"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Banting : Isteri Jutawan India, MP Kapar Beri Keterangan

BANTING 24 Sept : S. Usharani, isteri usahawan dari India, Allal Kanthan Muthuraja, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat hari ini bersama Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam untuk memberi keterangan berhubung kehilangan suaminya.

Mereka tiba di IPD berkenaan kira-kira 6 petang dan selesai memberi keterangan pada 9 malam tadi.
Manikavasagam berkata beliau dipanggil merakamkan kenyataan berhubung penglibatannya membawa Usaharani dan membantu wanita itu berurusan dengan polis.

Beliau berkata Usharani turut dipanggil berhubung perkara yang sama, dan polis turut mengambil keterangan berhubung rakaman dalam telefon bimbit milik wanita itu.

“Tadi, pukul 12 tengah hari, saya telah menyerahkan telefon bimbit (milik Usharani) ke Bukit Aman. Turut diserahkan ialah memorandum yang mengandungi salinan laporan polis yang dibuat tentang kehilangan suami beliau, salinan pasport dan salinan surat beranak anaknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD berkenaan.

Manikavasagam berkata Usharani akan menyambung keterangannya di ibu pejabat polis itu pada 1 tengah hari hari ini.

Sementara itu, Usharani yang tiba di negara ini sejak 22 September lepas, berkata beliau mungkin pulang ke India esok, bagaimanapun, ia mungkin ditangguhkan jika ada perkembangan baru dalam siasatan kes itu.
Beliau juga percaya saudara terdekat suaminya akan datang ke negara ini dalam tempoh terdekat bagi membantu mengesahkan DNA suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Nordin Manan berkata pihaknya telah memperoleh telefon bimbit yang menjadi bahan bukti siasatan kes itu.

Semalam, Usharani mendedahkan ada menyimpan dua rakaman percakapan dalam bahasa Tamil di telefon bimbitnya yang boleh dijadikan bahan bukti, membabitkan beliau dengan peguam yang menjadi suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Usharani yang menetap di Ramapuram, Chennai, India mendakwa suaminya, Muthuraja tiba di Malaysia pada 18 Januari lepas untuk bertemu dua sahabat karibnya, iaitu dua beradik yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan Sosilawati.
-Bernama-

Tiada ulasan: