"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jamil Khir, Asyraf Wajdi dinasihati berhenti tutup penyelewengan Tabung Haji

MALAYSIA DATELINE
Asyraf Wajdi dan Jamil Khir sering menafikan berlaku penyelewengan dalam pengurusan pelaburan Tabung Haji dan menyifatkannya sebagai 'fitnah pembangkang'.
Menteri-menteri yang bertanggung jawab terhadap Tabung Haji, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki dinasihati tidak terus mengelirukan umat Islam dengan mendakwa kononnya Tabung Haji menjadi mangsa fitnah ahli politik pembangkang ekoran tindakan mahkamah yang dihadapi bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat Tabung Haji, Dato’ Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti semalam.

Malah pendakwaan terhadap Nor Badli memberikan isyarat bahawa pengurusan 'pembangunan perniagaan dan pelaburan strategik' Tabung Haji perlu dirombak, kata Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Nor Badli dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah semasa menerajui pengurusan TH Heavy Engineering Berhad (THHE), anak syarikat Tabung Haji yang kerap dikritik Rafizi.

"Sejak tahun lalu, saya secara berterusan menumpukan perhatian kepada kes-kes penyelewengan dan kerugian yang berlaku di Tabung Haji kerana saya berasa terpanggil untuk membela pendeposit Tabung Haji yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah.

"Salah satu kes yang saya paling lantang mengkritik ialah pelaburan Tabung Haji di dalam Ramunia Holdings Berhad yang kemudiannya dikenali sebagai THHE.

"Maka, pendakwaan ke atas Dato’ Nor Badli membuktikan bahawa pendedahan saya mengenai penyelewengan dan salah tadbir pelaburan Tabung Haji ada asasnya dan bukannya fitnah seperti yang menteri-menteri Umno mahu rakyat percaya," tegas Rafizi dalam satu kenyataan semalam.
Naib Presiden PKR itu menambah, sejak setahun lalu beliau telah membuktikan bahawa penyelewengan dan ketirisan bukan sahaja berlaku di THHE tetapi melibatkan banyak pelaburan besar Tabung Haji di dalam syarikat-syarikat tertentu.

Sehubungan itu, beliau secara berterusan menyuarakan keperluan merombak pengurusan fungsi pelaburan dan pembangunan perniagaan (business development and investment) Tabung Haji kerana ternyata pelbagai bidang perniagaan baru yang diceburi merugikan.

Beliau turut mempersoalkan tindakan yang sepatutnya diambil terhadap pimpinan dan pengurusan kanan Tabung Haji yang bertanggungjawab menyemak dan meluluskan keputusan untuk melabur di dalam syarikat-syarikat bermasalah seperti TH Heavy Engineering sehingga mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit wang pendeposit.

Sehubungan itu, Rafizi mendesak Pengerusi Tabung Haji, Dato’ Seri Azeez Abdul Rahim menjawab soalan-soalan berikut:

1. Siapa yang bertanggungjawab membawa cadangan untuk melabur di dalam syarikat-syarikat ini atau sektor tertentu (yang Tabung Haji tidak ada kepakaran dan pengetahuan perniagaan yang kukuh) sehingga menyebabkan kerugian ratusan juta?

2. Sudahkah individu-individu ini dikenalpasti dan disiasat di peringkat pengurusan kanan Tabung Haji? Sudahkah tindakan diambil terhadap mereka di peringkat dalaman Tabung Haji? Sudahkah laporan kepada pihak berkuasa dibuat terhadap mereka?

3. Apa bentuk rombakan yang telah dilaksanakan untuk memastikan fungsi pembangunan perniagaan dan pelaburan strategik Tabung Haji tidak mengulangi kesilapan lalu?

"Malangnya, saya percaya selagi Lembaga Pengarah Tabung Haji dipenuhi dengan lantikan politik di kalangan orang kuat Umno, langkah-langkah itu tidak akan dibuat. Akibatnya, Tabung Haji akan terus berdepan dengan risiko kerugian yang mungkin akan keluar satu persatu," katanya.

Tiada ulasan: