"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Melayu Bangkit: Pemuda PAS Terengganu buat laporan polis

Khairul Azlam
KUALA TERENGGANU, 12 Mei:
Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini, pagi ini berhubung perhimpunan ‘Melayu Bangkit’ yang akan diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, esok.

Setiausahanya, Wan Mohd Faizul Wan Abas yang membuat laporan itu menggesa polis menyiasat program berkenaan kerana ada kecenderungan menghasut sebagaimana tafsiran di bawah Seksyen 3(e) Akta Hasutan.

(Gambar: Wan Mohd Faizul menunjukkan laporan polis berkenaan.)

Di dalam laporan itu, beliau memberitahu pada 10 Mei lalu, jam 9 pagi ternampak satu ‘billboard’ tertera ‘MELAYU BANGKIT’ di persimpangan lampu isyarat Jalan Kamaruddin, berhampiran dengan premis kediaman Menteri Besar Seri Iman.

Katanya, pada billboard itu terdapat gambar Tun Mahathir Mohamad, lambang jata Kerajaan Negeri Terengganu di sebelah kiri atas dan program tersebut akan diadakan pada 13 Mei 2010 di Stadium Tertutup Gong Badak.

“Saya difahamkan ianya dianjurkan oleh Institut Integriti Terengganu dengan kerjasama NGO Gertak yang dipimpin oleh Saudara Razali Idris.

“Saya menggesa pihak polis menyiasat program ini kerana ada kecenderungan menghasut sebagaimana tafsiran di bawah Seksyen 3(e) Akta Hasutan iaitu ada unsur mengembangkan perasaan jahat dan permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk Malaysia,” ujarnya.

Ini, katanya jelas apabila tajuk ‘MELAYU BANGKIT’ itu dipadukan dengan tarikh 13 Mei yang sudah dimaklumi bahawa ianya sejarah hitam peristiwa berdarah antara kaum di Malaysia yang berlaku pada 13 Mei 1969.

Tambahnya, adalah dibimbangi program tersebut akan diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu bagi mendapat kelebihan politik dengan memperjudikan suasana harmoni antara kaum yang wujud sekarang.

Gertak juga, katanya perlu disiasat di bawah akta pertubuhan bagi memastikan keesahan pertubuhan tersebut.

“Oleh kerana itu pihak polis tanpa perasaan takut dan memihak hendaklah menyiasat program tersebut atas alasan wujudnya unsur-unsur jenayah di dalamnya,” ujarnya lagi.

Turut serta semasa laporan itu dibuat pada jam 9.40 pagi tadi ialah Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan beberapa ahli jawatankuasa.

Tiada ulasan: