"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gerakan dakwah Selangor diperkasa

Muhammad Arif Ismail

SHAH ALAM, 8 Jun (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam negeri, Dato' Dr Hasan Mohd Ali berkata gerakan Islam bakal diperkasakan dengan memperbanyakkan program dakwah di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Konvensyen Dakwah Negeri Selangor tahun 2009 di Dewan Seminar, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, dekat sini, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Gombak Setia itu berpuas hati dengan sambutan peserta terhadap konvensyen itu berdasarkan jumlah kehadiran dan pembentangan kertas kerja oleh pembentang yang berkaliber.

"Apa yang saya harapkan ialah natijah yang baik iaitu tidak lain dan tidak bukan, kerajaan negeri kena memperkasakan lagi gerakan Dakwah di Selangor," katanya.

Konvensyen Dakwah itu dianjurkan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Antara pembentang kertas kerja ialah pensyarah Universiti Malaya, Ustaz Roslan Mohammad dan pendakwah bebas, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin.

Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abd Wahid turut hadir.

Bagi memperkasakan gerakan dakwah di Selangor katanya, kerajaan negeri akan mengadakan program bulanan yang dipanggil Forum Perdana Ehwal Islam bersiri dan bersilibus.

"Program ini diadakan setiap bulan, setiap hari Sabtu malam Ahad, minggu kedua setiap bulan.

"Ia mencakupi empat komponen utama dalam Islam iaitu Akidah, Syariah, Akhlak dan juga Ibadah," jelasnya.

Pada 13 Jun ini, forum ujarnya akan mengulas mengenai permasalahan akhlak dalam masyarakat yang melanda institusi keluarga, remaja bahkan warga emas.

Menurutnya, bagi menangani isu permasalahan akhlak yang semakin menular sekarang, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah antaranya mengadakan perbincangan dengan 100 wakil peniaga arak.

"Apa yang kita buat sekarang ialah kita mendengar luahan dari pengusaha kedai yang menjual minuman ini di premis masing-masing diseluruh negeri ini seperti 7-Eleven, Tesco, Giant dan Carefour.

"Hasil perbincangan ini nampaknya positif. Namun ada pihak kurang memahami mengenai isu ini kerana mereka kurang memahami enakmen yang ada di negeri ini," ujarnya.

Menurut beliau, umat Islam di negeri ini tidak dibenarkan berurusan secara langsung atau tidak langsung dengan arak.

"Hatta yang memproses arak diharamkan begitu juga yang menghidangnya, mencuci gelasnya pun haram dan menanam pokok untuk dijadikan arak pun tidak boleh," katanya.


Tiada ulasan: