"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengurusan kes Anwar saman Saiful - 10 Januari

Saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang didakwa berniat jahat kerana membuat laporan polis yang dirinya diliwat bekas majikannya itu, ditetapkan untuk sebutan pada tarikh lain sementara menunggu perbicaraan kes liwat yang dihadapi Anwar di Mahkamah Tinggi Jenayah selesai.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi, Khairul Farhi Yusob, menetapkan 10 Januari tahun depan bagi pengurusan kes selepas berjumpa dengan peguam Jason Tay yang mewakili Ketua Pembangkang itu di dalam kamar hari ini.

Tay turut membuat sebutan bagi pihak peguam Zamri Idrus yang mewakili Mohd Saiful.

Mahkamah Tinggi Jenayah menetapkan 14 Oktober dan juga pada November dan Disember untuk sambung bicara kes liwat Anwar.

Anwar, 63, memfailkan saman terhadap Mohd Saiful,25, pada 30 Jun, 2008, mendakwa bekas pembantunya itu membuat laporan polis kerana mempunyai niat tersembunyi dan juga untuk mencemarkan peribadinya sebagai ahli politik.

Dalam pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa Mohd Saiful tahu yang pertuduhan liwat itu adalah palsu tetapi tetap meneruskannya dan membuat laporan polis pada 28 Jun, 2008.

Beliau mendakwa hasil daripada laporan polis itu, maruah beliau telah tercemar dan beliau menanggung penderitaan dan aib.

Mohd Saiful, dalam pernyataan balasannya yang difailkan pada Mei 2009, berkata laporan polis itu mempunyai justifikasi dan sekiranya perkara itu tidak benar, pihak pendakwaan tidak akan mendakwa Anwar dengan pertuduhan liwat.
-Bernama-

Tiada ulasan: