"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MUKTAMAR BERAKHIR DENGAN JAYANYA

Muktamar Tahunan PAS kali ke 55 berakhir petang semalam dengan jayanya merungkai segala permasalahan, pertembungan dan kekusutan. UMNO BN yang mahu melihat PAS bertembung dan bercakaran sesama sendiri kerana perbezaan pendapat atau hanya kerana pertandingan dalam jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden tentu kecewa. Akhbar-akhber media perdana dan internet yang cuba menggambarkan pertembungan ini juga gagal dan kecewa.

Mereka menilai PAS dari perspektif parti politik semata-mata, sedangkan dalam masa yang sama PAS adalah sebuah gerakan Islam yang mempunyai kekuatan tersendiri, mempunyai akhlak dan adab berjamaah, pemimpin adalah terpilih yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan Islam, ahli-ahlinya juga ditarbiyah oleh para ulama PAS dengan berasaskan manhaj yang standart, asasnya perjuangan juga adalah kukuh, pengorbanan ahli dan pemimpinnya cukup besar, amalannya pula terbukti meneruskan perjuangan Rasulullah saw dan para sahabat.

PAS boleh kalah atas nama politik tetapi tidak boleh dikalahkan sebagai sebuah gerakan Islam, pemimpin PAS boleh bertukar ganti, pemimpin-pemimpin PAS terdahulu ada yang meninggalkan PAS, tetapi PAS tetap utuh, malahan bertambah kuat. PAS pernah menang dalam pilihanraya, pernah juga kalah beberapa kali, bahkan kalah lebih kerap daripada menang. Namun PAS tidak pernah terkubur. Suatu ketika ramai pemimpin PAS ditahan bertahun-tahun di bawah ISA, semangat PAS tidak pernah pudar, bahkan pemimpin PAS yang ditahan itu, semangatnya tetap kental

Perselisihan dan pertembungan tidak dinafikan memang wujud dalam PAS tetapi tidak sampai menghancurkan PAS. Perselisihan pendapat dalam PAS adalah perselisihan yang sihat dan menyegarkan. Pertembungan pemikiran yang berlaku tidak pula bercanggah dengan prinsip dan dasar PAS, hanya UMNO BN melalui media-media mereka sahaja yang membesar-besarkannya.

Apabila PAS ditubuhkan di atas dasar dan prinsip yang teguh dan kukuh berteraskan al Quran dan Sunnah, PAS tidak akan hancur walaupun ada pimpinan PAS yang mengkhianati parti, mereka yang cuba mengkhianati parti tidak akan diterima oleh PAS dan akan terpelanting dari arus perdana PAS.

Pada hari terakhir muktamar semalam, para perwakilan mendengar sendiri jawapan-jawapan dari beberapa pimpinan tertinggi parti, cara mereka memberi jawapan cukup berhemah, berilmu dan profesional walaupun diasak oleh ucapan para perwakilan yang berapi-api, sehingga ada para perwakilan yang kurang matang dan cerdik sikit, mungkin terlalu emosi atau tidak ada pengalaman panjang dalam PAS, mengambil kesempatan membahaskan usul yang langsung tidak ada kaitan dengan isu yang dibangkitkan oleh perwakilan tersebut. Perwakilan tersebut kena belajar lebih lama sikit dari pimpinan yang lain untuk mematangkannya.

Para pimpinan boleh menggunakan paltform penggulungan hujjah semalam untuk membidas balik hujjah-hujjah perwakilan, tetapi mereka tidak berbuat demikian. Mereka menjawab dengan penuh cermat, berhemah dan penuh dengan hujjah-hujjah yang jitu tanpa berucap dengan semangat berkobar-kobar. Ternyata para perwakilan menerima jawapan-jawapan yang diberikan oleh pimpinan.

Saya percaya, para perwakilan sekarang sudah kembali di kawasan masing-masing dengan perasaan yang puas dan penuh semangat untuk mengatur gerak kerja parti. Mereka yang tidak terpilih tidak kecewa, bahkan boleh jadi bersyukur. Mereka tetap boleh berkhidmat dengan parti tanpa ada jawatan di peringkat pusat. Pemikiran mereka tetap boleh dimanfaatkan.

Ucapan dasar presiden mesti dihayati, dibentangkan semula di peringkat kawasan, dimunaqasyahkan, diperincikan dan dilaksanakan dalam bentuk agenda bertindak. PAS mesti diagendakan bagi memimpin gerakan masa bagi menjatuhkan UMNO BN, dan PAS mesti mengambil alih dan menjadi pengganti kepada UMNO bagi menerajui kepimpinan negara. Buktikan melalui kesungguhan kita bekerja tanpa mengenal penat dan jemu. Insya Allah PRU ke 13 akan menjadi kenyataan.

Tiada ulasan: