"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rogol anak kandung, 'Taraf kamu macam lembu'

KOTA BHARU: “Saya juga menyifatkan taraf awak sama seperti haiwan kambing dan lembu kerana sanggup melakukan perbuatan yang sangat menjijikkan,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal L Salleh sebelum menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan 20 sebatan terhadap seorang buruh binaan yang mengaku bersalah merogol anak kandungnya berusia 15 tahun.

Zainal membuat keputusan itu terhadap tertuduh, berusia 37 tahun yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dalam dua kejadian berasingan iaitu pada 27 Februari dan 10 April tahun lalu di rumah mereka di Kampung Air Merah, Tanah Merah.

Dalam kejadian pertama, tertuduh merogol mangsa ketika berada di rumah mereka selepas ibunya tiada di rumah pada jam 6 petang.

Tertuduh sekali lagi merogol anak kandungnya ketika mangsa melipat kain sebelum dipanggil masuk ke dalam bilik bapanya dan diarahkan berbaring dan menanggalkan pakaian kira-kira jam 5 petang, 10 April tahun lalu.

Mangsa yang ketakutan hanya mengikut arahan bapanya yang turut memberi amaran supaya dia tidak memaklumkan sesiapa mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, disebabkan mangsa tidak tahan dengan perbuatan dan sikap bapanya, dia kemudian bertindak memberitahu kejadian itu kepada ibunya sebelum membuat laporan polis pada 11 April 2009.

Pada prosiding itu, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat memandangkan tertuduh merogol anak kandung sendiri.

“Bapa harus melindungi anak perempuannya yang sedang membesar, namun dia gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.

“Perbuatan itu perlu dihukum dengan seberat-beratnya mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu 30 tahun penjara dan tidak kurang dari 10 sebatan. Ia bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya menjauhkan perkara sumbang yang menjijikkan itu,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh menggelengkan kepala sambil tersenyum menyebabkan Zainal berang ketika melakukan penghakimannya.

Beliau kemudiannya menjatuhkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan iaitu 10 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan pertama dan 10 tahun serta 10 sebatan untuk kesalahan kedua dengan hukuman penjara berkuat kuasa semalam. 

Tiada ulasan: