"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 pekerja maut disedut pusaran air dalam kolam takungan

Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Dua pekerja lelaki maut selepas disedut pusaran air ketika melakukan kerja pembersihan saluran tersumbat di kolam takungan air hujan sebuah premis perkhidmatan kebersihan di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Dalam kejadian 11 pagi Rabu lalu, mangsa berusia 27 dan 30 tahun dipercayai lemas selepas terperangkap dalam lubang 'overflow chamber'.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam kenyataan hari ini, memaklumkan siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan membersihkan sisa sampah di bahagian 'overflow chamber' kolam berkenaan.

"Bagaimanapun, sebaik laluan air dibuka pusaran air kuat berlaku menyebabkan mereka disedut masuk dan terperangkap dalam lubang berkenaan akibat tekanan arus.

"Seorang lagi pekerja yang berada di lokasi kejadian berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan," katanya.

Susulan itu, JKKP Selangor mengeluarkan Notis Larangan bagi aktiviti pembersihan 'overflow chamber' yang tersumbat serta Notis Pembaikan berikutan kegagalan majikan menjalankan pentaksiran risiko bagi kerja itu.

Jabatan berkenaan turut menjalankan siasatan lanjut termasuk memanggil pihak majikan dan saksi kejadian untuk memberikan keterangan.

Tiada ulasan: