"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak wajar KPP dipisah ikut komposisi kaum - Kok Seng

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 7 Jun (Hrkh) - Kelab Penyokong PAS (KPP) Kelantan tidak mahu badan yang menyokong PAS tersebut dipisah mengikut komposisi kaum seperti dicapai pada konvensyen KPP di Selangor baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi KPP Kelantan, Yeap Kok Seng berkata, tidak wajar badan penyokong PAS tersebut diasing-asing mengikut kaum kerana ia seperti menghidupkan amalan politik perkauman di Malaysia.

"Sedangkan amalan seperti itu telah memusnahkan perpaduan kaum di negara ini seperti diamalkan Barisan Nasional sejak lebih 50 tahun lalu," katanya di sini.

Pada konvensyen KPP peringkat nasional baru-baru ini dipersetujui diwujudkan kelab penyokong mengikut kaum seperti KPP Iban, KPP Sikh, KPP Dayak, KPP Siam, KPP India dan KPP Cina

KPP menghimpunkan masyarakat bukan Islam yang menyokong PAS di bawah satu bumbung.

Penubuhannya dilancar Presiden PAS. Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 2004.

Oleh itu Kok Seng berharap KPP dikekalkan dalam bentuk lama kerana sudah disepati dan diterima semua pihak.

"KPP Kelantan berharap pemimpin PAS dapat membentuk senario politik baru tanpa berlandaskan kaum.

"Ini bermakna hanya satu KPP untuk semua kaum di negara ini dan jawatankuasa dalam setiap KPP dipimpin semua kaum. Kami percaya konsep we are all brothers," katanya.

Menurutnya juga nilai-nilai murni dalam Islam seperti keadilan, kesejahteraan, keharmonian dan kepatuhan sudah menjadi tunjang kepada PAS dan merupakan asas perjuangan KPP.

Tiada ulasan: