"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ADUN Hulu Bernam nafi beri tazkirah, MP Kamalanathan enggan ulas

ADUN Hulum Bernam Datuk Mohamad Idris Abu Bakar

 SHAH ALAM, 21 Sept: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam Datuk Mohamad Idris Abu Bakar menafikan dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad bahawa beliau memberikan tazkirah, lebih-lebih lagi tanpa tauliah ketika berada di sebuah masjid di Hulu Bernam ketika Ramadan lalu.

“Bila masa pula saya beri tazkirah? Mana beliau (Khalid) tahu saya cakap pasal hal hal agama?

“Saya cuma berucap untuk merasmikan program yang dianjurkan sahaja. Bagi saya tidak ada isu, cuma ia sengaja diperbesarkan,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui pada program Hari Raya Bersama Perdana Menteri anjuran Badan Perhubungan Umno Selangor di sini malam tadi.

Beliau berkata Khalid, yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam, sengaja membuat cerita palsu terhadap dirinya sambil menyifatkan dakwaan yang dibuat ahli Parlimen PAS itu sebagai “politik murahan”.

“Saya sebenarnya tidak mahu komen mengenai perkara ini, saya anggap ia politik murahan yang cuba dimainkan Khalid.

“Ketika pogram itu saya hanya menjalankan tugas sebagai seoarang wakil rakyat dan saya berucap untuk merasmikan program,” katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut Mohamad Idris menolak untuk mengeluarkan apa-apa kenyataan lagi berhubung perkara itu.

Jumaat lalu, Khalid menulis dalam blognya bahawa Umno berpura-pura dalam isu yang hampir sama yang melibatkan wakil rakyat Hulu Selangor dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN.

“Sepanjang bulan Rejab, Shaaban dan Ramadan kita telah dihidang dengan bermacam-macam berita berhubung kononnya berlaku penyalahgunaan masjid dan surau apabila Selangor berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Dengan bantuan pihak media yang telah bekerja keras di sepanjang bulan-bulan tersebut, rakyat Malaysia telah diberikan gambaran seolah-olah Islam tercemar dan terancam oleh kerana sikap ‘tunduk kepada DAP’ khususnya dan pengundi bukan Islam secara umumnya,” kata Khalid dalam blognya.

Tulisan bertajuk “Umno, Kura-Kura dan Perahu”, Khalid menambah, menurut Umno dan BN lagi, ia dilakukan demi memperoleh undi, khususnya oleh pemimpin-pemimpin PAS dan parti PAS itu sendiri.

Khalid turut menyiarkan beberapa gambar di blognya menunjukkan wakil rakyat Umno memberikan tazkirah di Masjid Lama Hulu Bernam dan Masjid Felda Gedangsa.

Khalid menimbulkan persoalan sama ada wakil rakyat berkenaan mempunyai tauliah.

Selain itu beliau turut menyiarkan gambar Ahli Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan bersama ADUN Umno menyerahkan sumbangan cek di dalam Masjid Sungai Tengi Selatan.

Kamalanathan memenangi pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Dalam pada itu, Kamalanathan enggan memberikan sebarang komen berhubung dakwaan beliau memasuki ruang solat Masjid Sungai Tengi Selatan untuk menyerahkan sumbangan cek, sebaliknya beliau memarahi pihak media kerana membuat laporan tersebut.

“Saya tidak akan komen mengenai itu, tapi saya mahu tanya kepada anda (media) mengapa mengeluarkan laporan itu tanpa mendapatkan penjelasan saya terlebih dahulu?

“Bukankah sebagai wartawan, anda perlu mendapatkan penjelasan daripada kedua-dua beliau pihak. Tetapi anda gagal berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata media yang mengeluarkan laporan tersebut telah melanggar etika kewartawanan.

“Sepatutnya anda perlu dapatkan maklumat terlebih dahulu daripada saya tetapi tidak. Saya tidak akan cakap apa-apa mengenai perkara ini lagi,” katanya.

The Malaysian Insider sebelum ini cuba mendapatkan komen daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Kamalanathan sejak Sabtu lalu berhubung isu ini tetapi gagal.

Pada 2 September lalu, Mais telah mengeluarkan surat arahan supaya orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ke ruang solat masjid dan surau di Selangor.

Bulan lalu Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching telah dari DAP telah menerima surat amaran daripada Mais meminta beliau tidak lagi memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor.

Dalam surat amaran itu, Mais menekankan arahan tersebut dikeluarkan atas titah perintah Sultan Selangor.

Teo dikatakan menyampaikan sumbangan dan memberikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.

Selain Teo, seorang lagi ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat (PR) William Leong (Ahli Parlimen Selayang) juga turut “diserang” kerana memberikan sumbangan kepada masjid dan surau di bahagian Parlimen Selayang.

Tiada ulasan: