"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fokus agenda 'Islam Memimpin Perubahan'

Izwan Abdul Halim

KOTA SARANG SEMUT, 11 Jun (Hrkh) -Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah (DPPNK) mengingatkan seluruh ahli dan pimpinan PAS agar memberi fokus untuk mengangkat agenda "Islam Memimpin Perubahan" dan menghentikan segera dari terus mempolemikkan isu Kerajaan Perpaduan.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahya berkata, Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar baru-baru ini secara jelas telah melontarkan mesej mengenai kesediaan PAS untuk memikul amanah kepimpinan negara dalam masyarakat majmuk Malaysia.

"Perbincangan yang mesti disegarkan ialah kesediaan sebagai 'government in waiting' di mana pimpinan dari Pakatan Rakyat akan menjadi Perdana Menteri Malaysia Ketujuh. Bukannya mempolemikkan isu Kerajaan Perpaduan hingga boleh menimbulkan keraguan dan melebarkan jurang salah faham antara kita," tegasnya kepada Harakahdaily baru-baru ini.

Katanya, semua pihak tidak harus terperangkap dengan tafsiran tidak tepat pihak media yang merujuk keterbukaan PAS sepertimana dalam Ucapan Dasar Presiden sebagai Kerajaan Perpaduan.

"Sepanjang mengikuti sesi muktamar tersebut, kita dapati antara intipati yang ditegaskan oleh Presiden ialah untuk terus mengukuhkan Pakatan Rakyat dan dalam masa sama PAS menyatakan keterbukaan untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi kebaikan negara.

"Tetapi keterbukaan yang dinyatakan itu telah dirujuk kepada isu Kerajaan Perpaduan oleh pihak media. Oleh itu, semua pihak tidak harus terikut dengan rentak tari ini sebaliknya kembali memberi fokus kepada agenda yang telah digariskan," ujarnya yang mahu isu itu dihentikan segera.

Tambahnya lagi, isu tersebut sebenarnya tidak perlu ditimbulkan lagi setelah Presiden sendiri menegaskan pada pertengahan April lalu bahawa cadangan mengenai Kerajaan Perpaduan telah ditarik balik.

"Oleh itu, DPPNK mengharapkan agar tidak wujud lagi keraguan terhadap perkara tersebut. Kita juga minta seluruh saf di dalam PAS memberi tumpuan kepada mengukuhkan jamaah serta komitmen terhadap tugas dan kewajipan yang diamanahkan," ujarnya mengakhiri kenyataan.


Tiada ulasan: