"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tukar Atau Haram?

SIS, mana lebih afdhal, tukar nama atau haram?

Ada yang mencadangkan SIS menggunakan nama baru seperti Sisters In Malaysia (SIM – macam SIM card pula), sementara yang lain mencadangkan IWK, Ikatan Wanita Kosmopolitan (macam Indah Water Konsortium).

Pendokong SIS adalah wanita Islam, itu isu pokoknya. Mereka terikat dengan peraturan Islam walau pun mereka berhak untuk bergerak dan bersuara atas kapasiti jaminan kebebasan bersuara dan kebebasan berorganisasi. Namun kebebasan itu tetap diikat dengan ikatan keagamaan.

Benar, mereka berhak bersuara mengenai Islam berdasarkan kefahaman mereka. Namun seperti dalam disiplin ilmu yang lain, seorang MA (Medical Assistant) tidak boleh bercakap seperti seorang doktor sama dengan seorang pomen tidak boleh bercakap seperti seorang jurutera mekanikal.

Agama bukan hak ulama sama seperti ilmu perubatan bukan hak doktor. Namun ada batas-batas tertentu yang wajar dipatuhi untuk mengelakkan kemudaratan. Seorang MA, dia layak memberi ubat demam dan penahan sakit tetapi dia tidak berhak melakukan pembedahan jantung.

Orang Arab bermadah, “Setiap seni ada ahlinya, setiap perkataan ada tempatnya, setiap ilmu ada orangnya”.

Ada orang tidak bersetuju SIS diharamkan. Ini negara moden dan demokratik. Usah tembak nyamuk dengan kereta kebal. Gunakan pendekatan lain terhadap SIS, dialog, debat, muzakarah, muqabalah atau apa sahaja.

Itu benar, teruskan kepada yang bersedia dan mampu.

SIS diusulkan supaya diharamkan sekiranya mereka melangkaui batas-batas Islam. Jika tidak begitu, tidak perlu diharamkan. Teruskan sahaja kerja mereka membela wanita. Bukankah itu kerja terpuji?

Namun umum mengetahui suara-suara mereka selama ini. Semua orang mendengar suara mereka yang mempersoal asas-asas Islam, bukan lagi cabang-cabang Islam sedangkan mereka adalah wanita-wanita Islam.

Tidak mengapa, mereka boleh menjadi pembela wanita tetapi tidak perlu mempersoal asas-asas Islam. Orang bukan marahkan nama SIS, tetapi orang marahkan ‘suara-suara’ SIS.

Maksudnya, samada SIS mengubah namanya atau tidak, itu tidak berkesan sangat. Paling penting, SIS mengubah pendekatannya. Kalau diubah nama sekali pun, orang tetap marahkan SIS. Bukan kerana namanya tetapi kerana suara dan pendiriannya.

Baca sini dan sini untuk mengetahui sebahagian pendirian SIS dalam beberapa isu asas Islam.

Kerajaan telah mengharamkan al-Arqam pada tahun 1994, adakah kerana namanya? Tentunya tidak, tetapi kerana wirid-wirid Muhammadiahnya. Juga kerana cabarannya supaya pentadbiran Pusat Islam diserahkan kepada mereka. (Baca sini)

Kerajaan Negeri Melaka pernah mengharamkan Jamaah Tabligh secara rasmi pada 11 Mac 1992. Mufti Melaka ada alasan tersendiri. Juga bukan kerana namanya tetapi kerana aktivitinya dan pegangannya. (Baca sini)

Sama ada tindakan kerajaan Melaka mengharamkan Jamaah Tabligh betul atau tidak, itu bukan isunya. Isunya ialah kerajaan pernah mengharamkan organisasi Islam itu.

Kalau kerajaan pernah mengharamkan al-Arqam dan Tabligh, mengapa takut untuk mengharamkan SIS? Kalau kita bersetuju dengan tindakan kerajaan mengharamkan al-Arqam, mengapa kita tidak boleh bersetuju dengan desakan supaya kerajaan mengharamkan SIS?

Mudah saja, saya ulangi. Kalau SIS tidak mahu organisasinya dipandang serong dan berdepan desakan diharamkan, ubah suara dan pendiriannya.

Namanya boleh kekal dan kerjanya juga boleh diteruskan.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

Tiada ulasan: