kira 700,000 liter diesel secara haram membabitkan dua kapal tangki di perairan Bagan Ajam, Pulau Pinang, Ahad lalu.

Aktiviti haram itu membabitkan pemindahan minyak diesel Euro 5 dengan anggaran 700,000 liter manakala keseluruhan rampasan minyak dianggarkan mencecah 800,000 liter.

Seramai 22 kru turut ditahan membabitkan warga Malaysia, Myanmar, Rusia, Filipina dan Indonesia di atas kedua-dua kapal berkenaan.

Jais menjelaskan bahawa diesel Euro 5 yang berkualiti tinggi dan diberi subsidi oleh kerajaan adalah untuk kegunaan rakyat termasuk bagi kegunaan nelayan dan sektor logistik.

"Tetapi, minyak ini dimanipulasi melalui rantaian bekalan yang licin. Sindiket ini menggunakan lori tangki yang diubah suai, stor haram berhampiran pelabuhan dan melakukan operasi pemindahan Ship-to-Ship (STS) di tengah laut.

"Ini bukan kerja individu secara kecil-kecilan. Ini adalah kegagalan kawalan yang serius. Di mana titik kebocorannya? Siapa yang menutup mata dan siapa yang memberi perlindungan?" soal beliau.

Beliau berkata, apa yang paling dikesalkan pihak MCW adalah pembabitan warga tempatan dalam kegiatan haram itu bersama kru warga asing dari Rusia, Myanmar, Indonesia dan Filipina.

"Apabila rakyat Malaysia sendiri sanggup menjadi dalang kepada sindiket antarabangsa untuk menyeludup hak rakyat sendiri demi keuntungan peribadi, itu adalah pengkhianatan paling pedih," katanya.