"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IGP: Ketua Polis Daerah Temerloh tertembak rakan ditukar

SUNGAI PETANI, 23 Sept: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata ketua polis daerah Temerloh yang tertembak rakan semasa memburu landak di Lanchang, Pahang pada Sabtu lepas, telah ditukarkan.

Beliau berkata langkah itu bagi memudahkan siasatan kes yang dibuat mengikut prosedur biasa polis tanpa sebarang pengecualian sekalipun melibatkan pegawai kanan.

Tindakan tata tertib sewajarnya juga akan dikenakan selepas siasatan insiden itu siap tidak lama lagi, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini hari ini.

Ismail bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pertukaran tersebut.

Dalam kejadian itu, ACP Ahmad Fadzillah Mohamed dipercayai tertembak rakannya Che Abdul Ghani Midon, 49, yang juga Penolong Pegawai Risda Maran ketika berburu bersama enam lagi di hutan Kemasul, Lanchang.

Kejadian itu menyebabkan Che Abdul Ghani buta mata kanannya akibat terkena peluru senapang patah Ahmad Fadzillah. 
-Bernama-

Tiada ulasan: