"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa Musuh Dalam Selimut - Husam

Husam persoal 'musuh' Haron Din
Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri
Datuk Husam Musa memohon penjelasan daripada Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din memberi penjelasan berhubung ucapannya mengenai "musuh dalam selimut" parti itu.

Husam, yang gagal dalam percubaan merebut jawatan timbalan presiden, berkata penjelasan ungkapan tersebut "amat mustahak" bagi mengenal pasti identiti atau kumpulan yang dimaksudkan.

Beliau meminta penjelasan isu itu sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan sebagai mantan naib presiden PAS pada hari terakhir muktamar PAS sejak Jumaat lalu di Stadium Malawati, Shah Alam.

Dua minggu sebelum persidangan, Dr Haron berkata PAS harus berhati-hati terhadap musuh parti, termasuk tajaan Umno atau negara asing, yang bakal menguasai pucuk pimpinan parti.

Ketika bercakap di seminar kepemimpinan ulama 23 Mei lalu, tokoh ulama PAS itu berkata musuh-musuh parti berpeluang menaikkan pemimpin tertentu melalui liputan meluas di media.

"Faktor kemenangan dalam pemilihan parti ialah kekerapan liputan dalam akhbar seperti (organ rasmi)
Harakah dan (mingguan politik)Siasah atau media-media lain.

"Justeru itu, musuh berpeluang besar mempromosikan individu-individu tajaan mereka bagi mendapatkan kemenangan dalam pertandingan parti," katanya, seperti dalam satu teks ucapan di Markaz Tarbiyah PAS di Gombak.

"(Keahlian terbuka PAS) ini akan membuka peluang besar kepada Umno dan musuh luar negara untuk meramaikan ahli PAS bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam.

"Sehingga kini kita tidak mempunyai mekanisme khusus bagi dijadikan perisai menghadapi musuh kerana strategi ini dilakukan oleh Amerika Syarikat di dalam organisasi Islam di peringkat dunia."

Menjawab pertanyaan Husam, pengamal perubatan alternatif itu bagaimanapun menafikan ucapannya ditujukan kepada pihak tertentu, sebaliknya menyatakan ia dibuat secara umum.

Dr Haron juga berkata "Husam tak pernah cakap dengan saya secara peribadi" tentang perkara tersebut.

"Saya ingat, tidak ada saya sebut ("musuh dalam selimut"). Saya tidak kata dalam PAS ada musang berbulu ayam. Dan saya tidak kata ada musuh dalam selimut.

"Tetapi saya sebut, musuh sentiasa ada, mungkin sebutan itu orang mengulas dan menambah," jelasnya, sambil meminta maaf jika ucapannya itu disalahfaham.

Bekas pensyarah agama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga mengingatkan penyokong PAS supaya berhati-hati dengan laporan media "selain
Harakah dan Siasah" yang belum dapat dipastikan kesahihan laporan mereka.

Mengulas lanjut isu "musuh dalam selimut", Dr Haron hari ini berkata, dengan keahlian parti mencecah jutaan orang, sudah tentu musuh besar seperti Amerika Syarikat dan Israel merancang menggendalakan agenda Islam yang ingin dibawa PAS.

Dr Haron sebelumnya mengkritik sikap tidak patuh kepada pemimpin dan "lawan taukeh" yang disifatkannya sebagai "penyakit parti politik tidak Islam" agar tidak berjangkit ke dalam PAS.

Tidak jelas sama ada ungkapan ini ditujukan kepada Husam atau pemimpin lain yang menolak saranan kerajaan perpaduan seperti anjuran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau mengakhiri ucapan beliau dengan dengan laungan takbir daripada kira-kira 2,000 hadirin yang hadir.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: