"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersabar untuk lihat perubahan kerajaan Kedah - Ustaz Azizan Razak

Izwan Abdul Halim

SHAH ALAM, 7 Jun (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak memberi penjelasan terhadap beberapa perkara yang ditimbulkan perwakilan khususnya dari Pahang dan Perlis berhubung Kerajaan Negeri Kedah dibawah Pakatan Rakyat.

Akuinya, terdapat banyak perkara yang dilakukan belum dapat memuaskan hati rakyat sepertimana pemerintahan di Kelantan.

Hujahnya, Pakatan Rakyat baru 15 bulan mentadbir negeri Kedah sedangkan PAS telah 19 tahun mentadbir Kelantan. Oleh itu, beliau meminta agar semua pihak bersabar untuk melihat perubahan yang sedang dibuat.

Janjinya, Kedah berusaha untuk melaksanakan pendekatan yang memudahkan rakyat. Beliau seterusnya memetik kisah kisah pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang dipersoalkan anaknya kerana tidak melaksanakan kritikan yang pernah dilontarkan kepada pemerintahan Muawwiyah sebelumnya.

"Kita mengaku, setelah 50 tahun Umno memerintah Kedah, banyak perkara yang kita susah nak ubah," terang beliau pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 di Stadium Malawati, hari ini.

Jelasnya, Kerajaan Negeri Kedah telah melaksanakan serba sedikit penguatkuasaan syariat tetapi tidak dipublisitikan. Beliau turut menyindir pihak media yang tidak memberi publisiti terhadap usaha tersebut.

"Ahli Makkah lebih mengetahui mengenai Makkah, jadi macam itulah orang di Kedah lebih tahu mengenai Kedah," ujarnya mengaitkan kata-kata sahabat itu dengan situasi di Kedah.

Mengakhiri penjelasan, Ustaz Azizan menyindir Umno yang ketandusan kepimpinan kerana meletakkan Dato' Seri Shafie Apdal dari Sabah sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kedah.


Tiada ulasan: