"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dewan Pemuda: Liberalisasi langkah mundur

Abdul Rahim Sabri
Pemuda PAS menyifatkan dasar liberalisasi ekonomi dalam 27 subsektor perkhidmatan yang membabitkan keputusan menghapuskan 30 peratus syarat ekuiti Bumiputera adalah satu langkah "mundur ke belakang".

Menolak dakwaan tersebut, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Ahmad Sabki berkata, pemansuhan ekuiti tersebut akan membuka ruang kepada syarikat besar asing untuk melabur di Malaysia.

"Ini akan menyebabkan syarikat (bumiputera) tempatan akan gulung tikar... Syarikat bumiputera sebenarnya memerlukan bantuan kerajaan," katanya, ketika membentangkan usul dewan itu dalam muktamar PAS ke-55 di Shah Alam hari ini.

Ahmad Sabki turut berkata, langkah pemansuhan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi - sewaktu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membariskan kabinet pertamanya - juga merupakan satu tindakan yang menyalahi hasrat dan falsafah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

"PAS konsisten dengan DEB sebagai satu senjata untuk memperkukuhkan ekonomi orang Melayu," katanya.

Sementara perwakilan Jerlun, Abdul Rahim Md Yusof, ketika membahaskan usul ini, menyatakan langkah kerajaan melakasanakan dasar liberalisasi bertujuan memulihkan sokongan pengundi bukan Melayu yang menolak BN dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Tambahnya, langkah memasuhkan kementerian pembangunan usahawan boleh membunuh pencapaian usahawan bumiputera dan seterusnya mengesa kerajaan mewujudkan semula kementerian tersebut.

Sementara perwakilan Titiwangsa, Khairul Anuar Abdul Manaf mengumpamakan pemansuhan kementerian itu seperti sebiji kek yang diagih-agihkan apabila agensi-agensi bawahnya dipindahkan ke beberapa kementerian lain menyebabkan usahawan tidak ada tempat khas untuk mereka mengadu.

Usul ini diterima majoriti kira-kira 1,000 perwakilan yang hadir persidangan tersebut yang diadakan di Stadium Malawati.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: