"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan Ada Dua Mazhab Politik Dalam Pas

SAYA tidak tahu apakah orang lain juga menyimpan perasaan seperti saya terhadap Pas. Selepas mengikuti muktamar Pas ke 55 pada 5 hingga 7 Jun di Shah Alam dan melihat ragamnya yang terpamir dalam muktamar itu, ada satu perasaan menunjal-nunjal dinding hati saya. Perasaan itulah bimbang dengan keselamatan dan masa depan Pas.

Saya nampak ada semacam arus berlawanan dalam Pas pada masa ini. Walaupun muktamar itu berjalan lancar tetapi ia ada ketengangan di sebaliknya. Apa yang jelasnya ada dua suara besar yang sedang bergelombang dan mencari ruang dalam Pas.

Walaupun Pas sebagai parti Islam dan dihormati sebagai parti yang kuat disiplin, tebal ukhwah Islamiahnya, namun kebanggan ia bukan simpulan mati untuk tidak boleh dileraikan atau akan terombak. Bukan bermakna selamanya kolam atau lautan Pas tenang dan damai. Apabila sudah ada gelombang dan angin ia tidak boleh mengelakkan dari berkocak kuat dan kolam tidak akan bisa menenangkan airnya lagi. Saat ini air akan berombak dan akan terserlahlah kejelekan dalam kolom berkenaan.

Sejarah telah pun menunjukkan Pas pernah berombak dan penah berpecah. Pas pernah menghadapi perbalahan besar yang membawa kepada kemusnahan politik penerajunya. Perpecahan itu ialah kerana perselisihan pendapat dan pemikiran penerajunya ditentang.

Ketika itu belum ada elemen luar mempengaruhi Pas atau cuba menyusup secara senyap dan memakan Pas dari dalam. Kalau semasa sesama sendiri Pas sudah boleh bergaduh apa lagi kini Pas sudah banyak dirobosi oleh pemikiran asing agenda para parasit serta sedia menerima politik Machiavelliaisme bererti makin terbukalah ruang ‘balah’ dalam Pas.

Apabila Pas dilihat parti besar, berpotensi untuk berkuasa maka ramailah orang yang gila untuk menguasai dan menjadi penerajunya. Ramailah arkitek dan tukang-tukang tilik upahan. Apa lagi muasir ini musuh Pas (Umno) benar-benar gelabah dengan sambutan hangat ke atas Pas. Umno teringin untuk melakukan apa saja bagi mengekang Pas. Tidak pelit kalau mereka juga turut sama menjadi tukang sorak.

Perpecahan paling besar pernah berlaku dalam Pas ialah pada tahun 1982. Ia berpunca apabila presiden Pas, Mohd Asri Muda ditentang oleh ahli pas sendiri. Penentangan itu yang dianggap satu kejadian memalu dan tidak beradab oleh Asri di sepanjang sejarah politiknya menyebabkan beliau keluar parti pada 23 Oktober1982. Beliau membawa bersama puaknya menubuh Hizbul Muslim (Hamim). Ironis, selepas itu Asri terus menyertai Umno yang ditentangnya.

Apakah sejarah itu tidak akan berulang? Ingatlah tiada satu sejarah besar didunia ini mati begitu saja tanpa berulang beberapa kali. Begitu juga sejarah yang perit untuk ditelan Pas itu tetap juga akan berulang bila tiba masa dan waktunya. Sejarah baru umpama jani dalam kandungan seorang ibu yang pasti akan keluar menjenguk dunia apabila tiba masanya! Fitrahnya begitu.

Justeru saya sangat walang dan cemas akan berlaku perulangan sejarah yang tragis ini di sisi Pas. Terasa tidak sanggup untuk melihatnya kerana untuk memperbetulkan keretakannya memakan masa berdekad-dekad pula.

Tanda-tanda adanya ketegangan dalam Pas semasa muktamar itu sangat jelas. Meskipun masing-masing cermat dan cuba melindungi konflit itu namun ia tetap juga terbau. Ketegangan itu terwajah di mana-mana sahaja baik semasa sidang Dewan Pemuda, Muslihat dan juga Dewan Ulama. Keadaan ini membawa hingga ke hari akhir semasa ucapan penangguhan dan penggulungan.

Yang jelas ada dua suara besar dalam Pas yang bertentangan. Pas terbahagi kepada dua bentuk pemikiran atau kepercayaan atau teori politik yang masih berbentuk awan-awanan. Maknanya Pas sedang berbalah soal apakah anak dalam kandungan itu betina atau jantan.

Satu pihak ialah mempercayai kepada pendekatan politik perundingan dengan sesiapa saja. Pendekatan ini diyakini ianya bertepatan dengan prinsip Islam itu sendiri yang bersedia berunding dengan sesiapa saja. Golongan ini tidak begitu obses kepada kuasa tetapi lebih untuk melaksanakan peranan parti sebagai gerakan Islam.

Manakala satu pihak lagi yakin Pas boleh menguasai negara ini tanpa perlu berdamai dengan Umno. Mereka percaya kedudukan musuh mereka sangat lemah jadi masa inilah musuh perlu dilanyak secukupnya. Dengan sokongan di luar sana Pas dikira mampu menjadi peneraju kerajaan negara ini. Puak ini tidak memperdulikan kepada prinsip dan dasar Pas berteraskan kepada Islam untuk keamanan semua, tetapi semata-mata melihat dan mahu menerkam kepada kuasa yang masih dalam bentuk fatamorgana.

Sebenarnya pertentangan ini bukan besar atau sukar untuk dileraikan. Keduanya mungkin betul dan mungkin salah. Dipihak yang mahukan atau membuka pintu perundingan dengan sesiapa saja berpijak dibumi nyata. Seperti mana kata presiden Pas, Abdul Hadi Awang ia adalah tuntutan Islam. Berunding itu bukan bermaksud bersetuju untuk sekongkol dengan musuh tetapi mencari jalan penyeslaian demi maslahat bersama. Apakah berunding pun tidak boleh? Ini menunjukkan Pas sebagai parti yang kejam!

Manakala dalam dunia politik yang tidak mengenal kawan dan lawan, pandangan agar Pas bergerak sendiri bersama Pakatan Rakyat tanpa epologitik kepada Umno juga betul. Anggapan Umno tidak boleh dipercayai berdasar sejarah lampau juga betul seperti mana Umno juga beranggapan demikain kepada Pas. Tetapi apakah sejarah itu perlu diprejudiskan selamanya? Di manakah hikmahnya Pas sebagai parti mengajak kepada perpaduan? Kehebatan manusia ialah memberi kesedaran kepada musuh bukannya terus mengangkat lembing kepada mereka.

Keyakinan dan omongan teaori inilah yang kini membentuk dua persimpangan dalam Pas. Sepihak mahu ke kanan manakala sepihak mahu ke kira. Sepihak mahu terus angkat pedang dan sepihak lagi mahu menurunkan pedang ke bawah. Mereka umpama dua ekor anak lembu jantan yang ditambat tali dileher dan saling tarik menarik antara satu sama lain.

Saya melihat pertelingkahan ini mudah untuk reda sekiranya tidak melibatkan personaliti yang ditaksubi , Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tetapi bila Nik Aziz jelas berada disatu pihak dan tidak berdiri ditengah-tengah menyebabkan ketegangan ini berlarutan. Apa lagi Nik Aziz memberi muka kepada satu pihak dan prejudis melampau kepada pihak lain.

Pihak yang tidak bersetuju dengan teori perpaduan berlindung di sebalik keromah Nik Aziz yang dikeramatkan. Nik Aziz yang nyata menyokong mereka. Berlaku keganjilan apabila Nik Aziz dianggap ulama menolak kepada perundingan dan perbincangan. Kedegilan Nik Aziz inilah dianggap beliau sebagai dipengaruhi oleh pihak yang menolak itu.

Dalam hal ini saya rasa Nik Aziz sudah sedikit terlajak, beliau sudah gagal mengawal dirinya sebagai Mursyidul Am Pas. Sepatutnya beliau tidak menunjukkan pertentangan beliau dengan presiden. Samada beliau perlu tegak dengan keputusannya atau sebaliknya, beliau tidak perlu menampakkan ketegangan dan perbalahan itu. Satu penyelesaian secara mesyuawarah perlu dilakukan dan penyelesaian dicapai. Ada iras-ras Nik Aziz merasakan Pas itu sebagai kepunyaan orang berjawatan Mursyidul Am.

Sebenarnya apa yang berlaku antara Nik Aziz dan Hadi itu, itulah yang ingin disaksi oleh musuh Pas. Mereka sangat suka kalau dua ulama yang berada dalam satu masjid berbalah dan bertengar dan saling lempar melempar serban atau kopiah. Mereka sudah dapat mengagakkan lama-lama kelamaan pertengkaran dan perselisihan faham itu akan mewujudkan dua mazhab dalam Pas. Inilah yang mereka tunggu dan nanti-nantikan.

Tidak dapat ditolak kalau perselisihan ini berpanjangan apa lagi ia dibumbui amarah akan wujud dua mazhab politik dalam Pas. Lebih malang lagi kewujudan dua mazhab politik akan bertukar menjadi kabilah politik. Kalau ini berlaku ia akan memarahkan Pas.

Inilah, kewujudan dua mazhab politik yang saling menyakini kepada teori omongan itulah yang membimbangkan saya. Tidak mustahil kalau kedua pihak degil ia akan wujud keadaan dua mazhab dalam Pas. Justeru sebelum keadaan menjadi lebih parah dan kronik kedua pihak harus duduk bersama. Berfikir semasak-masaknya. Jalan terbaik kedua teori omongan yang diyakini dimansuhkan untuk menenangkan keadaan. Carilah satu keyakinan atau teori baru bagi merapatkan saf dalam Pas.

Mereka yang kecundang dalam perlawanan baru-baru ini insaflah hal ini. Kekalahan mereka itu menunjukkan majoriti tidak bersedia untuk menerima pandangan mereka buat masa ini. Demi parti mereka kena akur kepada keputusan muktamar. Adalah malang kalau mereka terus mengapi-apikan agar teori mereka diterima dan teori lain ditolak. Wahal kedua teori itu masih dalam tembuni harapan.

Tiada ulasan: