"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bayi perempuan dilahirkan secara mengejut di butik kecantikan.

DAYANG NUR SIPIKA ABANG BUSRAH
‘Perut sakit mahu ke tandas, tiba-tiba bersalin’
PETALING JAYA – Hasrat seorang wanita untuk ke tandas selepas mengalami sakit perut bertukar detik cemas apabila dia secara tiba-tiba melahirkan seorang bayi perempuan di sebuah butik kecantikan di Seri Iskandar, Perak.

Menerusi perkongsian pemilik butik kecantikan tersebut di Threads, biarpun kelahiran itu berlaku semalam, dia mengakui masih menggigil selepas berdepan dengan pengalaman yang mengejutkan itu.

“Mak baby (bayi) ini katanya sakit perut nak ke tandas, perut memulas. Tiba-tiba kaki bayi dah keluar dulu.

“Sekelip mata terus keluar baby girl (bayi perempuan) ehh,” katanya.

Perkongsian itu menarik perhatian netizen yang terkejut dengan kejadian tersebut selain memuji kelahiran bayi tersebut yang berlaku dengan pantas.

“Allahu, mudahnya bersalin,” komen seorang pengguna.

“Apalah amalan ibu ini, mudahnya bersalin,” seloroh yang lain.

Kejadian tersebut turut mengundang reaksi warganegara yang mengatakan pengalaman berkenaan sebagai antara detik paling mendebarkan buat mereka yang berada di lokasi. – KOSMO! ONLINE

Hassan Karim: Kerajaan gagal kutip berbilion hutang tertunggak

Elill Easwaran

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata ada pihak berhutang dengan kerajaan dan gagal diselesaikan selama 40 tahun.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata kerajaan lemah dalam mengutip hutang dan keadaan itu membimbangkan memandangkan hutang persekutuan meningkat 5.9% tahun lalu kepada RM1.321 trilion.
PETALING JAYA: Kerajaan gagal mengutip berbilion-bilion ringgit hutang, dengan hanya 5% daripada keseluruhan RM9.273 bilion hutang tertunggak berjaya dikutip tahun lalu, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.

Ketika membahaskan laporan Ketua Audit Negara 2026 di Dewan Rakyat, Hassan berkata kelemahan kerajaan dalam mengutip hutang amat membimbangkan, memandangkan hutang persekutuan meningkat 5.9% tahun lalu kepada RM1.321 trilion.

“Kerajaan agak baik dalam membuat pinjaman tetapi tidak begitu baik dalam mengutip hutang,” katanya.

“Apa buktinya? Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan berbilion-bilion ringgit hutang oleh pelbagai pihak kepada kerajaan persekutuan masih belum dibayar.

“Ada yang berhutang sehingga 40 tahun tanpa diselesaikan… Laporan itu mendedahkan bahawa sistem kutipan hutang kerajaan persekutuan gagal.”

Kenyataan Hassan itu dibuat isu hutang tertunggak yang belum dibayar kepada agensi kerajaan mendapat perhatian.

Pada Isnin, Zetrix AI Bhd, anak syarikat Kumpulan MYEG, berkata ia telah mengemukakan cadangan penyelesaian kepada kerajaan bagi menyelesaikan tunggakan hutang RM314 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata tunggakan itu melibatkan fi dan saman yang dikutip syarikat berkenaan sejak Mei, sambil menambah bahawa kementerian dan JPJ akan menetapkan tarikh akhir untuk jumlah itu dijelaskan serta mengambil langkah sewajarnya bagi mendapatkan semula dana tersebut.

Jangan ‘bail out’ syarikat bermasalah

Hassan turut menggesa kerajaan supaya tidak menggunakan wang pembayar cukai untuk menyelamatkan syarikat berkaitan kerajaan atau firma swasta yang mengalami kerugian, memandangkan tahap hutang negara yang tinggi.

Merujuk kepada sebuah syarikat penerbangan nasional, Hassan berkata beliau dimaklumkan bahawa syarikat itu mempunyai hutang jangka pendek sebanyak RM18.4 bilion dan kerugian suku tahunan sebanyak RM830 juta.

Hassan berkata kerajaan harus menolak sebarang permintaan bantuan kewangan daripada syarikat berkenaan.

“Jika syarikat ini mengetuk pintu Kementerian Kewangan dan meminta bantuan, saya harap kerajaan menolaknya kerana kerajaan sendiri berhutang,” katanya.

“Kerajaan mempunyai perkara lain yang perlu diselesaikan.”

Bulan lalu, AirAsia menafikan bahawa syarikat itu ada meminta bantuan kerajaan.

Pengasas bersama dan penasihat Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata operasi syarikat penerbangan itu kekal mampan dan ia tidak pernah meminta bantuan kerajaan sepanjang 25 tahun operasinya.

Beliau turut menafikan laporan bahawa kerajaan menghubungi syarikat penerbangan pesaing untuk mengambil alih sebahagian daripada laluan domestik AirAsia, dengan berkata Putrajaya telah mengesahkan kepadanya bahawa tiada perbincangan sedemikian berlaku.

Lepas ugut pijak al-Quran, lelaki tumbuk orang awam di Ramsar

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
KEKECOHAN yang berlaku susulan provokasi dilakukan sekumpulan individu di Kampung Lubuk Tambangan di Bera.
BERA – Jika sebelum ini provokasi terhadap pihak berkuasa dilakukan dengan membuat halangan dan kata-kata termasuk ugutan memijak al-Quran, namun kini penceroboh hutan Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) semakin agresif apabila mula melakukan provokasi secara fizikal.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 tengah hari semalam menyaksikan berlaku provokasi daripada sekumpulan Orang Asli yang berakhir dengan seorang orang awam cedera ditumbuk seorang individu di Kampung Lubuk Tambangan di sini.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, semasa operasi yang dijalankan, pihak penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) turut menerima ugutan agar tidak meneruskan operasi penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

“Susulan kejadian tersebut polis menahan seorang lelaki berumur 54 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/186/506 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lain akan dibuat dalam masa terdekat bagi membantu dan melengkapkan siasatan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar memberi kerjasama serta tidak menghalang mana-mana agensi kerajaan dalam menjalankan operasi penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan pihak berkuasa terus berhadapan dengan provokasi daripada masyarakat Orang Asli termasuk kata-kata memijak kitab suci al-Quran.

Berdasarkan rakaman video menyaksikan individu sama yang sering melakukan bantahan dan provokasi berkenaan telah mengeluarkan kata-kata tersebut kepada sepasukan penguatkuasa yang sedang melakukan tugas mereka.

Malah mereka dilihat semakin agresif menghalang penguatkuasa memasuki ke kawasan hutan simpan kekal berkenaan dengan pelbagai alasan termasuk bahaya yang boleh mengundang penguatkuasa.

Individu berkenaan juga dilihat meminta surat kebenaran memasuki kawasan berkenaan sedangkan jelas kawasan berkenaan adalah milik kerajaan negeri dan penguatkuasaan berkenaan adalah atas kebenaran kerajaan negeri. – KOSMO! ONLINE